Pages

Subscribe:

22 Mei, 2012

[hang nadim] Titah khas Yang di-Pertuan Agong kepada Bersih.....

KUALA LUMPUR 3 Julai — Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:

"Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu “Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran”. Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara". — BERNAMA

Bersih jauh terpesong – Hishammuddin

SHAH ALAM 3 Julai – Tujuan asas penubuhan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) membabitkan lapan tuntutannya sudah jauh terpesong apabila terdapat unsur-unsur mahu menggulingkan kerajaan melalui perhimpunan haram anjurannya pada Sabtu ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, daripada maklumat yang diterima pihak berkuasa, perhimpunan haram tersebut tidak boleh diambil mudah.

“Apa yang kita lihat dalam konteks ancaman, gerakan yang dilakukan, keseriusan akibat perhimpunan kepada rakyat tidak kira agama dan kaum, 9 Julai ini adalah ujian kepada semua pihak (kerana) daripada maklumat kita terima jangan ambil mudah.

“Apa yang berlaku ini banyak perkara lain yang rakyat belum tahu tetapi akhirnya mereka akan tahu (juga). Saya harap kalau mereka tahu kemudian iaitu selepas mereka membuat tindakan, mungkin pada masa itu sudah terlewat dan ralat pada ketika itu tidak membawa makna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Seminar Memperkasakan Generasi Muda (SMGM) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Lapan tuntutan Bersih meliputi antaranya desakan supaya membersihkan senarai pengundi, memperbaharui sistem undi pos, penggunaan dakwat kekal, tempoh berkempen minimum 21 hari, akses media yang adil dan telus dan memperkukuhkan institusi awam.

Tidak akan biarkan negara rosak - Ismail Omar
BUTTERWORTH 3 Julai - Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar hari ini berikrar tidak akan sesekali membiarkan mana-mana anasir pihak ketiga memporak-perandakan keamanan negara melalui penganjuran perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih (Bersih) yang dirancang 9 Julai ini.

Ismail menegaskan, sebagai ketua sebuah jabatan yang diamanahkan menjaga keselamatan negara, beliau akan menggunakan segala peruntukan undang-undang untuk memastikan keamanan yang dinikmati rakyat negara ini terus terpelihara.

Ia adalah kenyataan paling tegas daripada Ismail setakat ini selepas dilihat lebih berdiplomasi termasuk mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak penganjur perhimpunan itu baru-baru ini.

"Saya sudah nyatakan, kalau diteruskan juga, (perhimpunan) akan merosakkan ketenteraman (maka) pihak ketiga campur tangan. Mereka eksploitasi perhimpunan ini dan menyebabkan huru-hara, sebelum itu berlaku saya kena bertindak untuk mencegah.

"Itu sebabnya kita buat tangkapan awal kerana kalau nasi sudah menjadi bubur dan huru-hara sudah berlaku, maka sudah tiada gunanya lagi. Kita tidak mahu ada harta benda yang rosak malah mungkin melibatkan nyawa, kita tidak mahu semua ini berlaku.

"Di atas jawatan sebagai KPN saya bertanggungjawab menjaga keamanan yang kita kecapi ini dan akan gunakan segala peruntukan undang-undang untuk mempertahankannya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Hari Kesedaran Jenayah yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung di Kawasan Rehat dan Rawat Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan; Panglima 6 Briged Tentera Darat, Brigedier Jeneral Datuk Tajri Alwi; Timbalan Pengarah Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah dan Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub.

Ismail seterusnya mengingatkan setiap lapisan rakyat supaya tidak mencipta sebarang ruang yang boleh dimanipulasi pihak ketiga untuk menggugat keselamatan negara kerana hanya akan merugikan rakyat.

Ditanya mengenai gesaan pihak pembangkang yang mahu rundingan berhubung perhimpunan itu dibuka semula, Ismail berkata, pendirian pihaknya jelas bahawa perhimpunan tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya mendatangkan risiko buruk.

"Peluang apa lagi? Saya dah kata berulang kali jangan kita bermain dengan risiko. Banyak cara untuk kita mendapat dan memberi pandangan, bukan cara berhimpun dan mencabar undang-undang," tegasnya.

Menjawab mengenai tindakan yang akan dikenakan kepada penganjur demonstrasi menentang kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng baru-baru ini, Ismail berkata, beliau sudah mengarahkan satu unit khas ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

"Kita akan bertindak mengikut undang-undang dan sampai masanya kita akan ambil tindakan sewajarnya. Tuduh menuduh ini tidak baik, kita kena duduk bersama-sama jaga keamanan. Jangan kita panas keadaan sehingga orang bergaduh," jelasnya.

NIBONG TEBAL 3 Julai - Kerajaan disaran merampas pasport Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghalang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu daripada pergi ke luar negara dan memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.

Saranan itu disuarakan oleh saksi utama kes liwat ketua pembangkang itu pada 1998, Ummi Hafilda Ali yang mahu pergerakan Anwar disekat agar suara kecaman dan penghinaan terhadap negara tidak lagi didengar oleh masyarakat antarabangsa.

Ummi Hafilda turut mengulangi permintaan supaya Majlis Raja-Raja mempertimbangkan supaya menarik balik gelaran dan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Anwar ketika berkhidmat dalam kerajaan dahulu.

Katanya, Anwar tidak layak dipanggil Datuk Seri kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah bekas banduan, selain terbabit dalam pelbagai isu moral yang tidak selari dengan gelaran serta darjah kebesaran yang dimilikinya.

"Saya minta gelaran Datuk Seri beliau ditarik balik kerana saya tahu macam mana perancangan Anwar jika dia dapat merampas kerajaan, malah abang saya, Azmin (Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali) juga bersekongkol dengannya untuk menghapuskan sistem beraja.

"Saya juga rela kehilangan seorang abang yang menjadi darah daging saya daripada mengecewakan seluruh rakyat Malaysia sekiranya terus membiarkan Anwar berkuasa," katanya ketika berceramah pada program Jom Dengaq Ummi Hafilda di Sungai Acheh malam tadi.

Program yang diadakan sempena Juara Rakyat UMNO Bahagian Nibong Tebal itu turut dihadiri Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Zainal Abidin Osman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria.

Tambah Ummi Hafilda, pemimpin UMNO tidak perlu takut kepada Anwar kerana beliau ialah pemimpin yang kotor dengan rasuah serta salah laku seksual.

Beliau mendakwa mengetahui semua perilaku buruk Anwar menyebabkan pemimpin pembangkang itu tidak berani mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

"Jadi orang Pulau Pinang kena yakin yang Anwar, Azmin dan Wan Azizah (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) akan ditalkinkan pada tahun ini sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Pulau Pinang akan kembali dirampas UMNO dan Barisan Nasional, jadi tak perlu gentar dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang hanya bersandiwara dengan imejnya serta menjadi pelakon terhebat dunia," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.