31 Disember, 2010
[hang nadim] Pembangkang biadab, terus pertikai kuasa Sultan Selangor.....
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Seorang wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak biadab apabila mempertikai kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi dengan mendakwa ia seperti tindakan 'beraja di mata, bersultan di hati'.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei juga dilihat mahu mengheret Sultan Sharafuddin ke dalam kancah politik apabila mendakwa, isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru sebagai tindakan pilih kasih institusi beraja terhadap pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN).
Sambil mempersoalkan pelantikan Mohammed Khusrin itu, Shuhaimi mendakwa, jawatan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor sebaliknya ia kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Sultan Sharafuddin mesti bertindak mengikut nasihat majlis tersebut, bukannya berkecuali.
"Saya dapati pelantikan SUK sebagaimana diperuntukkan oleh Fasal 52 (1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959, hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan. Fasal tersebut tidak menyatakan perlunya untuk mendapat perkenan Sultan Selangor.
"Rakyat akan menolak sebarang tindakan 'beraja di mata, bersultan di hati' oleh mana-mana pihak yang bertindak sewenang-wenangnya, tidak kira sama ada oleh raja yang berjiwa rakyat atau rakyat yang berjiwa raja," katanya dalam blognya http://srimuda.blogspot.com, hari ini.
Shuhaimi merupakan pemimpin pembangkang terbaru mempertikai Kuasa Budi Bicara Sultan Sharafuddin dalam isu pelantikan Mohammed Khusrin selepas Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad terlebih dahulu mempersoal pelantikan berkenaan.
Dalam pada itu, Shuhaimi seperti cuba memberi amaran kepada institusi beraja Selangor supaya tidak berterusan bertindak membelakangkan konvensyen Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana.
"Dalam sejarah telah terbukti, apabila rakyat bangkit menentang raja, biarpun beribu tahun kebangkitan itu berlangsung, akhirnya kebenaran akan menghenyak ketidakadilan. Rakyat akan menang dalam peperangan menentang ketidakadilan," katanya.
Sementera itu, wakil rakyat PKR itu juga seolah-olah cuba menyamakan ketegasan Sultan Sharafuddin yang tidak berganjak dengan keputusannya walaupun mendapat pelbagai kecaman daripada pihak pembangkang yang tidak berpuas hati dalam isu tersebut sebagai ego.
"Saya meneliti kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang menyatakan baginda seorang yang tegas dan tidak berganjak dari keputusan yang telah dibuat tetapi bagaimana sekiranya keputusan yang dibuat atau cara keputusan itu dibuat adalah salah?
"Adakah baginda masih tidak akan berganjak? Harapan saya supaya ketegasan tidak dikelirukan dengan ego," katanya.
Nie Ching sepatutnya diberitahu agar tutup aurat
KOTA BHARU 31 Dis. – Ahli Jawatankuasa Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong sepatutnya memaklumkan etika berpakaian kepada wakil rakyat DAP, Teo Nie Ching semasa Ahli Parlimen Serdang itu hendak menyertai aktiviti sosial di pekarangan masjid berkenaan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, masalah Nie Ching tidak menutup aurat semasa melakukan aktiviti senamrobik di pekarangan masjid berkenaan boleh dielak menjadi polemik, sekiranya pihak di sekeliling wakil rakyat wanita itu telah mengingatkan beliau lebih awal lagi.
Beliau berkata, orang bukan Islam bukan sahaja boleh masuk ke pekarangan masjid bahkan di dalam masjid dengan syarat mereka menjaga kehormatan dan dimaklumkan tentang keperluan menutup aurat.
“Usahkan depan masjid, di dalam masjid pun tidak mengapa. Masjid Nabi dulu serba aneka perkara (program) dilakukan di masjid. Mengajar, mengaji, pelantikan ketua perang, ketua negara, semua dibuat dalam masjid, berubat orang sakit dari medan perang pun dibuat dalam masjid juga.
“Cuma aurat ini tetap kena jaga. Usahkan orang Cina, Melayu pun kena jaga aurat, yang dia tidak jaga tu sebab tidak ada orang tegur dia. Dia nak reti macam mana sebab dia bukan Islam. Maka kena ajar dia suruhan Islam bahawa aurat kena jaga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di pekarangan Pejabat Perhubungan Pas negeri, di sini, hari ini.
Nik Abdul Aziz diminta mengulas isu Nie Ching yang didakwa masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya dengan memakai baju ketat melakukan senamrobik bersama jemaah masjid itu sempena Karnival Maal Hijrah 12 Disember lalu.
Nik Abdul Aziz berkata, sepatutnya pihak yang bersama Nie Ching dalam program itu terutamanya ahli jawatankuasa masjid memaklumkan tentang etika pakaian yang sewajarnya.
Katanya, ia adalah sebahagian daripada pelaksanaan amar makruf dan nahi munkar iaitu menyuruh perkara baik dan menegah perkara yang dilarang Allah dan merupakan tanggungjawab semua pihak yang tidak seharusnya dilepaskan kepada golongan bergelar pemimpin sahaja.
“Kena tegurlah, pihak masjid atau sesiapa, sebab itu amar makruf nahi munkar ini wajib, suruh benda maaruf larang benda munkar bukan semesti tugas tok guru tapi tiap-tiap orang Islam mesti ‘amar makruf nahi munkar’.
“Amar makruf nahi munkar ini kerja politik dan politik ini bukan hanya melibatkan orang yang dilantik yang sudah tentu lebih banyak tanggungjawab dia, yang tidak dilantik pun kena jaga amar makruf nahi munkar,” katanya.
Dalam masa sama, Nik Abdul Aziz dalam nada sindiran turut mengingatkan kepada wanita beragama Islam agar menjaga aurat mereka di dalam masjid.
“Awak orang Cina nak masuk dalam masjid boleh tapi awak kena jaga aurat, jaga kehormatan, tapi orang Melayu yang tidak tudung kepala masuk juga masjid tu macam mana pula?” ujarnya.
Guna logo DAP: Abdul Khalid dicabar bertindak
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini dicabar supaya mengambil tindakan tegas terhadap sebuah restoran di Petaling Jaya dekat sini kerana menggunakan logo DAP pada papan tandanya.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukur Idrus berkata, sebagai sebuah kerajaan yang dikatakan telus dan adil, Abdul Khalid perlu mengarahkan papan tanda berkenaan diturunkan segera kerana jelas ia bermotifkan politik.
Beliau berkata, adalah tidak adil sekiranya Abdul Khalid membiarkan papan tanda tersebut tanpa sebarang tindakan tetapi dalam masa sama melarang penggunaan logo 1Malaysia di semua papan tanda, papan iklan, bunting dan kain rentang.
''Adakah ini yang dikatakan kerajaan yang adil? Penggunaan logo 1Malaysia tidak dibenarkan tetapi perbuatan sebuah restoran menggunakan lambang roket DAP dibenarkan pula. Mana lebih politik? 1Malaysia atau papan tanda roket (DAP).
''Oleh itu, saya cabar Abdul Khalid supaya turunkan segera papan tanda di restoran ini sekiranya kerajaan Selangor benar-benar bersikap adil,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam satu kejadian sebelum ini Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) telah mengarahkan sebuah premis serbaneka 24 jam di Banting menanggalkan logo 1Malaysia pada papan tanda perniagaannya.
Tindakan itu diambil ekoran penguatkuasaan larangan penggunaan logo 1Malaysia di papan iklan dan kain rentang yang telah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Selangor.
Utusan Malaysia difahamkan penggunaan logo DAP di papan tanda restoran tersebut diluluskan oleh pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 Ogos 2009.
Mengulas isu sama Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Megat Zulkarnain Omardin 'pelik' dengan pendirian kerajaan Selangor terhadap penggunaan logo 1Malaysia.
Beliau berkata, gagasan 1Malaysia seperti mana yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan untuk perpaduan dan bukannya disebabkan politik.
''Saya cukup tidak faham dengan kerajaan PKR Selangor. Mengapa mereka 'gerun' sangat dengan logo 1Malaysia namun pada masa sama membiarkan sebuah restoran di Petaling Jaya menggunakan logo DAP,'' katanya lagi.
Beliau berkata, rumusannya amat mudah iaitu PKR sebenarnya teramat takut dengan kuasa DAP.
''Di Selangor bukan PKR yang tadbir negeri tetapi DAP. Abdul Khalid itu hanya sebagai boneka sahaja dan saya percaya restoran ini tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun didesak beberapa kali,'' katanya lagi.
Cikgu Rahim sanggup mati pertahankan Karpal
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Sebelum ini Pengerusi DAP Karpal Singh pernah memberi amaran 'langkah mayatnya dahulu' jika Pas mahu menubuhkan negara Islam di Malaysia.
Kini seorang wakil rakyat Pas turut memberi amaran 'langkah mayat saya dahulu' jika ada pihak yang ingin 'mengusik' Pengerusi DAP itu.
Datuk Wan Abd. Rahim Wan Abdullah yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkata, pengorbanan itu dibuat atas dasar kesetiaan dan semangat setia kawan Pas terhadap pakatan pembangkang yang turut dianggotai oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kenyataan Ahli Parlimen Kota Bharu itu dipercayai bertujuan mempertahankan Karpal yang 'diserang' pelbagai pihak, berhubung pendiriannya membela Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan, Pengerusi DAP itulah yang mendedahkan kegiatan salah laku seks ketua pembangkang tersebut pada tahun 1997 di Dewan Rakyat.
"Inilah YB (Yang Berhormat) Karpal Singh...Anda selalu berkata 'langkah mayat saya dulu', anda satu-satunya tetapi sekarang saya beritahu anda, atas kesetiaan dan setia kawan pakatan, saya cabar sesiapa sahaja yang nak ambil (usik) Karpal... langkah mayat saya.
"Sesiapa sahaja, jika ada sesiapa yang cuba ambil (usik) anda, saya bagi amaran kepada mereka....Ini, Cikgu Rahim... Langkah mayat saya dulu," katanya seperti dipetik daripada laman sosial YouTube sambil diberi tepukan gemuruh oleh pemimpin pembangkang.
Pada masa sama, video ucapan Wan Abd. Rahim selama hampir seminit itu kini, turut disiarkan oleh beberapa blog antaranya http://ruangbicarafaisal.blogspot. com dan http: //minaq-jinggo.fotopages. com.
Utusan Malaysia difahamkan Wan Abd. Rahim berkata demikian semasa berucap di konvensyen pakatan pembangkang di Dewan Millenium Kepala Batas pada 19 Disember lalu, yang mana, majlis tersebut turut dihadiri Karpal dan beberapa pemimpin pembangkang lain.
Karpal merupakan pemimpin DAP yang paling lantang menentang sebarang usaha Pas untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang berteras hukum hudud dengan mengatakan Pas perlu 'melangkah mayatnya terlebih dahulu' jika mahu menyaksikan cita-cita itu tercapai.
Malah, nada Karpal tidak pernah kendur walaupun Pas telah bergabung dengan DAP dan PKR di bawah pakatan pembangkang. Beliau berterusan mempertahankan pendirian tegas tersebut kerana bagi Pengerusi DAP itu, Malaysia lebih sesuai dengan sistem sekular
Perhimpunan aman MCA esok
Oleh SANTHY MUTHALU
santhy.muthalu@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 31 Dis. - MCA Bahagian Serdang akan mengadakan perhimpunan aman pada Ahad ini bagi membantah tindakan kerajaan Selangor yang melarang penggunaan logo 1Malaysia di negeri itu.
Ketuanya, Datuk Liew Yuen Keong berkata, perhimpunan yang akan diadakan dengan kerjasama MCA Klang bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai logo 1Malaysia yang memberi gambaran berhubung kemakmuran masyarakat yang hidup dalam pelbagai kaum di negara ini.
Katanya, beliau bersama beberapa lagi ahli MCA dengan menaiki 15 buah kereta akan memulakan perhimpunan aman itu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Cheras, Batu 11 pada 10 pagi dan dijangka tiba di Stadium Pandamaran, Klang pada 1 tengah hari.
''Kami akan melalui beberapa kawasan di Serdang dan akan mengedarkan pelekat 1Malaysia kepada orang awam.
''MCA Klang memberi kerjasama yang amat menggalakkan dan 24 kereta akan menyertai kami pada perhimpunan itu,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sehubungan itu, Yuen Keong turut mengharapkan kira-kira 500 penduduk Klang akan mengunjungi Stadium Pandamaran untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap gagasan 1Malaysia.
''Kami kecewa dengan tindakan kerajaan Selangor yang melarang penggunaan logo 1Malaysia dan menyifatkannya sebagai golongan yang tidak waras dan pandangan sempit.
''Ini semua taktik kotor dan hanya mencari publisiti murahan. Golongan yang waras, tidak akan membuat bantahan terhadap logo 1Malaysia kerana ia hanya memberi keutamaan terhadap masyarakat di negara ini,'' jelasnya.
Sementara itu, Yuen Keong turut mengecam tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang memakai baju ketat serta melakukan senamrobik bersama jemaah lelaki dan perempuan di Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong baru-baru ini.
Menurutnya, pakaian merupakan salah satu faktor yang harus diberi perhatian khususnya ketika memasuki rumah ibadat orang Islam.
''Kita hidup di negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, maka kita harus bertoleransi antara satu sama lain bagi mengukuhkan lagi semangat kekeluargaan. Jangan sesekali cuba memburukkan situasi harmoni ini,'' tegasnya.
Pembangkang main isu perkauman untuk raih undi
LABIS 31 Dis. - MCA menjangkakan pakatan pembangkang akan memainkan isu perkauman bagi memecah undi dan meraih sokongan masyarakat Cina dan India pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari depan.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek percaya perkara tersebut akan ditimbulkan DAP terutama isu pendidikan iaitu kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengambil berat mengenai masyarakat Cina dan India.
Menurutnya, walaupun DUN Tenang dianggap kubu Barisan Nasional (BN) dan MCA, pihaknya tidak menganggap sokongan undi akan diperoleh secara automatik dan usaha berterusan akan dilakukan bagi mendapatkan sokongan masyarakat.
"Kita akan adakan sesi ceramah dan lawatan dari rumah ke rumah serta majlis perjumpaan, bukannya secara besar-besaran tetapi di kawasan yang ditetapkan.
"Kita mahu supaya mesej dapat sampai kepada pengundi secara berkesan tanpa perlu diheboh-hebohkan," katanya.
Hadir sama Ahli Parlimen Labis yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Chua Tee Yong serta Timbalan Pengerusi MCA Johor, Tan Kok Hong.
Menurut Soi Lek yang juga Pengerusi MCA negeri, jentera parti bagi pilihan raya kecil itu sudah digerakkan beberapa hari lalu dengan Tee Yong dilantik sebagai ketua dan Kok Hong sebagai ketua penyelaras.
Katanya, dalam tempoh lima bulan lalu, MCA Johor berjaya mendaftarkan kira-kira 15,000 pengundi baru dan antara 500 hingga 600 pengundi berkenaan adalah dari kawasan DUN Tenang.
Berhubung desas-desus ada pihak mahu menghadiahkan plat kenderaan 'MCA 1' kepadanya, Soi Lek memberitahu, beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara itu dan tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pihak mengenainya.
Nik Aziz: Aerobics not prohibited
KOTA BARU: Islam does not prohibit any activity, including aerobics, within the compound of a mosque as long as it does not contravene syariah principles, said PAS spiritual leader Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
He said it should not be a problem for both Muslims and non-Muslims to conduct any activity in the mosque compound.
“In Islam, it is not wrong for people to hold activities in mosques.
“Even during the time of Prophet Muhammad, non-believers were allowed to enter mosques, which also acted as centres for various activities, including politics,” he told reporters after delivering a Friday sermon at Dataran Ilmu here yesterday.
The Kelantan Mentri Besar was commenting on a report in Utusan Malaysia highlighting the action of Serdang MP Teo Nie Ching, who was featured in a photograph wearing tight exercise attire and participating in aerobics in the compound of the Taman Cheras Jaya Mosque in Balakong, Selangor, during a recent Maal Hijrah carnival.
Prior to this, Teo had caused a controversy when she delivered a talk in a surau in Kajang Sentral, Selangor, in August. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.