Pages

Subscribe:

31 Julai, 2010

[hang nadim] Hari Pahlawan Kenang jasa wira negara




TUANKU Mizan Zainal Abidin diiringi oleh Muhyiddin, Hishammuddin dan Ahmad Zahid pada majlis sambutan Hari Pahlawan Tahun 2010 di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam bertitah supaya semua lapisan rakyat mengenang kembali jasa wira negara dengan meningkatkan semangat patriotisme dan cintakan negara.

Baginda bertitah, sejarah membuktikan sumbangan tenaga para pahlawan negara yang telah dicurahkan semasa memerangi anasir-anasir subversif dan petualang negara, memang tiada tolok bandingnya.

"Mengambil sempena pengisytiharan Hari Pahlawan pada tanggal 31 Julai setiap tahun, marilah kita mengambil kesempatan ini menghargai jasa-jasa pahlawan kita yang telah terkorban dan masih berkhidmat yang terdiri daripada anggota pasukan keselamatan di kalangan tentera, polis dan mereka yang lain.

"Sesungguhnya, pasukan keselamatan telah memainkan peranan yang amat penting dalam membantu negara mencapai kemajuan dan kemakmuran selama ini," titah baginda pada sambutan Hari Pahlawan Tahun 2010 di Dataran Merdeka di sini semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Baginda bertitah, semangat sanggup berkorban demi negara, perlulah dipupuk sepanjang masa di samping berusaha untuk menyumbangkan sesuatu yang berguna demi keamanan negara.

Hormati sensitiviti kaum - Agong

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my



DARI kiri: Pegawai Waren 2, Megat Abdullah Megat Othman (bersara), Pegawai Waren 2, Darus Mohd. Isa (bersara), Lans Koperal Tumiran Jayonin (Bersara), Pegawai Waren 2, Muhammad Razali Din (bersara), Staf Sarjan, Ahmad Safuan Mahmud (bersara) dan Staf Sarjan, Ahmad Zawawi Abdul Rahman (bersara) menunjukkan Pingat Jasa Malaysia yang disampaikan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah ketika majlis sambutan Hari Pahlawan peringkat Negeri Perak di Ipoh, semalam.

KUALA LUMPUR 31 Julai - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan semua pihak supaya jangan menyentuh soal sensitiviti kaum di negara ini.

Seri Paduka bertitah, semua pihak perlu menghormati nilai tersebut dan pada masa yang sama mengekalkan sikap toleransi antara kaum yang sedia wujud sejak sekian lama.

"Sensitiviti kaum mestilah sentiasa dijaga dan dijadikan sempadan bagi semua pihak agar perpaduan yang dinikmati ini dapat diperkukuhkan," titahnya pada majlis sambutan Hari Pahlawan 2010 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Azizan Ariffin dan semua panglima cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, Tuanku Mizan menyeru semua rakyat agar meningkatkan semangat patriotisme bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati sekarang berkekalan.

Titah Seri Paduka, semangat sanggup berkorban demi negara perlu sentiasa dipupuk dan disemarakkan tanpa mengira keturunan, agama dan budaya.

Mengenai pasukan keselamatan negara, Tuanku Mizan bertitah, baginda berbangga dengan kualiti dan kemampuan pasukan tersebut.

Menurut Seri Paduka, kecemerlangan pasukan keselamatan bukan sahaja terbukti dalam aspek menjaga keamanan negara tetapi turut merangkumi sumbangan yang dimainkan di peringkat antarabangsa.

"Pasukan keselamatan kita telah membuktikan kemampuan yang hebat di 26 negara. Perkhidmatan cemerlang ini telah mengharumkan nama negara.

"Kecemerlangan pasukan ini bukan sahaja diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) malah turut disanjung oleh penduduk tempatan," titah Tuanku Mizan

Pahlawanku (Yusoff B)
Pahlawanku
Pahlawanku
Pergilah berjuang untuk bangsa
Jangan ragu
Namamu tetap dipuja

Biar mati
Sebagai pahlawan yang sejati
Jangan undur
Jasamu kelak bertabur

Selamat kau pergi
Selamat kembali
Dengan hati suci
Dan tak takut mati

Pahlawanku
Menuju ruang ke medan perang
Jangan takut
Sebagai askar berjuang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.