2010/02/18
JAKARTA: Seorang remaja semalam dijatuhkan hukuman penjara tertangguh kerana menulis komen yang menghina seorang remaja di laman web sosial, Facebook.
Keputusan yang diumum mahkamah berdasarkan undang-undang ketat berkaitan penghinaan peribadi individu itu bagaimanapun dikritik hebat.
Farah Nur Arafah, 18, dihukum oleh tiga hakim Mahkamah Rendah Bogor, 60 kilometer di selatan Jakarta kerana menulis kata-kata menghina rakan Facebooknya, Felly Fandini, 18. Farah berbuat begitu kerana bimbang Felly cuba mengeruhkan hubungan dengan teman lelakinya.
Dalam tulisan itu, Farah menggelar Felly sebagai babi dan anjing selain melabelnya gemuk dan tidak menyedari kekurangannya.
Hakim Ekofa Rahayu menjatuhkan hukuman penjara 75 hari tapi menangguhkan pelaksanaan hukumannya kerana Farah memberi kerjasama penuh kepada mahkamah sepanjang tempoh perbicaraan.
Beliau bagaimanapun terpaksa menjalani hukuman itu andai melanggar undang-undang dalam tempoh lima bulan akan datang.
Farah berkata, pengalaman ini tidak akan menghalangnya untuk terus aktif di Facebook. “Saya bagaimanapun akan lebih berhati-hati menulis komen selepas ini,” katanya.
Konsultan kumpulan Human Rights Watch, Andreas Harsono menyatakan, kumpulan hak asasi manusia yang beribu pejabat di New York itu akan menyiarkan laporan menunjukkan undang-undang Indonesia membabitkan kes penghinaan adalah yang paling ketat di dunia.
Meskipun hukuman maksimum dikurangkan daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup sejak rejim Suharto diguling pada 1998, jumlah kes sivil dan jenayah membabitkan undang-undang itu meningkat.
“Undang-undang itu diguna melindungi mereka yang berkuasa daripada dikritik. Meskipun Indonesia mengamalkan demokrasi tapi hakikatnya tiada kebebasan sivil dimiliki rakyatnya,” katanya. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.