oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 7 Sept. – Orang Melayu sepatutnya tidak boleh mengetepikan sejarah tentang bagaimana ramai orang Melayu dan Islam telah menjadi mangsa kekejaman pengganas komunis kerana enggan menyokong perjuangan gerakan tersebut.
Bekas Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Jaafar Onn yang juga anak pejuang kemerdekaan, Datuk Onn Jaafar berkata, peristiwa menyayat hati itu berlaku ketika pihak komunis cuba menguasai negara ini sebaik sahaja Jepun menyerah kalah.
Katanya, ramai orang Melayu termasuk mereka yang berpengaruh dalam masyarakat seperti imam, penghulu dan pegawai daerah telah dibunuh dengan kejam oleh pengganas komunis ketika itu.
Beliau berkata, mereka dibunuh dengan pelbagai cara antaranya ditikam dengan tombak, dikurung di dalam sangkar babi kemudian dibunuh, ditinggalkan di dalam hutan berhari-hari sehingga meninggal dunia atau digantung dengan kepala menghala ke bawah.
“Paling saya tidak boleh dilupakan ialah seorang ibu dan anak-anaknya dibakar hidup-hidup dalam sebuah rumah kerana enggan menyokong perjuangan komunis. Kesemua mereka ini adalah orang Melayu.
“Adakah layak komunis ini diangkat sebagai pejuang? Mereka bunuh orang kita, bangsa kita tanpa belas kasihan. Kisah ini, kisah benar yang berlaku di sekitar Batu Pahat ketika Allahyarham bapa saya menjadi pegawai daerah di kawasan itu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Jaafar dalam laporan akhbar hari ini ternyata begitu kecewa apabila terdapat pemimpin Melayu yang sanggup mendaulatkan komunis.
Sambil menyifatkan pemimpin Melayu serta pengikut mereka yang mengagungkan komunis sebagai pengkhianat, Jaafar, 79, berkata, beliau masih boleh menerima sekiranya rakyat Malaysia tidak mahu mengiktiraf jasa bapanya tetapi tidak sesekali memaafkan golongan yang mendewakan pengganas komunis.
Jaafar berkata, peristiwa-peristiwa yang berlaku itu diketahuinya ketika orang kampung mendapatkan perlindungan di kediaman bapanya di Bukit Soga selepas menerima ancaman daripada para pengganas tersebut.
Beliau berkata, penduduk kampung mengadu bahawa mereka diancam apabila tidak mahu menyokong perjuangan kumpulan haram berkenaan.
“Saya dengar kisah ini daripada mulut penduduk kampung sendiri yang mana ada ahli keluarga mereka dibunuh oleh komunis. Bukan sahaja penduduk kampung malah imam, pegawai daerah dan penghulu juga dibunuh kerana enggan memberi sokongan.
“Sedih saya mendengar bagaimana orang kita dibunuh. Bapa saya sendiri dilantik menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat disebabkan pegawai daerah sebelum itu telah dibunuh oleh komunis,’’ ujarnya.
Atas sebab itu beliau merasa amat hairan bagaimana pemimpin Pas seperti Mohamad Sabu (Mat Sabu) beria-ia menyokong perjuangan komunis dengan mengangkat Muhammad Indera (Mat Indera) sebagai tokoh pejuang.
“Sebagai seorang Islam dan seorang Melayu tidak tergamak kita untuk menyokong perjuangan komunis dan mengangkat mereka yang bersekongkol dengan komunis seperti Mat Indera dan pendukung komunis Melayu lain sebagai tokoh pejuang.
“Sebab kita tahu komunis telah melakukan kekejaman termasuk membunuh anak bangsa kita kerana enggan menyokong perjuangan mereka,’’ katanya lagi.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, tidakkah Pas sedar bahawa golongan imam pada masa itu sanggup mengorbankan nyawa daripada menyokong perjuangan komunis semata-mata mahu mempertahankan akidah mereka.
“Komunis tidak percaya pada agama dan sebab itu imam-imam kita menolak mentah-mentah pelawaan komunis kerana ideologi mereka bertentangan dengan Islam dan akibatnya mereka dibunuh oleh pihak komunis,’’ katanya lagi.
Bercerita lebih lanjut beliau berkata, kediaman bapanya pada zaman komunis telah menjadi penempatan sementara penduduk kampung yang menjadi mangsa serangan dan ancaman kumpulan itu.
“Sehingga bapa terpaksa membuat sebuah bangsal bagi kemudahan penduduk kampung untuk mendapatkan perlindungan daripada komunis.
“Sebenarnya sebelum berlaku peristiwa Bukit Kepong, komunis telah pun menunjukkan kekejaman terhadap orang Melayu dan Islam,’’ ujarnya.
Mat Indera kekal pengganas
Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
dan HAMDEN RAMLI
pengarang@utusan.com.my
NUSAJAYA 7 Sept. – Menteri Besar, Abdul Ghani Othman hari ini menegaskan bahawa Ahmad bin Indera atau Mat Indera bukan seorang ‘pejuang’ kemerdekaan negara dan kekal sebagai pengganas walaupun artikel mengenai individu itu terkandung di dalam buku Pengukir Nama Johor.
Jelas beliau, siri buku terbitan Yayasan Warisan Johor (YWJ) itu adalah antara naskhah yang menghimpunkan kajian, penulisan dan catatan berhubung sejarah negeri serta data-data kemasyarakatan berkaitan anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa sejarah sebelum merdeka, termasuklah Mat Indera.
“Dia pada awalnya seperti individu-individu lain yang berjuang atas platform masing-masing, tetapi tindakan menyertai PKM (Parti Komunis Malaya) dan gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.
“Berdasarkan fakta-fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong itu, Mat Indera adalah dengan sengaja dan sedar menjadi anggota PKM, sebagai Ketua Rejimen Ke-10 yang kejam serta zalim kerana mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam ketika itu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar, di sini, hari ini.
Kata Abdul Ghani lagi, Mat Indera bertanggungjawab sepenuhnya kerana merancang serangan tersebut walaupun diingkari anggota di bawah kepimpinannya yang menyerang dengan kejam semua anggota polis dan keluarga mereka di balai polis Bukit Kepong.
Menurut beliau, Mat Indera bukan seorang pejuang untuk mendapat kemerdekaan negara yang pada masa itu kerana usaha menuntut kemerdekaan ketika itu diadakan secara rundingan dan lebih berhemah oleh beberapa pertubuhan.
“Perjuangan melalui parti dan gerakan UMNO yang sah itu adalah lebih teratur dan meluas dengan melibatkan pelbagai pertubuhan Melayu di Semenanjung, yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan tanah air dan membina sejarah serta melangsungkan tamadun moden pasca merdeka di negara ini,” katanya lagi.
Sementara itu di Ipoh, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, tindakan Pas terus memainkan sentimen mempertahankan Mat Indera adalah bertujuan mengalih pandangan masyarakat terhadap isu sebenar yang dibangkitkan oleh Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu.
Sehubungan itu beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak terperangkap dengan helah tersebut yang bertujuan untuk menutup kesilapan yang telah dibuat Timbalan Presidennya itu.
“Isu pokok adalah persoalan tentang pihak mana dalam serangan di Bukit Kepong yang merupakan pejuang negara, dan bukannya isu Mat Indera.
“Perlu diingat Mat Indera bukan menyerang seorang diri tetapi bersamanya adalah sekumpulan pengganas komunis dari Rejimen Ke-10 PKM,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco negeri di sini, hari ini.
Semalam beberapa pemimpin Pas terus mempertahankan Mat Indera iaitu lelaki Melayu yang bersekongkol dengan PKM sebagai pejuang kemerdekaan negara.
Dalam pada itu, Zambry berkata, kerajaan tidak pernah menafikan sumbangan pejuang negara seperti Dr. Burhanudin Helmi, Ahmad Boestamam dan Abu Bakar Al-Bakir seperti didakwa oleh Mohamad Sabu dalam ceramahnya baru-baru ini.
Katanya, ini dibuktikan apabila nama-nama pejuang kemerdekaan itu diabadikan pada sekolah-sekolah khususnya di Perak.
“Saya sendiri bersekolah di Sekolah Ahmad Boestamam. Jika kita tidak mengiktiraf sumbangan mereka, tidak akan ada nama sekolah yang menggunakan nama pejuang tersebut.
“Maka jelaslah bahawa dakwaan Mohamad Sabu ini satu pembohongan,” katanya.
Saya tak akan maafkan dia’
Oleh RADHUAN HUSSAIN
utusanterengganu@utusan.com.my
Azlas Jaafar (kanan) dan Minah Mohammad menunjukkan gambar arwah bapanya, Konstabel Jaafar Hassan yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong di Kuala Terengganu, semalam. – Utsuan/Shaifudin
KUALA TERENGGANU 7 Sept. – Anak kepada Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan yang terbunuh dalam Tragedi Bukit Kepong mempersoalkan mengapa sampai begitu sekali Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu tergamak membela pengganas komunis.
Azlas Jaafar, 62, menegaskan, dia tidak akan memaafkan Mat Sabu yang mengeluarkan kenyataan menghina dan mengguris keluarga anggota keselamatan yang terbunuh semasa menentang komunis dan menganggap kematian mereka seolah-olah tidak bernilai sama sekali.
“Saya sangat sedih dan tidak sangka sama sekali dia (Mat Sabu) sanggup berkata demikian (mengangkat komunis sebagai hero). Saya tak akan maafkan dia. Jangan datang jumpa kami di sini, kami tak mahu dan saya benci dia.
“Dia sepatutnya dikenakan hukuman. Sebenarnya dialah penderhaka dan pengkhianat negara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perpindahan, Cendering dekat sini selepas dikunjungi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said hari ini.
Turut hadir ialah ibu saudaranya yang juga kakak kepada Allahyarham Jaafar, Minah Mohamad, 85.
Azlas berkata, dia sangat kesal dengan kenyataan keterlaluan yang dikeluarkan Mat Sabu itu tanpa mengambil kira perasaan orang lain khususnya keluarga anggota keselamatan.
Menurutnya, walaupun bapanya terkorban akibat ditembak komunis dalam peristiwa itu semasa usianya baru setahun, apa yang menimpa bapanya itu telah diceritakan arwah ibunya, Seri Ahmad sebelum meninggal dunia pada 1993.
“Memang ketika kejadian saya baru berumur setahun tapi setelah diberitahu ibu saya, arwah bapa adalah seorang pejuang yang mempertahankan negara daripada komunis.
“Biarpun arwah bapa hanya ditembak, tapi ada anggota polis lain yang dibunuh kejam, dibakar dan anggota badan dikerat-kerat. Komunis memang pengkhianat, sangat zalim dan mereka bukannya hero,” katanya.
Azlas berkata, dia hanya mempunyai seorang adik lelaki tetapi meninggal dunia semasa bayi dan dia bersama ibu serta bapanya tinggal di Muar, Johor, negeri kelahiran keluarga sebelah ibunya.
Menurutnya, setelah kematian ibu bapanya, dia dijemput anggota sebelah bapanya di Terengganu dan menetap di Cendering dekat sini sejak kira-kira 30 tahun lalu.
Dalam pada itu, dalam kunjungan itu, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan kepada Azlas dan keluarga selain melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa keluarga itu akibat kekejaman komunis.
Ahmad turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan berusaha untuk mencari satu kawasan sesuai bagi didirikan kediaman baru Azlas memandangkan selama ini dia hanya menumpang rumah milik saudaranya di kampung berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.