Pages

Subscribe:

05 November, 2010

[hang nadim] Kedah kritikal, Perlis mula surut









Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bertanya khabar kepada mangsa selepas melawat pusat pemindahan bencana di Sekolah Kebangsaan Sena, Kangar, semalam. Turut hadir Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md. Isa Sabu.

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM, SHAH NIZAM OMAR dan FAIZAL NAZARUDDIN
berita@kosmo.com.my

SEORANG peniaga, Zurinah Ali (kiri) melayan pelanggan dikedainya yang dilimpahi banjir di Sungai Baru Gunung, Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Keadaan banjir di Kedah semakin kritikal apabila jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 39,783 orang berbanding 28,569 orang semalam manakala keadaan di Perlis semakin baik dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan menurun kepada 11,965 orang daripada 15,027 orang semalam.

Di Kedah, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat di tiga daerah utama iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang.

Bagi daerah Kubang Pasu, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 21,111 orang manakala daerah Kota Setar seramai 16,436 orang dan Pendang pula 244 orang.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara memberitahu, sehingga pukul 4 petang semalam, sebanyak 100 pusat pemindahan banjir dibuka dan daripada jumlah itu 50 adalah di Kubang Pasu, lapan di Padang Terap, 34 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Tinjauan Kosmo! di sekitar bandar raya ini semalam mendapati, semakin banyak jalan raya dan premis kerajaan digenangi air manakala beberapa kawasan perumahan berhadapan masalah gangguan bekalan air.

Dalam pada itu, banjir yang melanda Kedah sejak Isnin lalu turut memberi kesan terhadap perkhidmatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini apabila 55 pesakit kritikal terpaksa dipindahkan ke lima buah hospital di daerah lain setelah hospital itu mengalami gangguan bekalan air.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Banjir di Kedah semakin buruk

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH, MARZITA ABDULLAH dan RAHANA MOHD. DAHARI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Banjir yang melanda Kedah semakin buruk apabila mangsa yang dipindahkan meningkat daripada 28,000 semalam kepada 39,783 hari ini.

Peningkatan mendadak itu berikutan penambahan jumlah mangsa banjir di dua daerah di negeri itu iaitu Kubang Pasu yang mencatatkan peningkatan kepada 21,111 orang melibatkan 5,740 buah keluarga dan di Kota Setar seramai 16,436 orang (4,047 keluarga).

Jurucakap Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata, sehingga pukul 4 petang ini sebanyak 100 pusat penempatan banjir dibuka dan daripada jumlah itu 50 buah di Kubang Pasu, Kota Setar (34 buah), Padang Terap (lapan buah), Pokok Sena (tujuh buah) serta sebuah di Pendang.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Alor Setar mendapati banyak jalan serta premis kerajaan dinaiki air termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Jalan Stadium dan Bangunan Persekutuan.

Tinjauan juga mendapati air Sungai Raja di tengah pusat bandar raya turut melimpah.

Semakin banyak jalan-jalan utama di Kota Setar, Kubang Pasu dan Pokok Sena ditutup kepada kenderaan manakala jalan di Bulatan Teluk Wanjah dan bulatan berhampiran Bank Simpanan Nasional di bandar raya itu digenangi air tetapi masih boleh dilalui.

Berikutan banjir itu, kediaman-kediaman di Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang mengalami masalah bekalan air bersih termasuk Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan sekurang-kurang 55 pesakit terpaksa dipindahkan ke hospital-hospital berdekatan bagi membolehkan mereka mendapat rawatan terbaik.

Sementara itu di PERLIS, banjir semakin surut dan 16 pusat pemindahan di negeri itu ditutup hari ini menjadikan 41 pusat masih beroperasi dengan menempatkan 11,965 mangsa banjir daripada 2,101 keluarga.

Pengarah Jabatan Pengairan Saliran (JPS) negeri, Ir. Nishad Mohamed Shaffy berkata, banjir di negeri itu dijangka surut sepenuhnya dalam tempoh tiga hari ini namun ia bergantung kepada keadaan pasang surut air laut dan jika cuaca baik.

Situasi sama berlaku di KELANTAN apabila banjir semakin pulih dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan kekal 23 orang daripada tiga buah keluarga.

Jurucakap bilik gerakan banjir berkata, kesemua mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh, Pasir Mas.

Beliau berkata, paras air Sungai Golok juga semakin surut tetapi masih melepasi paras bahaya iaitu 9.32 meter berbanding 9 meter.

"Semua jalan juga sudah dibuka dan boleh dilalui oleh kenderaan ringan," katanya.

Jurucakap itu memberitahu, sehingga lewat petang ini tiada penambahan jumlah sekolah yang ditutup dan ia kekal sebanyak 13 buah seperti semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.