Pages

Subscribe:

13 September, 2012

Taman herba CAP didik masyarakat

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
Taman herba CAP didik masyarakat
Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL












Rumah cacing yang dihasilkan bagi tujuan penyediaan kompos cacing tanah bagi tanaman organik di pejabat CAP di Jalan Masjid Negeri Pulau Pinang.
PULAU PINANG 12 Sept. - Tumbuhan herba memang diketahui umum mempunyai pelbagai kegunaan. Namun tidak ramai yang berminat untuk mendalami ilmu menanamnya kerana dianggap sukar.

Antara yang dikategorikan sebagai tumbuhan herba termasuklah daun sipat, ulam raja, daun ruta, misai kucing, setawar, terung jalar, pegaga dan beluntas.

Menyedari hakikat itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mula membangunkan taman herba sendiri yang terletak di pejabat mereka di Jalan Masjid Negeri di sini.

Agak mengagumkan kerana di sebalik kesibukan bandar raya Georgetown, wujud sebuah taman herba mini yang berfungsi sebagai 'universiti' kepada masyarakat setempat untuk mendalami ilmu dan kaedah penanaman herba.

Antara tumbuhan yang ditanam di situ adalah ulam raja, daun lemuni, daun pandan, kemangi, dukung anak, kucing galak, daun pegaga dan lidah buaya.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, setiap tumbuhan mempunyai khasiat tersendiri dalam bidang perubatan.

"Negara ini kaya dengan pelbagai tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan dan dapat digunakan untuk penjagaan kesihatan tetapi malang masyarakat kita kurang menyedarinya.

"Oleh itu, melalui taman herba ini, CAP berkongsi pengetahuan tentang kaedah perubatan menggunakan herba, cara menanam serta menggunakannya dalam kehidupan harian," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, 'pintu' taman herba tersebut sentiasa terbuka kepada orang awam dan CAP juga akan membekalkan maklumat di samping menggalakkan mereka menanam sendiri.

"Di sini terdapat lebih 30 jenis tanaman herba. Sebenarnya tidak susah untuk menanam dan menjaganya, malah tidak memerlukan perhatian lebih seperti tanaman bonsai.

"Kadangkala, kita tidak tahu di sekeliling ini ada pokok herba yang tumbuh dengan sendirinya. Oleh itu, menjadi tugas CAP untuk mendedahkan mereka dengan pengetahuan mengenai herba," ujarnya.

S. M. Mohamed memberitahu, antara tumbuhan herba yang mudah ditanam adalah lidah buaya yang mana mempunyai khasiat tersendiri dalam bidang perubatan.

"Mereka yang tinggal di flat atau kondominium juga boleh menanam lidah buaya kerana ia hanya memerlukan pasu dengan kaedah tanaman yang mudah serta memerlukan tanah separa subur untuk diletakkan di dalam pasu," jelasnya.

Beliau menambah, lidah buaya boleh digunakan sebagai rejim kecantikan kulit iaitu dengan menyapu lendirnya ke muka dan penggunaan secara berterusan boleh mencegah pertumbuhan jerawat batu.

"Selain itu, ia mampu mencegah luka, ulser dan kesan lecur sama ada meminumnya atau sekadar menyapu pada kulit," katanya.

Menurutnya, di Taman Herba itu juga terdapat pokok betik yang ditanam menggunakan baja organik.

"Pokok betik ini menggunakan baja kompos cacing. Ia bebas racun.

"Masyarakat sedia maklum mengenai betik yang memudahkan proses melawas, namun ada satu lagi rahsianya iaitu air rebusan daun betik juga mampu menurunkan kadar gula di dalam darah," tambahnya.

Katanya, satu lagi tumbuhan yang dikategori herba adalah serai yang mana selama ini lebih banyak digunakan sebagai bahan dalam masakan.

"Serai atau nama saintifiknya cymbopogon nardus menghasilkan bau yang harum jika digunakan dalam masakan, malah ada yang gemar mencampurkannya dalam minuman teh.

"Nama Inggeris bagi serai adalah lemon grass manakala orang Cina memanggilnya sebagai Ning Meng Cao dan disebut Karpurapul dalam bahasa Tamil," katanya yang turut memberitahu serai sangat mudah ditanam iaitu hanya menggunakan batangnya.

"Serai boleh bertahan pada musim kemarau dan tidak memerlukan air. Kajian perubatan menunjukkan ia mempunyai bahan anti bakteria dan kulat yang boleh mengubati pelbagai penyakit.

"Pengambilan serai juga boleh membersihkan hati, pankreas, buah pinggan dan saluran penghadaman, selain mempercepatkan pengedaran darah. Jadi, tidak ada alasan untuk malas menanam serai," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikannya, N. V Subbarow berkata, pihaknya sentiasa menganjurkan pelbagai program dan kempen bagi menggalakkan masyarakat menghargai tumbuhan herba dalam kehidupan mereka.

"Sejak beberapa tahun lalu, CAP mengadakan program kepada pelajar sekolah di sekitar negeri ini bagi mendedahkan mereka kepada kepentingan tumbuhan herba.

"Selain itu, golongan suri rumah juga digalakkan datang ke sini untuk mempelajari cara menanam tumbuhan herba supaya boleh menanamnya di rumah," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.