Pages

Subscribe:

02 April, 2010

[hang nadim] Majlis Profesor Negara dilancar

PUTRAJAYA 1 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Majlis Profesor Negara yang menggabungkan kepakaran 1,426 orang profesor dari seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Majlis tersebut berperanan membantu kerajaan dengan menyumbang input dalam pelbagai bidang khususnya untuk memperkukuhkan asas penggubalan dasar negara dan juga menjayakan Model Ekonomi Baru.

"Saya berharap Majlis Profesor Negara yang dilancarkan ini merupakan wadah untuk membina golongan Murabbi dalam konteks universiti moden yang semakin luas dan mencabar," kata beliau pada pelancaran majlis itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Murabbi, satu istilah Arab yang merujuk kepada tenaga pendidik yang bukan hanya mengajarkan sesuatu ilmu tetapi juga membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya.

Sempena pelancaran itu, Perdana Menteri turut menyampaikan watikah pelantikan kepada tiga pemimpin tertinggi serta ketua-ketua kluster Majlis Profesor Negara.

Dua jawatan tertinggi untuk profesor

PUTRAJAYA 1 April - Kerajaan akan menambah jumlah Profesor Diraja dan mewujudkan satu kategori Profesor Kanan dalam tindakan susulan untuk membenarkan skim profesor meningkat sehingga peringkat tertinggi turus tanpa perlu memegang sebarang jawatan pentadbiran di universiti awam.

Mengumumkan demikian hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berikutan itu, Seksyen 46 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 akan dipinda bagi menambah jumlah Profesor Diraja yang boleh dilantik pada satu-satu masa yang kini hanya terhad kepada tiga orang.

Kata Perdana Menteri, untuk tujuan itu satu pakej ganjaran yang sesuai dengan ketinggian status Profesor Diraja akan diadakan yang mana pakej ini tidak akan terikat dengan mana-mana tangga sedia ada dalam perkhidmatan awam.

''Bagi kategori Profesor Kanan yang akan diwujudkan itu, mereka yang berada pada kategori ini akan diletakkan di bawah Gred Turus perkhidmatan awam.

''Bagaimanapun, jumlah jawatan Profesor Diraja dan Profesor Kanan akan ditentukan kemudian oleh jawatankuasa khas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Majlis Profesor Negara dan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCoE) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Ketika ini jawatan Profesor Diraja hanya disandang oleh Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid. Bilangan profesor di seluruh IPTA yang direkodkan setakat ini pula adalah seramai 1,426 orang.

kepada IPTA peraturan
PUTRAJAYA 1 April - Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan supaya beberapa Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Awam yang mempunyai implikasi ke atas keberkesanan peranan dan aktiviti Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dikaji semula.

Mengumumkan demikian hari ini, Perdana Menteri berkata, ia termasuklah pertama, melibatkan Surat Pekeliling Bilangan 3 Tahun 2008; kedua, Garis Panduan Pelaburan untuk IPTA, April 2004 dan ketiga, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 secara menyeluruh.

Kata beliau, kajian semula itu bagi membolehkan satu ekosistem terbaik wujud untuk pengkomersialan produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) universiti serta program pembangunan usahawan bagi mengurangkan pergantungan kewangan universiti kepada kerajaan.

''Namun dalam keghairahan untuk mendapatkan skim gaji lebih menarik, kita jangan sekali-kali alpa bahawa tujuannya adalah untuk memastikan meritokrasi membudaya, sekali gus mengangkasa pengajian tinggi.

''Ini kerana mediokriti atau budaya kecincaian adalah barah kepada tradisi ilmu. Dan ini sudah pasti tidak selari dengan hasrat kita membina ekosistem intelektual yang segar dan meriah di universiti tempatan, menjadi pelopor inovasi, menjadi penjana nilai tinggi dan menjadi 'pelopor of excellence'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Majlis Profesor Negara dan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCoE) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Pada majlis itu, Najib menyerahkan replika cek bernilai RM3 juta kepada Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin bagi melonjakkan pencapaian HiCoE.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin.

Dalam aspek ini, Perdana Menteri berkata, peranan institusi pengajian tinggi dalam Model Ekonomi Baru tidak terhad kepada pembinaan generasi terpelajar dengan menyediakan program akademik bermutu.

Malah, kata beliau, peranan itu perlu diperluaskan lagi kepada penjanaan ekosistem intelektual subur untuk perkembangan kreativiti dan inovasi serta penjanaan nilai tinggi bagi melonjakkan ekonomi Malaysia bersaing menjadi negara maju menjelang 2020.

''Untuk membolehkan ekosistem intelektual universiti tempatan menyerlah dan menyumbang secara signifikan kepada kemajuan negara, maka peranan ahli akademik terutamanya yang berjawatan profesor perlu dikembangkan untuk menjadi pemangkin daya kreativiti dan mendorong inovasi.

''Dalam konteks lebih luas, peranan profesor adalah pemacu perkembangan ilmu terkini yang mengadunkan antara kefahaman terhadap ilmu fundamental, penguasaan terhadap kemahiran terkini dan keupayaan meletakkan perkembangan ilmu dalam konteks penjanaan nilai tinggi yang memberi impak besar kepada kemajuan negara," katanya.

Beliau turut menarik perhatian mengenai istilah Arab murabbi yang dibangkitkannya sebelum ini, yakni tenaga pengajar dan penyelidik terbaik yang bermotivasi merujuk kepada pensyarah universiti.

''Saya mengutarakan konsep murabbi dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-11 (MAPPA XI) pada 9 Mac lalu supaya para profesor tidak membataskan diri dengan tugas keilmuan dalam kerangka yang sempit,'' katanya.

Berikut ialah senarai pemimpin dan ketua-ketua kluster dalam Majlis Profesor Negara:

Pengerusi: Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid (USM)

Timbalan Pengerusi : Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin (UKM)

Setiausaha: Prof. Dr. Raduan Che Rose (UPM)

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam: Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood (UIAM)

Ketua Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan: Prof. Dato' Dr. Mohd Amin Jalaludin (UM)

Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan: Prof. Dr. Zakaria Kasa (UPSI)

Ketua Kluster Pertanian dan Keselamatan Makanan: Prof. Dr. Ghizan Saleh (UPM)

Ketua Kluster Industri dan Inovasi: Prof. Dr. Mohamad Kamal Harun (UiTM)

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa: Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak (UUM)

Ketua Kluster Sains dan Matematik: Prof. Dr. Lim Koon Ong (USM)

Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar: Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo (UKM)

Ketua Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi: Prof. Datuk Dr. Halimah Badioze Zaman (UKM)

Ketua Kluster Kejuruteraan dan Teknologi: Prof. Datuk Dr. Ahmad Darus (UTM)

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya: Prof. Datuk Dr. Zainal Kling (UPSI)

Ketua Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan: Prof. Datuk Dr. Roziah Omar (UM)

Ketua Kluster Ekonomi dan Kewangan: Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Mohd Ghazali (UKM)

Ketua Kluster Farmasi dan Sains Gunaan: Prof. Emeritus Dr. V. Navaratnam (USM)

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyempurnakan pengumuman enam Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) sebagai mengiktiraf sumbangan dan prestasi mereka dalam akademik dan penyelidikan.

Berikut adalah enam pusat kecemerlangan berkenaan:

1. Pusat Penyelidikan Dadah Dan Ubat-ubatan (CDR), USM.

2. Institut Biosains (IBS), UPM.

3. Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), UiTM.

4. Pusat Penyelidikan Kuasa Elektronik, Pemacu Pengautomatan dan Kawalan, UM (UMPEDAC)

5. Institut Penyelidikan Molekul Ubat (INFORMM), USM

6. Institut Biologi Molekul, (UMBI), UKM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.