Pages

Subscribe:

13 Mei, 2010

[hang nadim]56 bekas polis zaman darurat terima sagu hati



PUTRAJAYA 13 Mei - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengagih-agihkan sebanyak 831 keping cek saguhati khas kepada bekas polis zaman darurat dari tahun 1962 hingga 1974 di Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 56 cek akan diserahkan kepada penerima khusus di daerah Sibu.

"Setiap cek bernilai RM1,000 dan walaupun nilainya tidak seberapa, ia adalah tanda balas terima kasih yang tidak terhingga kerajaan ke atas pengorbanan jiwa dan raga mereka yang berkorban mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman musuh ketika zaman darurat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Majlis penyerahan cek itu berlangsung malam tadi di Sibu sempena majlis ramah mesra KDN bersama bekas polis zaman darurat.

Para penerima terdiri daripada bekas anggota pasukan Pengakap Sempadan (BS); Konstabel Polis Tambahan (EPC); Polis Bantuan (AP); Pasukan Polis Simpanan; Inspektor Kontrak; 'Company North Borneo Army Constabulary' dan 'Special Constabulary'.

Selain Sibu, seramai 775 penerima di daerah-daerah lain di Sarawak turut menerima cek masing-masing.

Bagi negeri-negeri lain di seluruh negara, sebanyak 2,898 cek akan diedarkan dalam tempoh terdekat.

"Kepada 10,000 lagi penerima yang layak tetapi masih belum menerima saguhati masing-masing, mereka diminta bersabar kerana usaha mendapatkan peruntukan daripada kerajaan masih berjalan," katanya.

Jemaah Menteri pada 20 Mei tahun lalu meluluskan peruntukan sebanyak RM14.7 juta kepada 14,725 bekas polis zaman darurat di Semenanjung bagi tempoh 1948 hingga 1962 dan dari tahun 1962-1974 di Sabah dan Sarawak.

Bekas-bekas polis terbabit tidak menerima pencen daripada kerajaan dan saguhati khas ini diberikan sekali sahaja kepada penerima yang layak.

Hishammuddin menjelaskan, kerajaan telah menetapkan bahawa jumlah peruntukan yang diluluskan itu merupakan fasa terakhir (sebelumnya fasa 1,2 dan 3 berjumlah 72,108 orang) selepas pendaftaran ditutup pada 28 Februari 2008.

Dalam fasa terakhir ini, penerima yang layak berjumlah 14,725 orang dengan 8,425 orang berada di Semenanjung manakala 6,300 lagi di Sabah dan Sarawak.

Pada tahun lalu, sebanyak 738 orang telah menerima cek masing-masing di Terengganu dan Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.