Pages

Subscribe:

27 April, 2011

[hang nadim] Berita gembira jika ketua pembangkang lakukan sumpah laknat.....




PUTRAJAYA 27 April – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengalu-alukan jika benar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin bersumpah mubahalah iaitu sumpah laknat dalam masa terdekat.

Menurut beliau, kesediaan Anwar melakukan sumpah laknat tersebut akan membolehkan rakyat negara ini mengetahui kedudukan sebenar isu yang menyelimuti Penasihat PKR itu.

“Saya tidak tahu mengenai perkara itu, tetapi kalau benar, Alhamdulillah dan amat dialu-alukan supaya umat Islam dapat penjelasan mengenai kedudukan sebenar.

“Jika benar dia akan melakukan sumpah laknat dalam masa terdekat, ia satu berita gembira kepada masyarakat ketika ini mahu mengetahui cerita sebenar di sebalik isu video seks yang kian hangat diperkatakan,” katanya.

Menurut Jamil Khir, bersumpah merupakan salah satu cara dalam Islam bagi membuktikan diri tidak bersalah dalam sesuatu perkara

“Anwar hanya perlu lafazkan Wallahi, Wabillahi, Watallahi di hadapan masyarakat umum seperti yang dilakukan individu lain bagi membersihkan namanya, jika betul dia tidak terlibat dalam video seks tersebut, maka sumpah laknat bukan satu masalah baginya,” katanya.

Jamil Khir mengulas khabar angin yang mengatakan Anwar dan trio ‘Datuk T’ akan melakukan sumpah laknat dalam masa terdekat bagi membuktikan siapa yang benar dalam isu video seks yang dikatakan mirip Ketua Pembangkang itu.

Pertahan Anwar habis-habisan

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 27 April – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendakwa pembangkang telah membuat ketetapan untuk mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim habis-habisan jika mahkamah memutuskan ketua pembangkang itu bersalah dalam pertuduhan liwat.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah berkata, ketetapan itu dibuat kerana pembangkang menganggap pemimpin mereka tidak melakukan sebarang kesalahan dan Anwar sendiri mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada undang-undang negara.

“Saya difahamkan keistimewaan ini bukan hanya membabitkan Anwar seorang tetapi turut melibatkan seluruh ahli keluarga Anwar terutamanya Wan Azizah (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) dan Nurul Izzah.

“Ketetapan ini membuktikan pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk membelakangkan undang-undang negara jika ia tidak memberi sebarang keuntungan politik kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang menetapkan 16 Mei ini, sama ada Anwar akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Mengulas lanjut Azwanddin berkata, ketetapan yang dibuat itu membuktikan bahawa pembangkang tidak pernah ikhlas berjuang untuk rakyat sebaliknya, mereka hanya berjuang demi kepentingan cita-cita politik Anwar seorang sahaja.

Katanya, demi cita-cita Anwar untuk bergelar Perdana Menteri, rakan komponen pembangkang terutamanya Pas yang sebelum ini melabelkan diri mereka sebagai parti Islam pun terpaksa menjadi ‘pak turut’ sehingga sanggup menghalalkan segala salah laku moral ketua pembangkang itu.

“Rakyat perlu sedar bahawa pembangkang tidak pernah ikhlas. Mereka hanya ingin kuasa demi kepentingan Anwar sehingga sanggup menggadaikan segala integriti dalam berpolitik,” ujarnya.

Guna RM600,000 wang rakyat untuk kempen mansuhkan ISA

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 27 April - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor hari ini meluluskan peruntukan berjumlah RM600,000 daripada dana rakyat untuk melaksanakan agenda politik pembangkang iaitu kempen memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, wang rakyat di bawah Akaun Amanah Penswastaan itu akan dipindahkan ke Perbadanan Menteri Besar (MBI) bagi melaksanakan kempen itu yang dijangka bermula bulan depan.

Katanya, wang tersebut turut digunakan untuk pemasangan papan iklan yang bermotifkan pemansuhan ISA di seluruh 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Penggunaan wang ini diluluskan mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini untuk digunakan bagi program penerangan dan pemasangan papan iklan mempromosi kempen memansuhkan ISA.

"Untuk papan iklan, kita akan membuka tender. Kempen ini untuk menunjukkan kepada rakyat mengenai usaha kerajaan negeri dalam isu kebebasan bersuara," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri juga turut mengadakan program ceramah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti-parti pembangkang yang pernah ditahan di bawah ISA sebelum ini.

Antara mereka yang akan terlibat dalam kempen itu ialah ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan dan ADUN Hulu Klang, Saari Sungib.

Keputusan kerajaan negeri itu adalah susulan keputusan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 April lalu yang sebulat suara meluluskan usul menggunakan wang rakyat negeri ini bagi melaksanakan agenda politik PKR, Pas dan DAP bagi memansuhkan ISA.

Usul itu antara lain meminta kerajaan negeri memberikan peruntukan untuk memasang papan tanda iklan dengan tema Selamatkan Malaysia: Mansuhkan ISA di setiap kawasan DUN Selangor.

Wang rakyat untuk pembangunan negeri, bukan bertujuan kempen politik

SHAH ALAM 27 April - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri menyifatkan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menyalahgunakan kuasa apabila menggunakan wang rakyat berjumlah RM600,000 untuk mengadakan kempen politik parti pembangkang.

Yang Dipertuanya, Abdullah Mansor berkata, penggunaan wang tersebut menunjukkan Kerajaan PKR Selangor, DAP dan Pas tidak bertanggungjawab selain cuba mencampuradukkan urusan pentadbiran negeri dengan politik.

"Sekiranya mereka hendak mengadakan kempen mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mereka boleh buat di peringkat parti dan menggunakan kewangan sendiri, bukannya wang rakyat.

"Wang rakyat adalah untuk pembangunan negeri, bukan untuk PKR, DAP atau Pas. Tindakan kerajaan negeri ini adalah salah guna kuasa dan bertentangan dengan amalan pentadbiran yang baik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sambil menyelar tindakan kerajaan negeri itu, Abdullah tidak menolak kemungkinan kempen yang akan diadakan itu adalah agenda parti pembangkang untuk menyemai rasa benci rakyat terhadap Kerajaan Persekutuan.

Katanya, ISA sebenarnya tidak membawa masalah kepada rakyat sejak ia diperkenalkan 51 tahun lalu sebaliknya secara keseluruhannya memberikan kesejahteraan dan keselamatan kepada rakyat dan negara sehingga hari ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Abdul Shukor Idrus meminta rakyat menilai sendiri tindakan PKR Selangor yang terus 'menyedut' dana negeri bagi kepentingan agenda politiknya di negeri ini selepas menyalahgunakan wang rakyat untuk melancarkan kempen Buku Jingga pada Mac lalu.

"Kita minta rakyat lihat sendiri, kalau sebelum ini mereka gunakan duit rakyat untuk lancarkan Buku Jingga, sekarang mereka gunakan jalan mudah iaitu kempen mansuhkan ISA,'' katanya.

Abdul Shukor berkata, kerajaan negeri ternyata sudah tidak mempunyai idea untuk membangunkan negeri dan membantu rakyat.

Sebaliknya beliau berkata, pentadbiran Abdul Khalid kian galak menyalahgunakan dana milik rakyat bagi tujuan persediaan ke arah pilihan raya umum.

"Ini betul-betul salah guna wang rakyat sedangkan dalam masa yang sama mereka gagal membangunkan negeri. Apa yang boleh rakyat banggakan dengan kerajaan negeri sekarang selain daripada program air percuma?" soalnya.

Pas enggan masuk campur

KUALA LUMPUR 27 April - Pas enggan masuk campur dalam perang mulut antara Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

Ini kerana, Pas menganggap perang mulut yang tercetus itu hanya membabitkan Mustafa dengan Azmin dan bukannya melibatkan permasalahan antara Pas dengan PKR .

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, beliau tidak perlu memberi sebarang komen berhubung kemelut antara dua pemimpin kanan pembangkang itu.

"Biarlah polemik ini hanya antara Cikgu Pa (Mustafa) dengan Azmin. Saya tidak mahu memberi ulasan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan balas Mustafa terhadap Azmin selepas Timbalan Presiden PKR itu terlebih dahulu 'menyerang' beliau secara terbuka di Twitter.

Dalam kritikannya Mustafa berkata, Azmin tidak mempunyai ketahanan politik sebagaimana mentornya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Selain itu, beliau juga mendakwa Azmin kini berada dalam keadaan sangat tertekan sehingga mudah untuk melenting secara berlebihan apabila berhadapan dengan sesuatu isu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad juga enggan masuk campur dan menyerahkan kepada kebijaksanaan kedua-dua belah pihak untuk menyelesaikan masalah itu.

"Saya tidak mahu memberi komen, saya berkecuali," katanya ringkas.

DAP parti politik subversif di sebalik undang-undang

KUALA LUMPUR 27 April – DAP disifatkan sebagai parti politik subversif yang memanipulasi peruntukan undang-undang bagi mencabar kedaulatan Perlembagaan Persekutuan serta cuba mengubahnya terutama berkenaan keistimewaan Islam dan bumiputera.

Ahli Jawatankuasa Kerja Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, tindakan subversif DAP itu amat berbahaya kerana cubaan mencabar dan mengubah undang-undang tertinggi negara akan menyebabkan perpecahan di kalangan masyarakat.

Katanya, cubaan itu dilihat semakin berjaya dari semasa ke semasa kerana selain sokongan masyarakat Cina, prinsip kesamarataan yang diperjuangkan DAP kini turut diangkat oleh sebahagian golongan Melayu, bumiputera serta anak negeri Sabah dan Sarawak.

“Idea kesamarataan atau Malaysian Malaysia yang diperjuang DAP bagi menafikan keunggulan Islam dan hak Melayu serta bumiputera adalah satu bentuk perjuangan subversif di sebalik kesahihan parti itu sebagai pertubuhan politik di negara ini.

“Idea kesamarataan ini diperturunkan oleh Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew menerusi PAP sehingga menyebabkan republik itu keluar daripada Malaysia namun DAP masih memperjuangkannya sehingga membahayakan pembinaan negara bangsa,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas memberi ucapan pada majlis Kuliah Budaya: Pengukuhan Jati Diri Masyarakat Malaysia anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, percubaan DAP untuk meminda Perlembagaan Persekutuan menerusi sokongan masyarakat bumiputera semakin berjaya menerusi kerjasama politik dengan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Semenanjung serta Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) di Malaysia Timur.

“Modus operandi DAP menggunakan Melayu dan bumiputera menerusi Pas, PKR dan Snap tidak ubah seperti tindakan Parti Komunis Malaya (PKM) mempergunakan cabang Rejimen Keenam Melayu PKM yang hanya 10 sehingga 20 orang tetapi dibayangkan seperti beribu anggota,” jelasnya.

Justeru, kata beliau, pertubuhan seperti PKR, Pas, Snap dan Rejimen Keenam Melayu PKM diumpamakan seperti watak Pak Kaduk dalam sastera Melayu yang sanggup dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab sehingga merugikan mereka sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.