Pages

Subscribe:

19 Januari, 2011

[ hang nadim]Datuk ditendang cucu meninggal.....

Oleh Omar Osman
bhnews@bharian.com.my
2011/01/20



Dipukul kerana tak beri RM100

SUNGAI PETANI: Seorang warga emas meninggal dunia Sabtu lalu, selepas dua hari dimasukkan ke hospital akibat ditendang cucunya yang gagal mendapat wang RM100 daripada datuknya itu dalam kejadian di Kampung Alor Nibong, Kota Kuala Muda, dekat sini.
Kejadian berlaku jam 3.30 petang Khamis lalu apabila mangsa, Saad Man, 66, didatangi cucu berusia 22 tahun untuk meminta wang RM100.

Menurut sumber, berikutan gagal memperoleh wang itu, pemuda terbabit bertindak memukul datuknya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Kuala Muda.

Katanya, sebaik mengetahui datuknya membuat laporan polis, suspek naik berang dan datang semula ke rumah warga emas itu, sebelum bertindak menendang kuat mangsa beberapa kali.

Beliau berkata, tendangan itu mengenai dada mangsa menyebabkan tulang rusuk datuknya patah yang kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

“Berikutan kecederaan parah di bahagian dada, mangsa meninggal dunia Sabtu lalu selepas dua hari dimasukkan ke HSAH,” katanya di sini, semalam.
Kata sumber itu lagi, selepas mendapati datuknya terbaring dan tidak bergerak, suspek melarikan diri tetapi perbuatannya dilihat jiran mangsa yang memaklumkan kejadian kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, yang dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Polis menahan reman pemuda terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Guru mengamuk, 14 rakan bersembunyi dalam paya
Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my
2011/01/20
Hentakan pedang kejutkan penghuni tidur di kuarters guru

KOTA KINABALU: Empat belas guru, termasuk dua wanita bertarung dengan nyamuk dan pacat kira-kira 11 jam dalam hutan paya bakau di Kampung Sabur, Pulau Banggi, kira-kira 300 kilometer (km) dari sini, kerana bersembunyi daripada seorang guru lelaki yang mengamuk menggunakan pedang samurai, tengah malam kelmarin

Mereka terpaksa melompat keluar dari rumah dan kuarters guru setinggi dua meter di Sekolah Kebangsaan (SK) Sabur selepas dikejutkan dengan hentakan pedang di kediaman masing-masing sebelum melarikan diri ke hutan paya bakau bagi mengelak dicederakan dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu
Dua belas guru lelaki terbabit mengajar di sekolah itu antara dua hingga 10 tahun, manakala dua guru wanita itu baru berpindah ke sekolah berkenaan.

Saksi berkata, ketika kejadian kebanyakan guru di rumah dan kuarters diperbuat daripada papan itu nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan hentakan kuat pada dinding dan pintu, selain pekikan lelaki mengamuk.

“Sebaik membuka pintu, saya terkejut melihat guru lelaki berusia 30 tahun mengamuk dengan melibas pedang samurai dan menghentak pedang ke dinding dan pintu rumah kawan saya.

“Saya terus mengejutkan tiga rakan lain dan melompat keluar dari rumah papan setinggi kira-kira dua meter untuk melarikan diri ke dalam hutan paya bakau.
“Ketika menyelamatkan diri, saya nampak ada beberapa guru lain termasuk wanita turut melarikan diri ke dalam hutan.

"Sebelum melarikan diri, ada seorang kawan saya sempat mengambil telefon bimbit dan menghubungi polis tetapi polis hanya tiba kira-kira jam 12 tengah hari.

“Kami agak kecewa kerana polis dari Balai Polis Banggi di pekan Karakit hanya datang kira-kira 11 jam,” katanya ketika dihubungi di Pulau Banggi, semalam.

Pulau Banggi dengan keluasan 432 kilometer (km) persegi adalah pulau terbesar di Malaysia yang boleh dikunjungi dengan menaiki feri dari Kudat yang perjalanannya mengambil masa satu setengah jam.

SK Sabur mempunyai 18 guru dan lima kakitangan sokongan, kebanyakan guru adalah dari Semenanjung, manakala jumlah muridnya ialah 190 orang.

Saksi itu berkata, mereka hanya dapat keluar dari tempat persembunyian masing-masing selepas mendengar bunyi helikopter Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bot PDRM.

Difahamkan, guru yang mengamuk itu berasal dari Ranau dan sudah berkahwin dengan wanita tempatan. Dia dikatakan mengajar di sekolah itu sejak lapan tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kudat, Deputi Superintendan Dawi Ossen, mengesahkan guru berkenaan ditahan di rumahnya tidak jauh dari sekolah, tengah hari kelmarin.

"Ketika ditahan, suspek tidak melawan dan kita turut merampas sebilah senjata tajam daripadanya,” katanya.

Mengenai kelewatan anggota polis tiba di tempat kejadian, beliau berkata, angin kencang menyebabkan anggota dari Balai Polis Banggi terpaksa meredah ombak besar dan meminta bantuan Unit Udara PDRM.

Adik setuju potong tangan

2011/01/20
KLANG: Mangsa renjatan kabel elektrik yang melecur hampir 35 peratus tubuhnya, akhirnya membenarkan kedua-kedua tangan serta ibu jari kaki kirinya dipotong akibat dijangkiti kuman selepas mendapat nasihat doktor yang mengesyorkannya untuk berbuat demikian.

Kakak Mangsa, Maryuni Miskon, 32, berkata adiknya, Muhammad Hairuman, 22, bersetuju menjalani pembedahan itu selepas mendapat nasihat doktor bagi mengelak keadaan menjadi lebih serius.

Muhammad Hairuman dilihat memasuki bilik bedah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada jam 4.45 petang semalam.

Sementara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pihaknya bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa dan berjanji menyalurkan bantuan kepada mangsa bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Kami sangat bersimpati dengan mangsa dan berjanji membantu mangsa untuk mendapatkan sumbangan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di samping mendapatkan peralatan seperti tangan palsu.

“Saya juga akan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berhubung perkara ini bagi mendapatkan bantuan susulan selain Kelab Putera 1Malaysia akan membantu mangsa menjalani kehidupan selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di ruang legar HTAR, di sini, semalam.

Abdul Azeez juga turut menghulurkan sumbangan RM1,500 daripada Kelab Putera 1Malaysia kepada mangsa yang diwakili kakaknya.
Muhammad Hairuman, pelajar kolej swasta di Kuala Selangor terkena renjatan ketika mengambil upah mengait kelapa sawit di Jalan Masjid Baru, Tanjung Karang pada 26 November tahun lalu.

Buruh mati dibelasah empat lelaki

SUNGAI PETANI 19 Jan. - Seorang buruh yang parah selepas dibelasah dengan kayu besbol dan topi keledar oleh sekumpulan empat lelaki termasuk seorang kenalannya di sebuah rumah di Taman Mesra dekat Jalan Sekerat di sini, Ahad lalu meninggal dunia semalam.

S. Perumal, 53, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9 pagi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) selepas lebih 48 jam koma kerana mengalami pendarahan teruk di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi ketika mangsa sedang berehat di rumah bersama seorang anak saudaranya.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja mengambil upah tiba-tiba didatangi sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang, kayu besbol dan topi keledar.

Katanya, kumpulan lelaki berkenaan kemudian menjerit memanggil nama mangsa serta mengetuk rumah berulang kali.

"Suspek juga dikatakan menendang pintu rumah menyebabkan mangsa yang mahu membuka pintu jatuh terlentang sebelum dipukul beberapa kali.

"Mangsa ditarik keluar dari rumah sebelum dibelasah lagi oleh kumpulan lelaki terbabit dengan menggunakan kayu besbol dan topi keledar sebelum mereka beredar meninggalkannya kira-kira 50 meter dari pintu pagar rumah," katanya di sini hari ini.

Hashim berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian kemudian segera membawa mangsa ke HSAH untuk rawatan lanjut.

"Mangsa yang cedera parah di kepala berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sebelum meninggal dunia semalam," katanya.

Beliau memberitahu, ekoran kejadian tersebut, polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes yang dipercayai berpunca daripada salah faham.

Katanya, suspek yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

"Selepas siasatan lengkap, suspek akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Ahli Parlimen diugut bunuh

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching hari ini mendakwa menerima ugutan menerusi sekeping kertas dan seekor ayam yang disembelih serta digantungkan di luar pejabatnya di Pusat Khidmat DAP Sungai Chua, Kajang dekat sini.

Kertas yang ditampal di pintu jeriji pejabat itu bertulis; 'Ingat!!! Ini Satu Peringatan, Tentera Jihad'.

Tidak jauh dari nota ugutan itu, seekor ayam yang disembelih dan diikat turut digantung pada pintu pagar pejabat berkenaan.

Berikutan kejadian itu, Nie Ching membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada pukul 12.30 tengah hari.

"Ini kali pertama saya menerima ugutan sebegini, namun saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak," katanya.

Nie Ching sebelum ini diselar kerana berpakaian ketat ketika bersenamrobik di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, Selangor, baru-baru ini.

Wakil rakyat itu juga pernah mengundang rasa kurang senang masyarakat Islam apabila menyampaikan 'ceramah' di dalam sebuah surau di Kajang Sentral, Kajang pada Ogos lalu.

Nie Ching dalam laporan polis yang dibuat mendakwa, rakaman kamera litar tertutup yang diperoleh daripada sebuah kedai bersebelahan pejabatnya menunjukkan dua lelaki tidak dikenali menggantung ayam dan nota itu.

Kejadian itu berlaku pada pukul 1.56 pagi ini.

"Saya harap imej yang dirakam CCTV berkenaan dapat membantu pihak polis dalam mengenalpasti dan menahan suspek yang terlibat," ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Kata beliau, kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan mangsa secara jenayah.

Tendang datuk sampai mati
Oleh Omar Osman
am@hmetro.com.my

SUNGAI PETANI: Seorang warga emas patah tulang rusuk sebelum menghembuskan nafas terakhir selepas dipukul dan ditendang cucunya sendiri yang naik angin apabila tidak mendapat wang RM100 dimintanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Khamis lalu, Saad Man, 66, didatangi cucu lelakinya berusia 22 tahun di rumahnya di Kampung Alor Nibong, Kota Kuala Muda, di sini dan meminta wang RM100.

Sumber polis berkata, apabila Saad enggan memenuhi permintaannya, suspek memukul mangsa sebelum keluar dari rumah berkenaan.

“Bimbang cucunya bertindak liar, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Kuala Muda. Bagaimanapun, tindakan itu menyebabkan cucunya bertambah marah.

“Sebaik tiba di rumah selepas membuat laporan polis, cucunya terus menendang dan memukul mangsa berkali-kali di luar rumah.

“Akibat serangan cucunya itu, mangsa jatuh dan mengalami kecederaan parah. Cucunya melarikan diri selepas menyedari perbuatannya dilihat jiran, apatah lagi apabila melihat datuknya tidak sedarkan diri.

Mangsa dihantar jirannya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa yang cedera di beberapa bahagian badan dan patah tulang rusuk meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di HSAH,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner, Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan polis sudah menahan suspek beberapa hari lalu.

“Dia kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.