Pages

Subscribe:

15 Jun, 2010

[ hang nadim] Martabatkan Bahasa Melayu.........





Perkara 153 Perlembagaan Malaysia

Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Artikel mengspesifikkan bagaimana kerajaan pusat melindungi kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial, dan biasanya dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu — kepercayaan orang Melayu bahawa mereka adalah penduduk asal Malaysia

Martabatkan bahasa Melayu dahulu

Oleh ASLIZA MUSApengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 15 Jun - Semua kaum di negara ini perlu memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di samping memperkasakan bahasa Inggeris sebelum mempelajari bahasa ibunda lain seperti Tamil dan Mandarin.
Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, sekiranya kerajaan mahu mewajibkan pengajaran bahasa-bahasa ibunda tersebut, ia perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula di sekolah rendah.
"Kita tidak boleh paksa murid-murid belajar bahasa-bahasa tersebut kerana ia agak menyukarkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan mewajibkan penyediaan guru-guru Bahasa Mandarin dan Tamil di semua sekolah kebangsaan supaya pengajaran dan pembelajaran kedua-dua bahasa itu dapat dilaksanakan sepenuhnya di negara ini.
Menurut Abdul Latiff, langkah kerajaan itu sebenarnya merupakan strategi untuk menarik kaum lain menghantar anak mereka bersekolah di sekolah kebangsaan.
Namun, jelasnya, untuk mewajibkan pengajaran kedua-dua bahasa tersebut kepada pelajar, ia sedikit menyukarkan kerana secara tidak langsung akan membebankan mereka apabila terpaksa belajar banyak bahasa dalam satu masa.
Katanya, cadangan itu akan lebih berkesan sekiranya kedua-dua bahasa tersebut diwajibkan kepada murid-murid India dan Cina di sekolah kebangsaan manakala pelajar Melayu diberi pilihan belajar Bahasa Arab.
Selain itu, katanya, sekiranya cadangan itu diteruskan, ia perlu melibatkan murid di sekolah rendah terlebih dahulu manakala pilihan pula diberi kepada pelajar sekolah menengah.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan pula berpendapat, cadangan itu perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan menyediakan prasarana yang mencukupi terlebih dahulu.
Katanya, sekiranya cadangan itu mahu dilaksanakan dalam waktu terdekat, ia memerlukan satu tempoh percubaan untuk menilai kesan dan kelemahan pelaksanaannya.
"Cadangan ini tidak boleh dilakukan secara sambil lewa kerana ia melibatkan bahasa.
"Kementerian perlu berunding dengan pihak-pihak yang terlibat terlebih dahulu untuk mengenal pasti kekurangan dan kelemahannya," katanya.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz pula berkata, cadangan itu terlalu awal untuk dilaksanakan kerana penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar masih berada di peringkat tidak memuaskan.
Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan pula berpendapat, langkah itu tidak akan membelakangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Langkah ini membolehkan setiap kaum mempelajari bahasa ibunda masing-masing dan ia tidak akan mengganggu proses untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat," katanya.

WAJIBKAN JUGA PEMBELAJARAN BAHASA ARAB

KUALA LUMPUR 15 Jun - Kerajaan disyorkan turut menjadikan Bahasa Arab sebagai salah satu mata pelajaran wajib kepada pelajar-pelajar di semua peringkat pengajian.
Ketika membuat syor itu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Abdul Aziz Hussein berkata, langkah itu penting bagi memastikan pelajar Islam dapat menghayati bahasa itu sekali gus memberi pemahaman kepada mereka dalam melaksanakan kewajipan sebagai umat Islam.
"Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran, oleh itu adalah penting bagi pelajar Islam menguasainya supaya mereka boleh memahami kitab suci berkenaan dan faham apa yang dibaca ketika solat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan, kerajaan akan mewajibkan penyediaan guru-guru Bahasa Mandarin dan Tamil di semua sekolah kebangsaan supaya pengajaran dan pembelajarannya dapat dilaksanakan sepenuhnya di negara ini.
Sambil mengalu-alukan langkah kerajaan itu, Abdul Aziz pada masa yang sama meminta kerajaan mempertimbangkan cadangannya berhubung Bahasa Arab tersebut.

MANDARIN DAN TAMIL BUKAN WAJIB

PULAU PINANG 15 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menjadikan pelajaran Bahasa Mandarin dan Tamil yang bakal dilaksanakan sepenuhnya di semua sekolah kebangsaan sebagai subjek wajib.
Sebaliknya, beliau menjelaskan, pengajaran kedua-dua bahasa tersebut akan dilaksanakan secara elektif untuk memberi pilihan selain memudahkan pelajar kaum Cina dan India mempelajari bahasa ibunda mereka di sekolah kebangsaan.
Bagi tujuan itu katanya, kerajaan mewajibkan penyediaan guru-guru bahasa Mandarin dan Tamil di semua sekolah kebangsaan bagi memastikan dasar Bahasa Ibunda Pelajar (POL) dapat dilaksanakan sepenuhnya.
"Saya hendak betulkan ini kerana ada sedikit kesilapan kenyataan awal yang dikeluarkan yang mengatakan kerajaan hendak mewajibkan sekolah kebangsaan belajar Mandarin dan Tamil, itu saya nak betulkan.
"Apa yang kita mahu ialah supaya dasar POL yang sudah lama diperkenalkan bukan sahaja diteruskan tetapi dilaksanakan sepenuhnya supaya di setiap sekolah kebangsaan disediakan guru yang cukup untuk mengajar kedua-dua bahasa itu.
"Dengan ini, pelajar mempunyai pilihan, yang penting apabila mereka mahu menguasai bahasa ibunda, mereka boleh memperolehinya menerusi sistem kebangsaan dan tidak perlu berpusu-pusu ke sekolah jenis kebangsaan yang kadang-kadang tidak cukup tempat," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelajar Antarabangsa 2010 anjuran Sekolah Perempuan St. George di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman.
Muhyiddin berkata, apa yang penting ialah kerajaan mahu mengukuhkan pembelajaran Bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan dengan menyediakan tenaga pengajar yang mencukupi untuk mengajar kedua-dua bahasa itu.
Beliau memberitahu, kini terdapat 373 guru Bahasa Mandarin dan 163 guru Bahasa Tamil di sekolah kebangsaan.
"Kita ada lebih 7,000 sekolah rendah di seluruh negara, kita akan latih guru berkelayakan dan mereka boleh ditempatkan di sekolah-sekolah ini, sama ada terdapat pelajar yang mahu belajar atau tidak itu soal kedua," tambahnya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sebelum ini ada kemungkinan pihak sekolah tidak memberi perhatian kepada pembelajaran kedua-dua bahasa tersebut sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati ibu bapa berketurunan Cina dan India.
"Justeru apabila kita dapat menyediakan kemudahan pembelajaran kedua-dua bahasa ini di sekolah, tentu sekali mereka lebih mudah untuk menguasai bahasa ibunda menerusi sistem sekolah kebangsaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.