Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my
SUBANG 4 Sept. - Tindakan biadab Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) dalam kempen anti-Malaysia kebelakangan ini merupakan hasil reformasi dan revolusi media serta nilai budaya di Indonesia sejak selepas pemerintahan Suharto digulingkan pada 1998.
Timbalan Setiausaha Agung Lembaga Persahabatan Indonesia Malaysia (Prima), Chairul Anhar berkata, ia terjadi apabila berita-berita negatif membabitkan Bendera yang melemparkan slogan anti-Malaysia dipilih menjadi tajuk utama media cetak dan elektronik di Indonesia.
Katanya, walaupun sesetengah perubahan nilai di Indonesia disambut baik namun sebahagian lagi seperti kebebasan media secara keterlaluan boleh mengancam hubungan baik di antara dua negara berjiran.
"Kebebasan media di Indonesia kini sungguh dahsyat sehingga kita menyaksikan bukan sahaja Malaysia diganyang dalam media, tetapi Presiden Susilo (Bambang Yudhoyono) sendiri menghadapinya setiap hari.
"Jadi, saya minta pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia memahami keadaan ini terutama selepas 1998 dan jangan layan kerenah Bendera," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau ditemani oleh Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor yang juga Pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara.
Chairul yang telah 20 tahun berulang-alik antara Jakarta dan Kuala Lumpur atas urusan perniagaan serta persahabatan terpanggil untuk menjelaskan nilai kebebasan di Indonesia sehingga memperlihatkan kebiadaban Bendera, kepada rakan-rakannya di Malaysia.
Antara provokasi dan penghinaan Bendera termasuk melemparkan najis manusia dan membakar Jalur Gemilang di Kedutaan Malaysia di Jakarta pada 23 Ogos lalu bagi membantah insiden penahanan tiga pegawai penguatkuasa marin Indonesia oleh polis Malaysia.
Chairul menambah, pihak pemerintah kedua-dua negara perlu segera mencari punca serta menyelesaikan masalah yang menyebabkan kempen anti-Malaysia kembali muncul di Indonesia.
"Tubuhkan badan seperti Tim Pencari Fakta yang dianggotai individu profesional dalam bidang undang-undang, marin dan pemetaan untuk menyelesaikannya," tegasnya.
Pada insiden 13 Ogos lalu itu, tiga pegawai penguat kuasa marin Indonesia bertindak menahan tujuh nelayan Malaysia kerana didakwa berada di perairan Indonesia walaupun alat sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) mereka tidak berfungsi ketika kejadian.
Selepas itu, sepasukan polis marin Malaysia tiba ke tempat kejadian dan mengejar tiga pegawai Indonesia berkenaan kerana didakwa menceroboh perairan Malaysia sebelum berjaya menahan mereka.
Ketujuh-tujuh nelayan Malaysia dan tiga pegawai marin Indonesia itu bagaimanapun dibebaskan selang beberapa hari kemudian.
Ogos lalu, akhbar Kompas yang memetik kenyataan Ketua Pengarah Hukum dan Perjanjian Internasional Kementerian Luar Indonesia, Havas Oegroseno mengkritik kegagalan sistem GPS pasukan itu serta mempersoal tindakan tiga pegawai marin tersebut yang melarikan diri ketika kejadian.
"Saat kejadian itu, mereka juga memindahkan tujuh nelayan Malaysia ke kapal patrol Republik Indonesia dengan dua awak-awak walhal prosedur tidak membolehkan jumlah tahanan lebih banyak dari petugas, itu membahayakan diri sendiri.
"Lalu, saat kapal polis Malaysia datang kenapa lari? Kalau yakin ada di wilayah sendiri, ya, hadapi dong," ujar Havas.
BENDERA tidak hanya Ganyang Malaysia
2010/09/05
HUBUNGAN akrab Malaysia dan Indonesia diuji lagi. Kembali kedengaran ayat Ganyang Malaysia dari seberang. Aksi agresif gerakan itu sehingga ke tahap membaling najis manusia dan membakar Jalur Gemilang di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, kononnya Malaysia sering menghina kedaulatan Indonesia. Kempen membenci itu dimulakan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA) dan dibalas oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) yang menggantung semua hubungan antara belia kedua-dua negara. Koordinator BENDERA, Mustar Bona Ventura Manurung meluahkan pendirian mereka kepada wartawan Edisi Mingguan, Ahmad Naim Tahir.
Boleh saudara jelaskan dasar perjuangan BENDERA sebenarnya, adakah hanya fokus kepada Malaysia atau turut merangkumi hal-hal lain.
2010/09/05
HUBUNGAN akrab Malaysia dan Indonesia diuji lagi. Kembali kedengaran ayat Ganyang Malaysia dari seberang. Aksi agresif gerakan itu sehingga ke tahap membaling najis manusia dan membakar Jalur Gemilang di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, kononnya Malaysia sering menghina kedaulatan Indonesia. Kempen membenci itu dimulakan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA) dan dibalas oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) yang menggantung semua hubungan antara belia kedua-dua negara. Koordinator BENDERA, Mustar Bona Ventura Manurung meluahkan pendirian mereka kepada wartawan Edisi Mingguan, Ahmad Naim Tahir.
Boleh saudara jelaskan dasar perjuangan BENDERA sebenarnya, adakah hanya fokus kepada Malaysia atau turut merangkumi hal-hal lain. Perjuangan kami tidak tertumpu kepada Ganyang Malaysia semata-mata, sebaliknya turut memperjuangkan banyak lagi isu. Kalau di Indonesia, kami mahukan pembaharuan yang mendahulukan kepentingan rakyat, adil kepada masyarakat. Contohnya, isu berkaitan petani, rampasan tanah dan perdagangan. Malah, kami bukan badan aktivis yang baru muncul... sudah lama sebenarnya. Saya sendiri pernah terbabit dalam gerakan reformasi pada 1998. Matlamat utama kami ialah untuk mencapai reformasi total di Indonesia. Dalam konteks isu berbangkit membabitkan hubungan Indonesia-Malaysia juga, sehingga kini kami belum melihat ada sebarang perkembangan baru. Kami tidak melihat wujudnya satu konsep penyelesaian konkrit, semuanya retorik... hanya harapan dan angan-angan. Berhubung protes dan tunjuk perasaan dilancarkan terhadap Malaysia. Adakah saudara berasakan hanya itu saja caranya untuk mencapai matlamat perjuangan saudara. Kami ingin mencuba dulu... kita boleh mencuba benda yang baru walaupun pilihan yang kami buat itu tidaklah baru. Kami ingin mencuba gagasan baru itu, jadi jangan diperdebatkan cara itu... lihat saja dulu. Selama ini, apa yang kita lihat setiap kali timbul isu di antara kedua-dua negara ialah Presiden SBY (Susilo Bambang Yudhoyono) bertemu PM (Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak), kemudian hantar wakil pula untuk hadiri satu lagi pertemuan dan selepas itu akan ada lagi beberapa siri pertemuan lain pula. Tetapi kalau SBY mahu berdialog saja (dengan Malaysia), silakan... mungkin pemerintah masih percaya dan menganggap hanya itu pilihannya. Bagi kami, SBY sedang memperjudikan martabat bangsa dan negara Indonesia dengan ringgit. Memperjudikan martabat atas nama pelaburan, perdagangan, hubungan saling menguntungkan kononnya. Bagi kami, itu sikap oportunis, bukan sikap seorang ketua negara... SBY sebenarnya sedang berbisnes.
Boleh saudara jelaskan mengenai dakwaan bahawa BENDERA diupah atau dibayar pihak tertentu untuk melancarkan rusuhan ini.
Saya ingin membuat penjelasan... apa yang diperkatakan itu tidak benar. Saya melihat ada dua kemungkinan timbulnya dakwaan itu. Pertama ia mungkin dicipta oleh pemerintah Malaysia atau Indonesia dan kedua, ia digembar-gemburkan oleh pihak perisikan kerana cara yang paling berkesan untuk meredakan ketegangan ialah dengan menggunakan wang. Bagi kami, isu diupah ini sudah basi, isu murahan... kenapa? Kerana kami tak mungkin boleh dibeli dengan harga 30,000 rupiah (RM10)... buat malu saja. Kami bergerak kerana ada kesedaran, kerana cintakan bangsa. Walaupun BENDERA belum diisytiharkan secara rasmi, kami sudah mampu mengumpul lebih 10,000 ahli. Berapa juta atau berapa bilion rupiah yang mahu dibayar kepada kami kerana gerakan ini turut disertai orang kebanyakan, bukan ahli BENDERA saja.
Tidakkah BENDERA berasakan ‘perang’ yang dilancarkan terhadap Malaysia boleh menjejaskan rakyat Indonesia yang begitu ramai mencari rezeki di Malaysia.
Kami bergerak, kami memprotes bukan tanpa dasar, bukan tanpa tujuan. Kami sudah pertimbangkan dua juta rakyat Indonesia di Malaysia, semuanya sudah difikirkan. Ini saatnya kami sudahkan momentum yang dimulakan, bahawa ia juga untuk kebaikan dan kepentingan rakyat Indonesia di Malaysia. Jika mahu mencari rezeki, apa kata dicuba dulu sendiri dan tidak bergantung kepada negara lain... itu baru dinamakan negara merdeka, semua boleh membangun. Kita bawa dua juta pekerja itu pulang, kita paksa pemerintah membuka peluang pekerjaan di Indonesia. Masih boleh (wujudkan peluang pekerjaan) kerana Indonesia adalah bumi bertuah, hasil buminya melimpah, apa saja yang dilempar ke bumi akan tumbuh... jadi, kenapa tak percaya kepada diri sendiri. Kalau ada masalah pekerjaan, pemerintah punya kewajipan untuk membuka peluang pekerjaan. Dua juta yang ada di Malaysia itu pulang saja, bekerja di sini kerana di Malaysia pun kerja mereka hanya sebagai buruh kontrak, menjaga kebun, menjadi amah... di Indonesia pun boleh jadi buruh, jaga kebun dan amah.
Beberapa hari lalu, SBY sudah memohon supaya rakyat Indonesia tidak terlalu emosional dalam isu berkaitan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Jakarta. Apa pendapat saudara.
Kami akan teruskan (rusuhan)... tak akan berhenti. Kami akan tetap lanjutkan perjuangan kerana dari awal lagi kami sudah maklumkan diplomasi tidak akan selesaikan masalah. Perlukan cara begini (agresif), mahu dicuba apa (cara) lagi. Isu seperti ini sudah berulang kali, sudah bertahun, tetapi belum ada penyelesaian konkrit baik dari sebelah Indonesia atau Malaysia, semua yang diperkatakan hanyalah untuk kepentingan politik... sampai bila ini akan berterusan? Jadi, kami akan meneruskan cara ini... tak akan berubah.
'Rakyat kita bukan bangsa mudah melenting tak tentu fasal'
2010/09/05
MBM disifatkan badan bukan kerajaan (NGO) paling berani apabila menggantung hubungan dengan pertubuhan belia Indonesia? Apakah yang mendorong MBM berbuat demikian?
Sebelum MBM menyatakan pendirian tegas ini, kami sudah menghantar surat kepada pihak Kedutaan Besar Indonesia untuk menyatakan rasa dukacita serta bantahan terhadap peristiwa penghinaan ini. Surat bantahan sama turut dihantar ahli badan gabungan MBM sebanyak 40 pertubuhan di peringkat kebangsaan serta negeri. Maknanya, seluruh rakyat Malaysia sudah menyatakan bantahan serta rasa dukacita terhadap insiden ini. Namun, tindakan kami bersifat diplomatik, mengikut saluran yang betul dan adab serumpun etika perhubungan antara dua negara berdaulat seolah-olah tidak diambil peduli. Keadaan menjadi semakin runcing dan menyakitkan. Tidak cukup Jalur Gemilang dibakar dan dipijak, ia dilumur najis manusia. Sebagai orang Timur, kita amat memahami erti najis yang menjadi simbol penghinaan paling dahsyat. Rasa terhina ini dirasai setiap rakyat Malaysia apatah lagi kita sedang menyambut kemerdekaan ke-53. Apa semua ini? Adakah ini yang dijadikan pegangan lebih 200 juta penduduk negara yang selama ini dikatakan memegang jati diri terpuji, apatah lagi majoritinya adalah umat Islam yang seharusnya memahami pengertian Ramadan; iaitu bulan paling mulia yang seharusnya diisi dengan perbuatan baik dan diharamkan atas orang Islam menumpahkan darah atau melakukan peperangan. Apa yang berlaku adalah sebaliknya dan provokasi agresif ini juga diiringi oleh penyertaan meluas media negara yang membandingkan kekuatan ketenteraan. Ini tidak termasuk laman blog serta media sosial yang menghamburkan penghinaan. Sebagai gelombang ketiga masyarakat, kami mahu semua pihak memahami isu ini bukan boleh dibuat main-main. Justeru itu dalam konteks hubungan dua negara ini, MBM melihat tanggungjawab ini perlu dimainkan kerajaan Indonesia serta dibantu NGO di sana. MBM berharap rakan kepemimpinan di Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) dapat membantu serta mengambil tanggungjawab meredakan keadaan ini.
Bagaimana reaksi rakan belia di sana, termasuk pendirian mereka berhubung kempen anti-Malaysia ini? Apakah mereka berpendirian sama seperti kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Malaysia (BENDERA) Saya menerima beberapa e-mel rakan penggerak belia Indonesia yang menyatakan rasa kesal akan kejadian ini. Namun ia bukanlah suara rasmi yang mampu menzahirkan ketegasan untuk menangani masalah ini. Saya tidak pernah sekali-kali menyatakan bahawa rakan di KNPI bersekongkol dengan kumpulan BENDERA kerana kami cukup mengenali KNPI sebagai rakan NGO yang begitu diplomatik serta prihatin berkaitan masalah bersama. Ini terbukti apabila dalam sesi Dialog MALINDO yang diadakan di Kuala Lumpur beberapa tahun dulu kami dapat mencapai kata sepakat berkaitan beberapa isu besar yang melingkungi kedua-dua negara. Saya sekali lagi ingin menyatakan bahawa sebenarnya rakan NGO Belia di sana seperti KNPI amat mampu mengubah situasi ini. KNPI dianggotai gabungan NGO hebat seperti Pemuda Muhammadiyah, Persatuan Pemuda Tani, Persatuan Pemuda Masjid malah pertubuhan-pertubuhan belia di setiap wilayah yang membabitkan bilangan ahli yang ramai. Misalnya, Pertubuhan Pemuda Tani saja ada keahlian melebihi 10 juta orang. Mereka ada tenaga amat kuat bagi mempengaruhi kumpulan BENDERA ini. Setiap kali isu ini tercetus, Malaysia yang menjadi mangsa hanya terpaksa bersabar dengan tindak-tanduk provokasi mereka. Apakah wajar kita harus bersikap berdiam diri dan memerhatikan perkembangan itu berlaku di depan mata?
Inilah ujian kematangan bagi rakyat Malaysia. Saya bersyukur dan menyanjung tinggi akhlak rakyat Malaysia yang begitu tenang menghadapi situasi ini. Tanpa mengira latar belakang dan ideologi, kita sama-sama menyerahkan mandat ini kepada barisan kepemimpinan negara diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menanganinya secara diplomasi. Keadaan lebih buruk jika kerajaan diberi tekanan dan isu ini dijadikan modal pihak tertentu bagi mendapatkan publisiti atau sokongan. Soal hubungan dua hala Malaysia-Indonesia saling memerlukan dan mempunyai sejarah yang amat kuat ini bukan boleh diselesaikan secara mudah. Biarpun yakin dengan kebijaksanaan pemimpin dua negara ini, penyelesaiannya ada di tangan saudara kita di Indonesia. Kita rakyat Malaysia bukan bangsa yang mudah melenting tak tentu fasal walaupun sampai dianggap pengecut oleh segelintir rakyat Indonesia. Kita bukan bangsa pembalas dendam. Malah kalau kita mahu, kita boleh menjadikan isu seorang bayi yang mati di tangan seorang pembantu rumah di Selangor dua hari lalu sebagai bahan untuk membalas tindakan mereka tetapi inilah kehebatan rakyat Malaysia. Kita berpandangan jauh dan tidak mudah dibuai oleh emosi.
Persoalannya, sampai bila Malaysia perlu dicaci dan Jalur Gemilang dipijak setiap kali mereka berasa tidak puas hati?
Ini hanya mampu dijawab oleh rakyat Indonesia. Sekiranya mereka benar-benar ikhlas dan mempraktikkan istilah yang sering dilaungkan ‘silaturahim atas nama serumpun,’ maka saya menuntut agar ia dizahirkan dengan penuh wibawa. Janganlah Malaysia dijadikan ‘kambing hitam’ setiap kali wujud masalah dalaman di negara itu. Menuding pihak lain memang mudah tetapi ia adalah satu tindakan tidak bijak dan penuh hina. Apatah lagi ia mampu memecah belahkan rakyat dan penghinaan kepada negara lain yang berdaulat. Perlu difahami bahawa peperangan besar dunia termasuk peperangan di antara beberapa negara sejak dulu banyak disebabkan konflik di antara negara tetangga. Ia bermula dengan isu kecil diperbesarkan sehingga menjadi konflik di antara dua negara. Lebih buruk, ia mengundang pembabitan pihak ketiga atas nama mempertahankan kepentingan ekonomi dan keselamatan. Dalam konteks Malaysia-Indonesia saya yakin semua pihak memahaminya betapa kita amat penting untuk kestabilan rantau ASEAN. Malah kita berkongsi ruang maritim yang paling sibuk di dunia memiliki impak ekonomi yang penting iaitu Selat Melaka.
Apakah tindakan diplomasi atau lemah lembut kerajaan Malaysia ini berbaloi dengan penghinaan yang kita terima? Apakah tindakan sewajarnya yang perlu diambil? Tindakan kerajaan Malaysia adalah berasaskan kebijaksanaan untuk jangka panjang. Tidak ada dalam sejarah negara moden di mana peperangan dan tindakan fizikal atau kekerasan yang membawa manfaat kepada sesuatu negara. Membalas tindakan yang sama oleh kumpulan BENDERA hanya membawa kepada situasi ‘menang jadi arang, kalah jadi abu.’ MBM masih percaya kepada saluran diplomatik dan peruntukan undang-undang antarabangsa. MBM sentiasa membuka pintu rundingan, namun syaratnya hentikan dulu tindakan penghinaan serta ancaman kepada rakyat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.