24 Disember, 2010
[hang nadim] Rebahkan Garuda....
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
Pemain-pemain kebangsaan gigih menjalani latihan yang turut disertai penolong jurulatih, Tan Cheng Hoe (dua dari kiri) di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
KUALA LUMPUR – Jurulatih negara, K. Rajagobal menggesa anak-anak buahnya menyambar peluang keemasan yang tiba dalam perlawanan akhir pertama bola sepak Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok tanpa perlu menunggu sehingga aksi ulangan di Jakarta.
Hanya kemenangan disasarkan buat mereka menunaikannya walaupun gelanggang sendiri ia tetap bukan satu kelebihan besar apabila menghadapi Indonesia yang baru ‘keluar’ dari medan keramatnya, Gelora Bung Karno, Jakarta.
Cuaca hujan di ibu kota kebelakangan ini turut diharap menyebelahi Harimau Malaya sekali gus mencipta situasi asing dan sukar buat ‘Sang Garuda’ yang diterajui jurulatih dari Austria, Alfred Riedl selain dibarisi seorang pemain kelahiran Uruguay dan berdarah campuran Belanda.
“Tidak banyak menguntungkan kami walaupun bermain perlawanan akhir pertama di gelanggang sendiri tetapi tentu menarik jika dapat melihat aksi ‘sulung’ lawan di luar gelanggangnya,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pengurus pasukan di stadium itu.
Rajagobal menegaskan, tidak banyak bezanya persediaan bagi menghadapi pertembungan penting itu kecuali menekankan bahagian tertentu manakala tumpuan pemain diberikan sepenuhnya.
“Apa yang perlu ditekankan itu rahsia tetapi saya fikir kedua-dua pasukan sudah pasti mengetahui corak permainan masing-masing (sejak berkesudahan Indonesia menang 5-1 dalam Kumpulan A, 1 Disember lalu,” katanya.
Rajagobal turut menyampaikan berita gembira dengan pulihnya sayap kanan, Amirulhadi Zainal daripada kecederaan biarpun dia sudah bersedia dengan menampilkan Ashari Samsudin dalam perlawanan persahabatan dengan Felda United, Rabu lalu.
“Saya lihat keadaannya pagi tadi (semalam) dan dia sudah kembali berlatih dan tampak okey tetapi kita ada dua hari untuk memastikannya dia boleh bermain atau tidak,” katanya yang bagaimanapun mengesahkan Khyril Muhymeen Zambri masih tercedera.
Menyentuh soal harapan, katanya, skuad negara wajar menyambar peluang perlawanan pertama ini dengan meraih kemenangan setelah mereka mampu mara sejauh ini biarpun mengakui, bola sepak tetap sukar diramalkan dan sulit untuk dijamin sesuatu yang positif.
Sementara itu, pengurus pasukan Indonesia, Andi Darussalam menyifatkan pertembungan dua negara tetangga ini sebagai menarik, malah klasik sekalipun sebelum ini hubungan mereka sering disulami pelbagai isu kontroversi.
“Bagi saya, kedua-dua pasukan pasti hanya mahu bertumpu kepada permainan bola sepak dan tidak sesekali akan mencampurkannya dengan isu lain termasuk politik. Sama ada di Kuala Lumpur mahupun Jakarta, sama sahaja dan bukan satu masalah besar.
“Ada beberapa pemain kami pun sudah terbiasa dengan keadaan itu (seperti penyerang, Bambang Pamungkas). Kami juga perlu mencari kelebihan gol di sini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.