Pages

Subscribe:

25 September, 2011

[hang nadim] Hudud: Pas cuba tutup isu Mat Sabu.....



KAMPAR 24 Sept. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan Pas membangkitkan semula isu hudud bertujuan menarik kembali sokongan rakyat khususnya orang Melayu kepada parti itu.

Menurut beliau, isu lama itu terpaksa diungkit semula dengan harapan ia dapat menenggelamkan isu Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menyifatkan pengganas komunis dalam peristiwa Bukit Kepong sebagai pejuang tanah air.

''Saya nampak ini taktikal, sebab parti Pas sudah menerima pukulan cukup hebat ekoran kenyataan Mohamad Sabu yang menidakkan pejuang-pejuang nasionalis yang terbunuh dalam insiden Bukit Kepong dahulu.

''Ia telah menimbulkan kemarahan yang begitu dahsyat dalam kalangan Orang Melayu," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Karnival 1Malaysia Tanjung Tualang sempena program turun padang ke Perak di sini hari ini.

Najib berkata, isu hudud juga jelas memperlihatkan ketiadaan persefahaman antara parti dalam pakatan pembangkang sudah tidak dapat ditutup dan diselindung daripada rakyat.

"Saya berharap ini dapat disedari oleh rakyat. Kita tidak boleh meletakkan harapan kepada satu gabungan yang tidak sehaluan dari segi prinsip dan ideologi.

"Bukan sahaja dari segi hudud tetapi juga dalam soal pembahagian jawatan dalam kabinet bayangan. Sehingga hari ini mereka belum berani merangka kabinet bayangan mereka," katanya.

Najib berkata, soal pelaksanaan hukum hudud sebenarnya bukan satu isu kerana ia tidak akan dilaksanakan di negara ini.

''Kita terima ini adalah undang-undang Tuhan dan sebagai sebuah parti yang terdiri daripada orang Islam, kita terima hakikat ini tetapi jika ia hendak dilaksanakan ia mesti berpaksikan kepada realiti.

"Jika ditanya para ulama sekali pun, undang-undang Islam itu tidak boleh dilaksanakan melainkan kita sudah mengambil kira persekitaran dan realiti sebenar masyarakat ketika itu," katanya.

Najib menambah, undang-undang sedia ada yang dipraktikkan kerajaan hari ini sudah mengambil kira prinsip 'Maqasid Syariah' iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

"Antara prinsip Maqasid Syariah ialah mempertahankan agama, nyawa, akhlak dan harta benda. Jadi dengan undang-undang yang sedia ada, prinsip maqasid syariah boleh dipertahan dan diperjuangkan," katanya

Burukkan Johor, serlah sikap sebenar Guan Eng

IPOH 24 Sept. – Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memburuk-burukkan Johor dengan menyatakan negeri berkenaan tidak sesuai untuk pelaburan jelas memperlihatkan sikap sebenar pemimpin pembangkang itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sebagai orang nombor satu dalam kerajaan negeri Pulau Pinang, Guan Eng seharusnya meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi.

Katanya, Guan Eng tidak seharusnya memandang rendah keupayaan negeri lain malahan setiap pelaburan yang masuk hakikatnya memberi pulangan secara langsung kepada negara.

“Walau apa jua sebab (memburuk-burukkan Johor), ia tidak patut berlaku kerana apa sahaja yang diterima sesebuah negeri akan memberi manfaat terhadap negara.

“Fikirkanlah dalam konteks yang lebih luas seperti peluang pekerjaan, tukaran wang asing kerana jika ia trend sebegini diamalkan, pelabur akan keliru walaupun apa yang diperkatakan itu tidak benar,” katanya selepas melawat projek perintis Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini, hari ini.

Di Johor, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, Guan Eng disifatkan sebagai seorang yang berada dalam keadaan siege mentality iaitu percaya dia sentiasa ditindas dan diserang oleh pihak tertentu.

Katanya, sebab itu, Guan Eng sanggup memburuk-burukkan nama negeri ini dengan mendakwa kes penculikan berlaku secara berleluasa.

“Guan Eng berniat tidak baik apabila membuat tuduhan seperti itu apatah lagi ketika berada di luar negara walhal negeri ini berada dalam keadaan aman dan damai.

"Saya harap rakyat, terutama di negeri Johor boleh menilai tindakan pemimpin DAP dari Pulau Pinang itu dan menilai apa yang ada pada Guan Eng sehingga sanggup merendah-rendahkan negeri ini,” katanya.

Di Kuala Lumpur, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu disifatkan biadab dan tidak bertanggungjawab apabila mengatakan Johor sebagai negeri tidak selamat sewaktu kunjungannya ke luar negara baru-baru ini.

Kata Ahmad, kenyataan tersebut menghina rakyat negeri itu dan Guan Eng harus menarik balik kenyataannya serta meminta maaf kepada seluruh rakyat Johor.

“Itu merupakan satu kenyataan biadab dan tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang yang memegang jawatan Ketua Menteri.

“Bagi saya, kenyataan itu tidak disokong oleh fakta kukuh. Beliau harus ingat, jenayah berlaku di seluruh dunia dan setiap negeri ada kes penculikan,” katanya.
Pas perlu buktikan ia bukan hipokrit, munafik dalam perjuangan

KOTA BHARU 24 Sept. - Pas dalam keadaan tersepit dan cuba menggunakan modal lapuk untuk memancing pengundi demi pangkat dan harta pemimpin mereka atas nama Islam.

Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran UMNO Kelantan, Prof. Madya Mohd. Noor Deris berkata, Pas kini dalam keadaan keluh kesah berikutan kesedaran rakyat mengenai perjuangan mereka yang mempergunakan agama demi kepentingan politik.

"Mereka rasa tak menang pada pilihan raya akan datang, maka itu Nik Abdul Aziz (Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) terpaksa menggunakan modal lapuk untuk menipu rakyat kononnya mereka memperjuangkan hudud sedangkan ia isu sudah basi.

"Jika betul Pas hendak perjuangkan hudud, kenapa setelah lebih 20 tahun memerintah Kelantan, belum ada undang-undang tersebut yang dilaksanakan. Macam mana nak laksana, kerana pemimpin Pas sebenarnya tidak faham politik Islam sebenar yang diperjuangkan oleh Rasulullah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dalam reaksinya pula meminta Karpal menghormati pendirian kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud kerana ia adalah hak masyarakat Islam sebagaimana Pas menghormati sebarang tuntutan orang bukan Islam.

Mengulas lanjut, Mohd. Noor berkata, sekiranya Pas hendak melaksanakan hukum hudud ia mestilah menyeluruh dan tidak memilih seperti kes Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu suatu ketika dahulu.

"Tahun 1990 lagi sepatutnya kalau Pas nak laksanakan hudud dah dilaksanakan, tetapi sudah lebih 20 tahun tidak ada apa-apa. Jangan tuduh pula UMNO permainkan isu tersebut. Bukan UMNO tak mahu tapi dia (Pas) tak faham," katanya.

Gesa Karpal nyatakan pendapat mengenai video dikait dengan Anwar

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Pengerusi DAP, Karpal Singh digesa menyatakan pendapat serta pendiriannya mengenai rakaman video terbaru didakwa memaparkan imej Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan masuk dan keluar daripada lif bersama rakannya, Datuk Shazryl Eskay.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, penjelasan Karpal Singah sebagai seorang peguam penting.

Ini kerana, kata beliau kepakarannya dalam hal bahan bukti termasuk rakaman video boleh memulihkan imej Anwar yang kini dipandang serong masyarakat berikutan penyebaran klip tersebut.

"Karpal Singh sebagai seorang peguam dan ahli politik didesak menyatakan pendiriannya untuk menyatakan benar atau tidak Anwar merupakan individu dalam rakaman video itu kerana dalam budaya kita, diam tanda setuju.

"Karpal Singah juga pernah secara terbuka meminta Anwar letak jawatan sewaktu (Anwar) menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana salah laku seks pada 1997 jadi apa pendirian Karpal sekarang, minta maaf kepada Anwar atau beliau memang setuju," katanya.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini hari ini.

Beberapa minggu lalu, blog Papagomo serta beberapa blog lain mula menyiarkan individu yang didakwa sebagai Anwar dan Shazryl memasuki sebuah lif di pangsapuri di Ampang dekat sini.

Blog-blog tersebut melaporkan video itu mempunyai kaitan dengan video seks didakwa melibatkan Anwar dengan seorang pelacur dari China yang ditayangkan kepada sekumpulan wartawan di Carcosa Seri Negara di sini beberapa bulan lalu.

Anwar yang menafikan beliau merupakan pelaku seks dalam video tersebut bagaimanapun enggan memberi sebarang komen mengenai video terbaru berkenaan.

Razali yang juga seorang peguam berkata, ini merupakan masa paling sesuai buat Karpal Singh tampil memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai pendirian dan pendapatnya dalam hal video itu berdasarkan kepakaran dalam undang-undang.

"Jika Karpal Singh terus membisu, saya sebagai seorang ahli politik dan peguam, sama seperti beliau, tidak akan berupaya menghormatinya sebagai seorang insan.

"Ini juga akan membuka mata masyarakat tentang kredibiliti, kepakaran dan keikhlasan seorang peguam serta ahli politik veteran bernama Karpal Singh," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.