PUTRAJAYA 19 Mac - Puteri UMNO menggesa Kementerian Dalam Negeri membekukan pengambilan pekerja asing dari Lombok bagi mengelakkan lebih ramai gadis tempatan kahwin lari dengan lelaki wilayah Indonesia itu.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, maklumat yang dikumpulkan pergerakan itu menunjukkan kira-kira 500 wanita tempatan terjerat oleh ikatan perkahwinan dengan lelaki Lombok yang pernah bekerja di negara ini.
"Trend kahwin lari melibatkan gadis Malaysia dengan lelaki Lombok semakin membimbangkan.
"Pembongkaran kes-kes kahwin lari menuntut satu mekanisme dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri dengan segera," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Rosnah berkata, beliau tidak sanggup melihat lebih ramai gadis tempatan menjadi mangsa janji manis lelaki Lombok.
''Gadis Malaysia nekad meninggalkan keluarga dan mengharungi penderitaan sepanjang berada di luar negara.
''Trend kahwin ini melibatkan gadis remaja yang hanyut dalam dunia percintaan sehingga segala-galanya nampak indah, mereka hanya sedar selepas dihimpit penderitaan," katanya.
Beliau berkata, trend kahwin lari ke Lombok juga perlu dibendung segera bagi mengelakkan lebih ramai ibu tunggal dibawa pulang dari Lombok.
"Bagi gadis Malaysia yang masih berada di Lombok pula, mereka terpaksa membesarkan anak mereka dengan peluang pendidikan yang sangat terhad," katanya.
Jejaka Lombok dianggap wira
Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 19 Mac – Lelaki Lombok akan digelar sebagai ‘pahlawan terhandal’ sekiranya berjaya membawa pulang wanita yang berasal dari luar daerah Lombok. Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia, Khairudin Harahap berkata, pegangan itu merupakan tradisi daripada nenek moyang Lombok yang menjadi keagungan masyarakat berkenaan.
Katanya, mana-mana lelaki yang berjaya membawa pulang isteri luar dari daerah akan dihormati dan kemudiannya terus dipanggil sebagai lelaki terhebat.
‘‘Kerana itu, kita sering mendengar lelaki Lombok melarikan anak gadis orang, ia sebagai bukti untuk ditunjukkan kepada orang kampung bahawa mereka adalah pahlawan.
‘‘Namun, tidak semestinya wanita itu harus dari Malaysia, yang penting perlu luar dari daerah Lombok,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengula punca wanita tempatan yang sering terjerumus dengan ‘cinta Lombok’ dan seterusnya akan dibawa lari oleh kekasihnya ke Lombok, Indonesia.
Mengulas lanjut, katanya, jejaka Lombok sangat dikenali sebagai lelaki yang baik, penyayang, rajin dan berbudi pekerti malah mereka bijak menguruskan kewangan.
‘‘Kerana itu, ramai anak gadis mudah terpikat dengan jejaka dari Lombok ini ekoran mereka tahu dan pakar dalam menambat hati para gadis di negara ini termasuk keluarga si gadis. Mereka tidak mengamalkan ‘ubat guna-guna’, tidak wujud sentimen bomoh.
‘‘Kebaikan mereka boleh dilihat sehingga sanggup membeli barangan yang mahal untuk si gadis seperti telefon bimbit dan minyak wangi yang tentunya sukar ditolak oleh para gadis terbabit,’’ kata beliau.
Ditanya, adakah lelaki Lombok ini benar-benar ikhlas mengahwini wanita dari luar daerah Lombok atau hanya inginkan gelaran pahlawan ekoran ramai wanita tempatan menyatakan bahawa mereka amat tersiksa apabila tiba di Lombok, kata beliau, itu hanya khabar angin sahaja.
Jelasnya, jejaka Lombok sangat menyayangi wanita dan dakwaan wanita tempatan tersiksa adalah kerana tidak biasa dengan aktiviti harian masyarakat Lombok iaitu yang perlu bekerja keras setiap hari untuk bersaing sesama mereka semata-mata untuk mencari rezeki.
‘‘Kita perlu tahu bahawa kehidupan masyarakat Lombok sangat susah, Lombok antara daerah yang paling mundur atau lebih popular sebagai daerah gersang, sehubungan itu, wanita tempatan merasakan mereka disiksa,’’ katanya.
Khairudin menjelaskan, sebenarnya wanita yang berasal dari luar lebih disayangi oleh penduduk di sana berikutan ahli politik, ketua kampung dan masyarakat di sana akan mengenakan hukuman iaitu ‘hukum adat’ (halau keluar daerah) kepada lelaki Lombok sekiranya gagal menjaga isteri mereka dengan baik.
Dalam pada itu, ditanya mengapakah kejadian wanita tempatan dilarikan lelaki Lombok sering berlaku di luar bandar berbanding di bandar, beliau berkata, warga Lombok tidak suka kehidupan di bandar kerana terlalu banyak hiburan.
Katanya, lelaki Lombok gemarkan kawasan kampung bagi memudahkan mereka mencari rezeki ekoran mereka mahir dalam bidang pertanian dan berkebun.
Sehubungan itu, katanya, mereka memilih untuk menetap di kawasan luar bandar yang mempunyai banyak estet dan dusun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.