Pages

Subscribe:

10 Mac, 2011

[hang nadim] Apa punca orang Islam turut lakukan rasuah?

Oleh AHMAD IDRIS

DARIPADA pemimpin tertinggi sehinggalah kepada yang serendah-rendahnya, kalau bercakap mengenai rasuah akan bersuara lantang dan keras mengutuk 'perasuah'.

Semua golongan memang tidak 'beri muka' kepada mereka yang makan rasuah. Yang anehnya, bila dia dibawa ke mahkamah atas tuduhan rasuah, maka dia akan mengenakan 'ketayap putih' sebagai lambang 'orang baik'.

Ketayap putih lambang orang yang sudah tunaikan haji dan sebab itulah bila dibawa ke mahkamah mereka akan pakai ketayap, sedangkan perangainya makan harta haram, rampas hak orang lain.

Rasuahlah penyakit yang merosakkan kita sebagai satu bangsa yang bermaruah dan mencemarkan imej Islam. Rasuahlah yang akhirnya akan membuat kita terperosok dalam krisis yang paling dalam sekali.

Walau pun agak sukar atau pun payah bagi kita memerangi rasuah sehingga ke akar umbi, tetapi kalau kita benar-benar berusaha ia akan mencapai kejayaan. Yang pentingnya ialah kesediaan kita untuk bekerja keras tanpa mengira jemu berjihad menentang rasuah.

Ini akan lebih berkesan lagi bila ada kemahuan politik yang sungguh-sungguh, sama ada daripada pihak pemerintah mahu pun masyarakat.

Rasuah ini bolehlah kita bahagikan kepada dua kategori. Pertama: Rasuah yang dilakukan untuk memperkayakan diri sendiri. Mereka ini menggunakan kesempatan memegang jawatan dan kedudukannya. Mereka ini boleh dianggap sebagai "penjahat kolar putih". Golongan inilah yang mesti diperangi habis-habis sehingga ke akar umbi.

Kedua: Perasuah-perasuah kecil. Kita memang mengenali bahawa rasuah kelompok ini dilakukan semata-mata sebagai usaha untuk menampung hidup. Ini kerana kelompok jenis gaji tidak mencukupi untuk keperluan sehari-harian, maka terpaksa lakukan rasuah.

Seharusnya, kerajaan tidak perlu ragu-ragu untuk menghukum perasuah-perasuah yang memperkayakan diri sendiri atau peribadi dengan hukuman yang seberat-beratnya.

Kelompok perasuah ini sebenarnya telah mempergunakan hak masyarakat secara haram, secara tidak halal, secara zalim sematamata untuk bersenang-senang. Hakikatnya, kedua-dua kategori atau kelompok perasuah ini tidak boleh diberikan pengampunan.

Sebab, rasuah kecil ini akan menjadi tunas, dan bakal berlaku rasuah besar. Kini, kedua-dua rasuah ini terjadi tompok menompok. Inilah yang sebenarnya terjadi di negara kita, di mana rasuah besar dan rasuah kecil bercampur baur.

Persoalannya sekarang ia menjadi tidak mudah untuk dipecahkan, kerana cara menanganinya sangatlah lain dengan campur tangan daripada banyak pihak.

Untuk jihad terhadap rasuah, jawapannya ialah dengan mengubah sistem undang-undang yang ada sekarang. Dengan undang-undang yang ada sekarang ini, mustahil bagi kita untuk dapat memerangi rasuah.

Sebenarnya, di antara faktor yang menghalang atau tergendalanya usaha untuk membanteras rasuah ialah persoalan budaya dan penegak hukum.

Di tengah-tengah masyarakat dulu, rasuah sudah menjadi sebahagian daripada budaya, kerana memberi itu adalah 'kewajipan' yang lebih ditakrifkan sebagai cenderahati.

Jadi, yang amat perlu sekarang, bukan lagi reformasi, tetapi transformasi ke arah masyarakat yang lebih terbuka dan berdasarkan aturan. Tanpa ada penegak hukum yang murni dengan kesungguhan, tidak mungkin kita benar-benar mampu membanteras rasuah.

Sebenarnya, amaran supaya jangan melakukan rasuah, dan jangan melakukan itu dan ini sudah berlalu. Zaman memberi amaran kepada mereka yang melakukan hal-hal yang merosakkan negara tidak diambil peduli oleh pengamal-pengamal rasuah.

Misalnya, ada menteri yang memberi amaran jangan rasuah. Dalam khutbah Jumaat dan ceramah-ceramah kalangan ulama selalu diserukan supaya jangan melakukan rasuah.

Amaran dan seruan jangan rasuah sudah habis masanya. Yang penting sekarang ialah 'transformasi'.

Yang melakukan rasuah itu bukan lagi budak-budak kecil yang memerlukan nasihat dan amaran. Mereka sudah tua dan sempurna akal fikirannya, boleh berfikir, dapat membezakan halal dan haram dan tahu pula mana yang betul dan mana yang salah.

Kenapa ada orang sanggup melakukan rasuah yang pada hakikatnya hukumannya sudah jelas? Daripada segi hukum agama, ia sudah terang haramnya dan daripada segi hukum negara tetap salah, tetapi kenapa mereka lakukan?

Puncanya satu sahaja, kerana tidak sembahyang. Kalaulah mereka yang melakukan kegiatan ini "istiqamah sembahyangnya", tentulah mereka tidak akan melakukan perbuatan-perbuatan terlarang ini.

Kerana melalaikan sembahyanglah, maka ia berani melakukan perkara terkutuk ini. Sembahyanglah menjadi "pagar besi" paling penting. Bila seseorang itu melalaikan sembahyang, mudahlah syaitan menyelinap masuk dalam urat darahnya dengan membisikkan di telinga dan hatinya supaya melakukan kejahatan.

PENULIS ialah bekas Pengarang Mingguan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.