30 Mac, 2010
TALAK[hang nadim]PERKARA HALAL YANG PALING DIBENCI ALLAH
Olahan: Marzulina Omar, JAKIM
November 2003
Pembentukan keluarga yang berjaya ialah yang mampu mengikat
perasaan suami isteri dengan ikatan yang saling mengerti antara satu sama lain.
Ikatan yang melahirkan suasana bahagia dengan hiasan cahaya mata yang
menjadikan kehidupan rumah tangga aman sejahtera dan bahagia.
Kebahagiaan rumah tangga bergantung kepada kedamaian. Tanpa
kedamaian, kehidupan berumah tangga tiada ertinya. Malah ia akan menjadi
suatu gelanggang permusuhan dan pergaduhan di antara suami dan isteri. Bila
perkara ini berlaku sudah tentu sebuah rumah tangga tersebut terdedah kepada
kehancuran. Maka bagi mewujudkan kedamaian rumah tangga, tanggungjawab
adalah kunci yang paling utama di mana tanggungjawab tersebut bukan sahaja
terbatas sekadar menyediakan tempat tinggal dan memenuhi segala tuntutan
fizikal seperti pakaian, makan minum, kenderaan dan sebagainya. Malah
tanggungjawab yang lebih khusus dan lebih utama ialah memberi kasih sayang,
menjaga hati dan perasaan pasangan. Oleh itu Islam mengadakan undangundang
yang lengkap bermula daripada seseorang itu merancang hendak
berkahwin hinggalah ke peringkat perceraian sekiranya hubungan suami isteri itu
tidak dapat diperbaiki lagi.
Perkahwinan dan PerceraianPerkahwinan :
Perkahwinan merupakan satu komitmen yang serius di antara lelaki dan
perempuan untuk hidup bersama sepanjang hayat. Tujuan berumah tangga
ialah untuk “mencari ketenangan dan kedamaian di dalam hidup” : (ar-Rum
ayat 21
1) Memandangkan perkahwinan dan pembentukan keluarga ini sangat penting
maka perkahwinan tidak boleh dianggap sebagai suatu perkara yang mudah dan
ringan kerana kewajipan yang dipertanggungjawabkan adalah sangat besar.
Oleh itu setiap pasangan yang hendak berkahwin terutama yang masih muda
hendaklah disedarkan apakah dia sudah layak untuk berumah tangga atau
mampu untuk berkahwin? Sudahkah bersedia dengan ilmu pengetahuan?
Sekurang-kurangnya sekadar yang patut diketahui oleh bakal seorang suami
atau isteri, kewajipan menjadi seorang suami contohnya, hukum hakam yang
berkaitan dengan soal suami isteri dan tatasusila hidup berkeluarga.
Kedamaian hidup berumah tangga mestilah diatur sejak di awal
perkenalan iaitu mesti diselidiki latar belakang pasangan di peringkat pemilihan
pasangan lagi. Sekiranya pihak lelaki atau wanita mengikut kriteria yang
dianjurkan oleh Islam, insyaAllah akan ada kerukunan dalam perkahwinan.
Selain itu pasangan yang ingin berkahwin juga hendaklah memahami dengan
sebenarnya apakah tujuan di sebalik sesuatu perkahwinan tersebut. Andainya
perkahwinan itu sekadar memenuhi tuntutan nafsu dan melayan kehendak tanpa
memikirkan tujuan yang sebenarnya, maka perkahwinan tersebut akan lebih
terdedah kepada kehancuran. Justeru, bagi menjamin keharmonian, sesebuah
keluarga Islam mestilah mempunyai kekuatan iman dan taqwa, pengetahuan
dan tatacara hidup serta akhlak yang mulia.
Perceraian/ talak :
Cerai atau disebut juga sebagai talak mempunyai dua pengertian, dari segi
bahasa bermaksud melepaskan ikatan, manakala dari segi syarak ialah
melepaskan ikatan pernikahan dengan lafaz tertentu. Islam memberikan kuasa
talak kepada pihak suami manakala pihak isteri juga boleh menuntut perceraian
dalam bentuk-bentuk lain sama ada secara khuluk (tebus talak), fasakh dan
taklik melalui saluran Mahkamah Syariah. Ada tiga jenis talak yang perlu
diketahui oleh setiap pasangan suami isteri.
i) Talak Soreh iaitu talak yang jelas dan nyata. Contohnya suami telah
berkata: Aku jatuhkan kamu dengan talak satu; atau seumpamanya.
ii) Talak Kinayah, iaitu talak yang memerlukan kepada niat di mana ada
kalanya lafaz yang diucapkan itu berbeza-beza tetapi niatnya memang
hendak menceraikan isterinya. Contohnya suami berkata kepada
isterinya: Engkau tidak boleh aku gunakan lagi; atau kata-kata yang
seumpamanya.
iii) Talak Taklik iaitu talak yang bergantung kepada sesuatu perkara atau
perbuatan. Contohnya suami berkata: Jika engkau keluar dari rumah ini,
engkau aku talakkan dengan talak satu. Ia juga boleh berlaku apabila
suami berkata: Kalau aku kahwin lagi satu, engkau aku talak.
Sebagaimana cerai yang menunjukkan keterbukaan Islam dalam menyelesaikan
konflik rumah tangga begitulah juga Islam bersikap terbuka dalam
menyelamatkan sesebuah rumah tangga di mana telah disyariatkan adanya
tempoh iddah yang antaranya bertujuan untuk menilai kembali kesilapan,
menimbulkan penyesalan kerana keterlanjuran bertindak dan membolehkan
pasangan suami isteri menyambung ikatan kasih sayang mereka sebagaimana
sebelumnya melalui rujuk. Firman Allah SWT yang bermaksud: Talak (yang
boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali, setelah itu bolehlah ia (rujuk dan)
dipegang terus (isterinya) dengan cara yang sepatutnya (makruf) atau
dilepaskannya (menceraikannya) dengan cara yang baik. (al-Baqarah: 229)
Faktor perceraian
“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”. Sebenarnya ramai
pasangan suami isteri tidak mencapai tujuan perkahwinan yang sebenarnya
dalam erti kata tidak ada kebahagiaan rumah tangga. Pelbagai bentuk konflik
dihadapi dalam ikatan perkahwinan mereka di mana konflik yang dilalui ini
andainya tidak dapat diatasi pasti memaksa sesuatu pasangan terbabit mencari
jalan muktamad iaitu bercerai yang memansuhkan ikatan perkahwinan.
Berdasarkan aduan yang diterima oleh Unit Perunding dan Pembangunan
Keluarga di beberapa Jabatan Agama Islam di negara ini, terdapat beberapa
faktor yang menyebabkan berlakunya perceraian seperti:
i) Salah seorang pasangan atau kedua-duanya meneruskan kebiasaan
tingkah laku dan sikap yang tidak sesuai dengan alam perkahwinan.
Bertindak bersendirian tanpa mengambil kira kesan kepada pasangan atau
perkahwinan. Membiarkan pasangan membuat tindakan secara sendirian.
ii) Penguasaan kefahaman terhadap agama berhubung dengan kehidupan
suami isteri kurang atau keluar daripada tuntutan Islam sebenar (kesan
kepada nilai dan personaliti).
iii) Pengurusan ekonomi rumah tangga tidak diuruskan mengikut konsep
kehidupan berumah tangga Islam iaitu berkongsi, bertolak ansur dan
mengutamakan yang utama.
iv) Pengurusan cara hidup keluar dari kawalan sosial dan syariat Islam seperti
minum arak, judi, menyalahgunakan dadah, berzina dan sebagainya.
v) Pengurusan hubungan dan komunikasi dengan pasangan dan keluarga
tidak lancar seperti mengutamakan diri atau keluarga sendiri lebih
daripada pasangan atau keluarga pasangan. Tidak mengambil berat
terhadap kesihatan, kebajikan pendidikan dan keperluan emosi ahli
keluarga.
vi) Menghadapi masalah peribadi yang tidak dapat dikongsi bersama
pasangan, mempunyai personaliti mendekat menjauh atau menjauh
menjauh seperti pemarah (emosional), cemburu buta, mendera dan
mementingkan perasaan sendiri.
vii) Salah seorang pasangan menghadapi masalah kesihatan seperti penyakit
yang menghalang berlaku hubungan jenis dalam jangka masa yang terlalu
lama, mempunyai nafsu seks yang terlalu tinggi atau lemah.
viii) Gagal mengimbangi tumpuan perhatian serta masa kepada pasangan dan
rumah tangga, lebih mementingkan kerjaya atau lain-lain kegiatan luar
rumah. Tidak dapat memahami budaya kerja pasangan.
ix) Pasangan tidak dapat mengawal pengaruh luaran daripada pergaulan
(kawan-kawan), persekitaran dan keluarga dalam membentuk atau
mencorak kehidupan suami isteri.
Bentuk-bentuk konflik
Terdapat tiga bentuk konflik yang biasa dihadapi oleh pasangan iaitu:
i) Nusyuz – dilakukan oleh salah seorang daripada pasangan. Dapat
dikesan melalui komunikasi pasangan seperti muka kelihatan masam,
wajah selamba atau tidak mahu bertentangan masa. Bercakap dengan
kasar atau tidak mahu bertegur sapa, pura-pura tidak mendengar atau
berkomunikasi melalui perantaraan. Tidak menghiraukan pasangan,
mengelak istimta’ dan bersetubuh. Tidak berlaku adil dalam poligami
sedangkan pasangan yang seorang lagi adalah orang yang berakhlak baik
dalam pergaulan dengan pasangannya. Bersikap atau tingkahlaku yang
membawa nusyuz kepada pasangannya.
ii) Syiqaq –
Perselisihan faham suami isteri yang sudah sampai ke tahap
saling cerca-mencerca serta pukul memukul.
iii) Dharar –
Penganiayaan suami kepada isteri sedangkan isteri adalah
wanita yang baik akhlaknya
Cara menangani konflik rumah tangga:i)
Mengelak keadaan yang boleh menimbulkan konflik sebagai langkah
mencegah berlakunya konflik.
ii) Mengadakan proses menyelesaikan masalah mengikut punca, bentuk dan
tahap konflik yang dihadapi oleh pasangan.
Menghindari konflik:
Walaupun perceraian adalah suatu perbuatan yang diharuskan oleh syarak,
namun menghindarinya punca berlakunya perceraian (konflik) adalah langkah
yang paling bijak antaranya ialah:
i) Mengesan perubahan di peringkat awal dengan memerhatikan air muka,
gerak geri dan percakapan.
ii) Elakkan dari bersangka buruk terhadap pasangan.
iii) Apabila menyedari terdapat isu-isu atau masalah yang berpotensi untuk
mengeruhkan hubungan suami isteri segera tanganinya tanpa menyimpan
sehingga menjadi banyak masalah dan melewat-lewatkan tindakan
sehingga keadaan menjadi bertambah parah.
iv) Apabila menyedari kelemahan atau kesilapan pasangan, bantu pasangan
untuk membuat perubahan atau baiki kesilapan. Berikan motivasi.
v) Apabila berhadapan dengan sesuatu isu atau masalah, pasangan perlu
menyatakan pendapat secara terbuka, tidak mengkritik pasangan atau
menyerang pasangan. Buatlah perbincangan dengan sikap tolak ansur.
vi) Dalam pergaulan, pasangan hendaklah menyelaraskan kehendaknya yang
inginkan rumah tangga bahagia dan harmoni serta bertimbang rasa dan
bersikap terbuka, sedia menerima pandangan pasangan terhadap dirinya.
Tidak cepat melenting dan sentiasa meminta maaf bila menyedari
kesalahan sendiri. Tunjukkan kasih mesra yang ikhlas dengan mencari
kekuatan dalam hubungan suami isteri.
vii) Tidak mendapatkan nasihat atau panduan daripada mereka yang tidak
mempunyai kepakaran atau tidak menyukai diri suami atau isteri.
viii) Amalkan teknik komunikasi berkesan dalam pergaulan suami isteri.
Prosedur Perceraian
Adalah disyorkan bahawa sebaik-baiknya perceraian itu hanya menjadi pilihan
terakhir jika semua cara penyelesaian lain menemui jalan buntu. Manakala
perceraian itu pula hendaklah dilakukan dengan makruf di mana perceraian itu
tidak sepatutnya digunakan untuk menjatuhkan martabat isteri. Islam telah
menetapkan peraturan perceraian dengan begitu halus dan teliti agar tidak ada
mana-mana pihak yang teraniaya di mana setiap negeri di Malaysia
menggunakan enakmen atau akta undang-undang keluarga Islam masingmasing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.