Pages

Subscribe:

12 April, 2010

[hang nadim] " BERILAH PELUANG AKU HIDUP "


Mayat bayi lelaki cukup sifat yang dibuang di dalam timbunan sampah di Sungai Choh, Hulu Selangor, semalam.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

( 9 April 2010 / 24 Rabiulakhir 1431H )


Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk " BERILAH PELUANG AKU HIDUP " .
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Dunia ini pernah dicemarkan oleh sejarah hitam dalam tamadun manusia disebabkan ketiadaan aqidah dalam kehidupan. Masyarakat ketika itu hilang sifat kemanusiaan sehingga sanggup membunuh dengan menanam anak-anak terutama anak-anak perempuan hidup-hidup kononnya mempertahankan maruah diri, keluarga dan kabilah. Amalan jahiliyah tersebut kini berulang lagi malah lebih dahsyat di mana sesetengah bayi dibuang di merata-rata tempat kerana malu kepada masyarakat. Tempat-tempat pembuangan ialah di belakang rumah, di tepi jalan, di tepi hospital, di masjid, di tepi sungai, dikedai, ditempat pembuangan sampah, dihentian bas, ditandas dan lain-lain lagi.
Menurut statistik daripada pihak berkuasa di dapati jenayah membuang bayi terus meningkat dari tahun ketahun. Umpamanya pada tahun 2009 sebanyak 79 kes berbanding 76 kes pada 2007 di seluruh negara. Sepanjang tempoh 2004 sehingga 2009 sebanyak 485 kes . Sebilangan besar suspek tergolong dalam kumpulan umur 18 hingga 25 tahun.
Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Kepada kita dan remaja khasnya, mimbar ini ingin mengingatkan bahawa zina dan tindakan membuang bayi adalah merupakan perbuatan jenayah yang amat besar dosanya serta berat hukumannya di sisi Islam. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Isra’ ayat 32:

Maksudnya: " Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." .

Manakala firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 93 pula ialah:

Maksudnya: " Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar " .

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Mengikut kajian terdapat beberapa faktor menyebabkan berlakunya jenayah ini. Faktor terbesar ialah keterlanjuran dalam menjalin hubungan percintaan, pergaulan dan amalan seks bebas sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah mengikut hukum syarak, institusi keluarga yang bermasalah tiada persefahaman, bergaduh atau bercerai. Oleh itu setiap ibubapa perlu sedar bahawa masa hadapan anak-anak terletak kepada suasana tarbiyah dalam rumahtangga yang mereka bina. Jika suasana keimanan, keharmonian dan kasih sayang, nescaya Allah SWT akan mengurniakan kebahagiaan di dunia dan dia khirat.
Firman Allah SWT di dalam surah At-Thuur ayat 21:

Maksudnya: " Dan orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, kami hubungkan dengan mereka zuriat mereka dan kami tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal-amal mereka tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya " .

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Selain itu, faktor dalaman diri remaja juga merupakan punca kepada gejala ini. Kurang fahaman agama dan akhlak yang luhur menyebabkan mereka dikuasai oleh nafsu jahat sehingga berlakunya zina dan menyebabkan lahirnya anak luar nikah yang akhirnya dibuang kerana takut dan malu kepada keluarga serta masyarakat.
Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik, ( VCD ) lucah serta gambar pornografi di dalam internet juga menjadi punca yang turut merangsang para remaja terjebak ke lembah perzinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah di samping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam masyarakat.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,
Perbuatan membuang bayi dimerata tempat dan terdedah kepada berbagai risiko termasuk kematian; di samping ada di antaranya menjadi mangsa binatang buas adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan. Malah haiwan lebih baik kerana mengasihani dan memelihara anak dan sanggup mati demi keselamatan anak-anak. Inilah implikasinya apabila rohani para remaja tidak di isi dengan ajaran agama. Renungilah amaran Allah SWT di dalam surah Al-A'raf ayat 179:

Maksudnya: " Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakkan dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi ) tidak mahu memahami dengannya dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai " .

Justeru itu, mimbar ini menyeru semua pihak di negara ini agar sama-sama memainkan peranan dalam menangani kemelut ini dengan mengambil langkah-langkah berikut :

Pertama - Menjadi masyarakat yang prihatin dengan situasi yang berlaku di sekeliling kita;
Kedua - Program-program dakwah perlulah dipertingkatkan dan digerakkan secara bersepadu;
Ketiga - Pihak yang bertanggungjawab perlulah mengawal pengedaran bahan-bahan lucah daripada tatapan anggota masyarakat terutama remaja;
Keempat - Program-program hiburan melampau yang merosakkan akhlak perlulah dikawal;
Kelima - Ibu bapa perlulah mengawal pergerakan anak-anak daripada terlibat dengan pergaulan bebas;
Keenam - Hukuman berat kepada mereka yang terlibat dalam melakukan jenayah pembuangan bayi perlulah diadakan;
Ketujuh - Bagi remaja yang terlanjur diinginkan janganlah membunuh bayi yang tidak berdosa. Berilah mereka peluang untuk hidup dan bersedialah untuk bertanggungjawab atas kesilapan diri bersama dengan pasangan masing-masing;
Kelapan- Masyarakat seterusnya tidak menghukum dan meminggir mereka yang tersilap malah memberi peluang kepada mereka kembali ke pangkal jalan.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104:

Maksudnya: " Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya " .

Mayat bayi dalam timbunan sampah
Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my


HULU SELANGOR 11 April - Seorang bayi lelaki dilahirkan ke dunia ini dalam keadaan sempurna, selain memiliki raut wajah yang comel. Malang sekali, mungkin bimbang kelahirannya itu bakal membawa malu, bayi comel itu dibuang begitu sahaja dalam keadaan yang sangat memilukan.

Dia dibungkus dengan kertas surat khabar, kemudian dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum dibuang dalam timbunan sampah.

Sekali lagi, penemuan mayat bayi dalam keadaan tragis ini - tiga hari selepas kempen Kami Prihatin dilancarkan - memperlihatkan masih ada orang yang sanggup bertindak kejam terhadap bayi tidak berdosa.

Mayat bayi lelaki malang yang masih bertali pusat itu ditemui oleh pekerja Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) di tempat pembuangan sampah di Sungai Choh di sini kira-kira pukul 8 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mayat bayi itu ditemui dalam timbunan sampah di sebelah kedai nasi ayam berhampiran lampu isyarat di pekan Sungai Choh.

Beliau berkata, seorang pekerja MDHS yang sedang mengutip sampah di kawasan itu menemui mayat itu dalam bungkusan plastik.

"Pekerja terbabit tergerak untuk memeriksa bungkusan plastik yang ditemuinya dalam timbunan sampah itu kerana berasa curiga dengan isi kandungannya.

"Dia terkejut apabila mendapati bungkusan itu mengandungi mayat seorang bayi dan segera memaklumkan perkara itu kepada orang ramai yang berada di kedai berhampiran sebelum menghubungi polis," katanya di sini hari ini.

Norel Azmi memberitahu, siasatan mendapati bayi lelaki itu baru dilahirkan dan dibuang dalam timbunan sampah sarap di situ.

Bagaimanapun, beliau berkata, bayi itu sudah mati ketika ditemui pekerja terbabit.

Berdasarkan maklumat awal pakar perubatan, katanya, bayi itu mungkin dilahirkan tidak cukup bulan tetapi sempurna sifat dan dipercayai akibat keguguran.

Tambahnya, mayat bayi malang itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk bedah siasat.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kematian.

"Polis sedang berusaha mengesan ibu mangsa dan mengharapkan bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan," katanya.

Khamis lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melancarkan kempen Kami Prihatin yang bertujuan menangani gejala penderaan kanak-kanak dan buang bayi.

Kempen anjuran Utusan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Astro dan Karyawan itu turut disokong oleh artis popular tanah air yang menyanyikan lagu Harapan Tanpa Suara.

Orang ramai diminta bersabar
KUALA LUMPUR 11 April - Kerajaan tidak akan berputus asa dalam menangani isu pembuangan bayi, walaupun ia dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini termasuk penemuan baru mayat seorang bayi lelaki di Hulu Selangor hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kementeriannya akan terus berusaha dan beliau meminta orang ramai supaya bersabar untuk 'mengenal pasti' mereka yang melakukan dosa itu.

"Kita mesti teruskan perjuangan dalam apa jua keadaan.

"Saya yakin satu hari nanti niat murni kita (untuk membendung gejala buang bayi) akan berhasil," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas penemuan seorang mayat bayi lelaki yang dibungkus dalam kertas surat khabar dan plastik sebelum dibuang dalam timbunan sampah.

Shahrizat berkata, usaha untuk membanteras gejala buang bayi bukan hanya akan selesai dalam tempoh yang singkat sebaliknya ia melalui proses yang panjang.

Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah putus asa dengan kes pembuangan bayi yang terus berlaku.

Penemuan bayi dalam keadaan tragis itu berlaku selepas empat hari Utusan Malaysia melancarkan kempen Kami Prihatin bagi membangkitkan kesedaran masyarakat tentang semakin teruknya gejala buang bayi di negara ini.

Hukum juga lelaki lakukan zina - Pgsm
KUALA LUMPUR 11 April - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Pgsm) meminta kerajaan mengkaji serta meminda undang-undang sedia ada agar lelaki yang terlibat dalam perbuatan zina turut dikenakan hukuman setimpal.

Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Pgsm), Mohamad Isa Abd. Ralip berkata, berdasarkan undang-undang sedia ada wanita lebih cenderung dikenakan hukuman seorang diri kerana mereka lebih mudah dibuktikan bersalah berbanding pasangannya.

Pengakuan tiga gadis ‘terlanjur’
KUALA LUMPUR 11 April – Hampir keseluruhan remaja yang mengandung luar nikah tidak mahu memberitahu keluarga kerana takut dimarahi, sebaliknya lebih rela meminta bantuan rakan-rakan atau teman lelaki untuk menggugurkannya.

Kewujudan pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan melalui penjualan pil-pil pengguguran malah perkhidmatan menggugurkan bayi di klinik-klinik di ibu negara memudahkan mereka berbuat demikian.

Apa pun alasannya, membunuh satu nyawa adalah satu kesalahan besar dan ia tidak sepatutnya dibiarkan berleluasa.

Setelah menyelami perasaan mereka yang pernah terlibat dengan kegiatan keji itu, wartawan Unit Khas Utusan Malaysia mendapati golongan terlibat sanggup mengetepikan nilai-nilai kemanusiaan hanya kerana mahu menutup aib diri sendiri.

Ikuti dan hayati kes-kes di bawah agar ia menjadi pengajaran kepada kita semua.

KES 1
‘‘Saya cuba untuk melupakan peristiwa itu tetapi sampai sekarang masih terbayang-bayang dalam ingatan saya,’’ kata Linda (bukan nama sebenar), 24, ketika ditemui di tempat kerjanya di ibu negara.

Bekerja sebagai jururawat di sebuah klinik swasta di ibu kota memberikan pelbagai pengalaman kepadanya tambahan pula klinik tersebut menyediakan perkhidmatan menggugurkan bayi walaupun usia kandungan sudah berusia lapan bulan.

Kejadian yang tidak boleh dilupakan olehnya berlaku kira-kira setahun lalu apabila dia didatangi oleh Ina (bukan nama sebenar), 19, seorang pelajar kolej swasta yang mahu menggugurkan kandungan yang telah berusia empat bulan.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp


Menurutnya, hukuman yang adil terhadap kedua-dua pelaku zina sedikit sebanyak boleh membanteras perbuatan itu yang merupakan faktor penyumbang kepada masalah buang bayi.

"Wanita yang melahirkan anak cukup sifat kurang enam bulan dari tarikh pernikahannya sudah cukup dibuktikan terlibat dengan zina.

"Namun, bagi pesalah lelaki sukar untuk pendakwa membuktikan penglibatan mereka dalam kesalahan tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau diminta mengulas gejala buang bayi yang semakin berleluasa dan sukar dibendung kebelakangan ini.

Kata Mohamad Isa, persetubuhan haram merupakan antara punca utama kepada kes pembuangan bayi yang kerap berlaku kebelakangan ini.

"Sebab itu, kerajaan perlu mengkaji serta meminda undang-undang sedia ada agar pelaku perbuatan zina sama ada lelaki mahupun wanita dikenakan hukuman setimpal.

"Saya percaya jika perbuatan zina tidak dibendung seperti melalui undang-undang, maka gejala buang bayi tidak akan dapat dihapuskan," tegasnya.

Di negara ini, undang-undang syariah setiap negeri sama sekali tidak membenarkan umat Islam terlibat dengan persetubuhan haram.

Seksyen 23 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 menyebut mana-mana lelaki atau wanita yang melakukan persetubuhan selain dengan isteri atau suaminya boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengulas cadangan sesetengah pihak agar kerajaan mewujudkan 'bank bayi', Mohamad Isa berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana ia hanya akan menggalakkan perbuatan terkutuk itu.

"Dengan penubuhan 'bank bayi' ini, banyak masalah akan timbul antaranya adalah status agama kanak-kanak terbabit. Bagaimana kita hendak tentukan agama mereka yang ditempatkan di situ?

"Saya mencadangkan agar anak- anak luar nikah diletakkan dalam program anak angkat agar hubungannya dengan ibu dan ayahnya dapat diteruskan selain dapat memastikan mereka dijaga oleh ibu dan ayah angkat yang bertanggungjawab," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.