28 Jun, 2011
[hang nadim] Bersatu Bersihkan......perosak Perpaduan Negara.....
Bersih: Suasana tegang apabila dua kumpulan bertembung
KEPALA BATAS 28 Jun - Suasana di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) malam ini tegang apabila lebih 200 penduduk setempat berarak dan bertembung dengan sekumpulan penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang berkampung di kawasan itu sejak semalam.
Tinjauan mendapati, satu-satunya laluan menuju bangunan tersebut yang biasanya senyap sunyi bertukar hingar-bingar dengan jeritan bantahan penduduk yang berarak dari Dewan Milennium, dekat sini bermula pukul 9 malam.
Difahamkan, beberapa aduan dibuat kepada polis mengenai tindakan kira-kira 50 penyokong parti tersebut yang berkumpul di kawasan itu sejak petang semalam sehingga menimbulkan rasa kurang senang penduduk selepas parti itu dikaitkan dengan perhimpunan haram 9 Julai ini.
Kumpulan penduduk itu turut disertai ahli Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas serta anggota beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gerakan Belia 4B sekitar daerah ini.
Tinjauan juga mendapati, polis mengambil langkah berjaga-jaga dengan menempatkan kira-kira 20 anggota Unit Pencegah Rusuhan (PORU) di kawasan tersebut bagi mengelakkan pertempuran antara dua kumpulan itu.
Perarakan yang mulanya berlangsung aman bertukar tegang apabila kumpulan penduduk menghampiri bangunan IPD dengan laungan 'Allahuakbar' serta jeritan seperti 'negara kita ada undang-undang', 'jangan rosakkan keamanan negara' dan 'ini bukan negara komunis'.
Pada satu ketika, keadaan seperti tidak dapat dikawal apabila kedudukan dua kumpulan itu semakin hampir sehingga memaksa polis berada di tengah-tengah laluan bagi mengelak berlakunya pertempuran.
KDN beri polis mandat bertindak
Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 28 Jun – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberi mandat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan apa sahaja yang sepatutnya terhadap mana-mana pihak termasuk penganjur perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) demi menjaga keselamatan negara.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia termasuk menyiasat Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang cuba menghidupkan fahaman komunis.
“Bersih dan pihak lain yang terlibat juga diingatkan bahawa PDRM sentiasa memantau gerak-geri mereka dan tidak teragak-agak akan mengambil tindakan.
“KDN telah memberi mandat kepada PDRM untuk melakukan apa yang patut terhadap Bersih dan pihak terlibat (penyebar fahaman komunis) demi memastikan keamanan dan keselamatan rakyat.
“Pihak yang terlibat dinasihat tidak memandang ringan terhadap pemantauan dan pengumpulan maklumat yang dilakukan PDRM,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Hishammuddin mengulas tindakan penganjur dan peserta perhimpunan haram Bersih 2 yang didakwa cuba menghidupkan semula fahaman komunis.
Bersih melalui PSM juga didakwa mendapatkan bantuan ejen asing dari Filipina dan Korea Selatan untuk menyebarkan propaganda jahat bagi menggulingkan kerajaan.
Tindakan kotor pihak terbabit terbukti apabila sekumpulan 28 ahli PSM serta seorang lelaki Filipina, Romeo Castillo, 59, dan warga Korea, Min Young Song, 24, ditahan di hadapan Kolej Matrikulasi di Ledang, Johor, Sabtu lalu.
20 NGO pelancongan turut bantah
Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 28 Jun – Kira-kira 20 pertubuhan pelancongan membantah penganjuran perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini kerana ia boleh menjejaskan industri pelancongan negara.
Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia, Paul Paw berkata, perhimpunan tersebut akan menyebabkan aktiviti perniagaan pelbagai persatuan yang terlibat secara langsung dalam pelancongan terbantut sekali gus menjejaskan kedatangan pelancong asing.
Selain itu, kata beliau, perhimpunan tersebut juga boleh mengganggu program lawatan 100 ejen pelancongan Pertubuhan Pengembaraan Nasional China yang dijangka berada di sini dari 10 hingga 12 Julai bagi menghadiri persidangan pelancongan dengan pihak Malaysia.
‘‘Setakat ini, kita diberitahu bahawa pertubuhan itu belum memberi kata putus untuk mengesahkan kehadiran mereka ekoran bimbang dengan perhimpunan haram itu yang dilihat membahayakan diri mereka.
‘‘Jika mereka batalkan, kita akan rugi kira-kira RM1 juta kerana hotel-hotel telah banyak ditempah,’’ katanya kepada pemberita selepas mesyuarat antara persatuan pelancongan dengan Kementerian Pelancongan di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.
Sebanyak 16 pertubuhan pelancongan hadir pada mesyuarat tersebut antaranya, Persatuan Ejen Pengembaraan dan Pelancongan Malaysia (Matta), Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera, Persatuan Agensi Pelancongan India dan Persatuan Pelancongan Inbound Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel, Shaharuddin M. Saaid pula berkata, industri perhotelan dijangka mengalami kerugian teruk sekiranya perhimpunan itu diteruskan.
Jelas beliau, di sekitar Kuala Lumpur sahaja kira-kira 30 buah hotel tiga hingga lima bintang dijangka terjejas akibat perhimpunan itu.
‘‘Kita sebagai ahli perniagaan tidak mahu wujud sebarang kekacauan yang boleh merosakkan perniagaan, apatah lagi kini kebanyakan pengusaha hotel dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan dan harga bilik.
‘‘Kita amat bimbang, jika perhimpunan itu berlangsung juga keselamatan negara terjejas dan pelancong asing akan menerima kesannya,’’ jelasnya.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Spa Malaysia, Datin Ramona Sulaiman berkata, pihaknya tidak mahu lagi perniagaan mereka terjejas teruk seperti kejadian demonstrasi sebelum ini.
‘‘Pengunjung yang pada awalnya datang ke negara ini untuk berehat berasa kecewa setelah melihat demonstrasi jalanan itu sehingga menyebabkan mereka terpaksa pulang akibat bimbang dengan keselamatan masing-masing,’’ katanya.
50,000 pengamal silat sedia 'bertempur'
KUALA LUMPUR 28 Jun - Lebih 50,000 pengamal silat di negara ini bersedia untuk bertempur dengan pihak yang terlibat dalam perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 9 Julai ini.
Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Tan Sri Omardin Mauju berkata, seramai 100 guru daripada pelbagai pertubuhan silat akan membuat kata sepakat pada pertemuan Sabtu ini demi mempertahankan keselamatan negara.
Tegasnya, sebagai benteng ketiga selepas tentera dan polis dalam menjaga keamanan negara, adalah menjadi tanggungjawab pertubuhan itu untuk berdepan dengan mereka yang cuba membuat kacau dan mengganggu gugat keharmonian negara.
''Kami tetap dengan pendirian untuk 'berperang' jika mereka mahu meneruskan perhimpunan haram itu.
''Jika benar ia berlaku, saya tidak boleh jamin untuk mengawal emosi anak-anak buah saya pada hari tersebut kerana mereka diajar untuk bertindak jika berdepan dengan pihak lawan.
''Bukan kerja kita hendak bersorak atau menjerit seperti mereka, tetapi kerja kami hanya untuk memastikan negara tidak susah,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga bertegas tidak akan menukar pendiriannya untuk menganjurkan perhimpunan haram itu meskipun dihalang pihak berkuasa dan pihak lain.
Omardin berkata, Pertubuhan Silat juga tidak akan berganjak dengan pendirian mereka, bagaimanapun ia tidak bermaksud bahawa pertubuhan itu anti kaum atau agama selain Islam.
Nasihatkan anak-anak tidak berhimpun
KUALA LUMPUR 28 Jun - Pergerakan Wanita UMNO Wilayah Persekutuan hari ini menyeru ibu bapa agar menasihati anak-anak mereka tidak menyertai perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dirancang pada 9 Julai ini.
Ketua Pergerakannya, Datuk Azizah Abd. Samad berkata, perhimpunan haram itu tidak harus disertai golongan muda kerana tiada jaminan keselamatan memandangkan ia akan dijalankan tanpa permit.
"Pihak penganjur meminta polis supaya membuat kawalan serta menjaga keselamatan mereka dan itu telah menunjukkan mereka sendiri pun tidak tahu bagaimana jaminan keselamatan terhadap mereka yang menyertai Bersih," katanya selepas membuat laporan polis bersama 30 ahli wanita UMNO terhadap Bersih di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Turut membuat laporan di IPD Dang Wangi, ahli Persatuan Pekak dan Bisu Wilayah Persekutuan.
Di PULAU PINANG, wakil Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Daerah Timur Laut, Mohd. Rizuad Mohd. Azudin membuat laporan polis di IPD Timur Laut mendakwa penganjur turut merancang mengadakan taklimat di negeri ini.
Menurutnya, kumpulan itu akan mengadakan taklimat khas berhubung perhimpunan haram berkenaan di Tapak Ekspo Sungai Nibong dan di Tapak Ekspo Seberang Jaya di Seberang Perai.
"Apa motif mereka mengajak rakyat Pulau Pinang berkumpul dan membuat taklimat perhimpunan haram di Kuala Lumpur itu. Tak kan hanya mahu serah memorandum, perlu ajak orang berkumpul sehingga 100,000 orang," katanya.
Di KANGAR, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) turut membuat laporan di Balai Polis Kangar bagi membantah perhimpunan haram Bersih itu.
Laporan polis itu dibuat oleh Pengerusi PPN Perlis, Datuk Rashid Jasin yang mewakili 20,000 peladang di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan di luar lembaga tersebut.
Di KLANG, rancangan untuk mengadakan perhimpunan haram Bersih tersebut memberi kesan terhadap keyakinan masyarakat luar kepada tahap keselamatan negara.
Ini apabila terdapat para peserta pertandingan Ski Ais Asia yang dijadualkan berlangsung di Sunway Piramid di Petaling Jaya awal bulan depan melahirkan kebimbangan tentang keselamatan mereka berikutan laporan meluas mengenai rancangan perhimpunan itu.
Penolong Ketua Penerangan PPP, Tiong Yap Choon berkata, pihaknya dihubungi oleh para peserta dari Indonesia, Singapura, Thailand dan Hong Kong yang mahu memastikan tentang jaminan keselamatan diri mereka sepanjang berada di negara ini nanti.
"Mereka percaya dengan keselamatan negara kita namun ternyata rancangan Bersih telah memberikan kesan negatif terhadap imej negara," katanya selepas membuat laporan di IPD Klang Selatan hari ini.
Nukilan hati hang nadim
Melayu harus bertindak secara sabar bagi mengekalkan keamanan bertindak sebagaimana kita menentang Malayan union 1946 dan menuntut kemerdekaan 1957 Tetap akan bertindak jika berjuang seperti menetang Parti Komunis Malaya 1948 hingga 1962,Peggang semangat bersatu bukan berpecah......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.