Pages

Subscribe:

02 April, 2011

[ hang nadim] Seri Bayu meninggal dunia..... Al Fatihah......



Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my

















Seri Bayu
KUALA LUMPUR 2 April - Penulis lirik, Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik meninggal dunia di Hospital Besar Port Dickson, Negeri Sembilan malam ini kerana menghidap sakit saraf.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8.30 malam pada usia 46 tahun.

Menurut anak angkat Allahyarham, Sarina Abdul Ghani, 29, mereka sekeluarga terpaksa membawa Seri Bayu ke hospital ekoran keadaannya yang kritikal.

"Bagaimanapun, kita tidak dapat berhubung dengan keluarga kandung termasuk anak Allahyarham kerana terputus hubungan.

"Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12, Teluk Pelanduk, Port Dickson selepas solat Zuhur esok," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia malam ini.

Allahyarham yang pernah menghasilkan lirik-lirik lagu terkenal, antaranya 'Cintamu Muzik Dihatiku' nyanyian Anita Sarawak, menderita penyakit saraf motoneuron disease sejak beberapa tahun lalu.

Beliau pernah berkahwin dengan penyanyi Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 28, atau Erema dan masih dalam proses perceraian di mahkamah.


Sebelum Aku Pergi lirik terakhir Seri Bayu

PORT DICKSON 3 April – Sebelum Aku Pergi merupakan lirik lagu terakhir yang dicipta oleh Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik, 45, yang meninggal dunia di Hospital Port Dickson kira-kira 8.30 malam tadi akibat penyakit saraf.

Lirik itu dihasilkannya beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia, khusus untuk anak angkatnya, Nazira Abdul Ghani, 16, yang baru mahu bertapak di bidang seni.

“Dia menyiapkan lagu ini dengan bahasa isyarat dengan dibantu oleh Nazira. Lagu dan lirik ini ditulis dalam dua minggu terakhir hidup Allahyarham.

“Lirik yang ditulis untuk lagu berkonsepkan balada ini banyak menyentuh kesedihan Allahyarham terutama mengenai masalah penceraian dengan isteri keduanya,” kata abang angkat Allahyarham, Abdul Ghani Pandak Sidi, 50-an.

Menurut Abdul Ghani, Seri Bayu dimasukkan ke Hospital Port Dickson pada Jumaat lalu apabila tiba-tiba diserang sakit kuat akibat jangkitan kuman dalam paru-parunya.

Penulis lirik kelahiran Singapura yang juga bekas wartawan ini menderita sakit lumpuh selama enam tahun akibat masalah saraf.

Sepanjang tempoh itu, Allahyarham dijaga oleh adik-beradik angkatnya yang tinggal di Shah Alam, Serdang dan kali terakhir di rumah Abdul Ghani.

Antara bait lirik lagu Sebelum Aku Pergi ialah: “Lukaku simpan dalam senyuman. Menangis hatiku siapa yang tahu.”

Nazira hanya termenung melihat helaian lirik lagu itu yang ditunjukkan oleh Abdul Ghani dan tidak dapat menjawab semua pertanyaan wartawan kerana terlalu sedih dengan pemergian ayah angkatnya itu.

Dia berkata, sukar untuk memahami pergerakan mulut serta tangan Allahyarham ketika menulis lirik serta lagu itu.

Seorang sahabat lama Allahyarham, Azmi Zahari memberitahu, Allahyarham berkahwin dua kali tetapi kedua-duanya tidak bertahan lama.

“Saya tidak pernah berjumpa dengan anak-anak Allahyarham tetapi beliau ternyata amat sayangkan mereka. Potret lima anaknya dengan isteri pertama menjadi pengisi Allahyarham ketika rindu,” katanya.

Azmi berkata, beliau telah merancang untuk mengadakan konsert kebajikan untuk Seri Bayu pada tahun lepas bersama dengan beberapa orang artis tempatan, tetapi konsert itu tidak dapat diteruskan akibat masalah tertentu.

“Saya rasa sepanjang hayat Allahyarham, beliau telah menulis lebih daripada 2,000 lirik lagu. Artis yang mendapat khidmatnya ialah Jamal Abdillah dan Anita Sarawak,” katanya.

Artis tempatan yang dikatakan mendapat khidmat terakhir Allahyarham tahun lepas ialah penyanyi Sheeda melalui lagu Muah Muah Sayang.

Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira pukul 2,30 petang ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Pelanduk.

Turut hadir ahli keluarga Seri Bayu serta beberapa rakan artis termasuk penyanyi dangdut popular, Sheeda; komposer, S. Atan dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez bagi memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham.

Dalam pada itu, isteri Seri Bayu, Dayang Zaira Erema Awang Moshdad atau lebih dikenali sebagai Erema ketika ditemui selepas majlis pengebumian memberitahu, dia masih terkejut dengan pemergian suaminya itu.

Erema yang juga seorang penyanyi berkata, kali terakhir mereka bertemu adalah beberapa bulan lalu di mahkamah ketika proses menuntut cerai daripada arwah.

“Walaupun sudah beberapa tahun tidak tinggal bersama, saya tetap sedih dengan pemergian beliau. Kami selalu juga berhubung untuk bertanya khabar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.