13 Ogos, 2012
Siasat segera pendedahan Raja Petra
KUALA LUMPUR 12 Ogos - Polis perlu segera menyiasat pendedahan komplot fitnah di sebalik akuan bersumpah penyiasat persendirian P. Balasundram yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Pakar undang-undang, Profesor Salleh Buang (gambar) menegaskan, siasatan itu wajar diberi perhatian kerana ia membabitkan satu pertuduhan cukup serius terhadap pemimpin nombor satu negara.
Menurut beliau, polis boleh menggunakan pendedahan itu sebagai satu maklumat berhubung kemungkinan berlaku jenayah untuk memulakan siasatan.
Malah, Salleh berkata, Raja Petra juga perlu diheret sekali dalam siasatan itu untuk mengetahui kesahihan maklumat yang didedahkan.
"Sama ada pendedahan itu benar atau sebaliknya, yang penting sekarang adalah siasatan untuk menentukan kesahihan dakwaan Raja Petra itu.
"Bukan sahaja kes ini tetapi sesiapa pun yang didakwa membuat pembohongan dalam akuan bersumpah mesti disiasat.
"Orang ramai pun hendak tahu juga sama ada pendedahan itu betul atau tidak, tidak boleh berdasarkan cakap-cakap (dakwaan) orang sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Raja Petra Kamarudin yang mendakwa akaun bersumpah Balasundram menuduh Perdana Menteri terlibat dalam pembunuhan Altantuya dirancang oleh pembangkang.
Raja Petra turut mendakwa Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa bersama seorang peguam di sebalik akaun bersumpah memfitnah Najib dan perkara itu diketahui oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.