Pages

Subscribe:

13 Januari, 2013

[hang nadim] SOLAT JUMAAT DAN ADAB-ADABNYA.....

Hari Jumaat adalah penghulu segala hari, hari yang paling agung di sisi Allah Subhanahu Wata'ala. Pada hari Jumaat Nabi Adam Alaihissalam dijadikan, dimasukkan ke dalam syurga, dikeluarkan dari syurga dan Baginda wafat pada hari tersebut. Pada hari Jumaat terdapat satu ketika di mana tidak ada permintaan baik kepada Allah Subhanahu Wata'ala oleh seorang hamba yang Muslim melainkan dimakbulkan permohonannya itu, balasan bagi perbuatan baik atau buruk pada hari tersebut digandakan dan pada hari itu juga akan berlakunya Hari Kiamat. Keistimewaan hari Jumaat ditambah lagi dengan pensyariatan sembahyang Jumaat yang wajib dilaksanakan secara berjemaah bagi umat Islam yang mencukupi syarat-syaratnya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam Surah Al Jumu'ah ayat 9 tafsirnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang Jumaat dan tinggalkanlah berjual beli pada saat itu, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui hakikat yang sebenarnya". Sesungguhnya ketegasan dan keprihatinan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terhadap tuntutan sembahyang Jumaat sangat jelas dan ketara ketika mana Baginda pernah bercita-cita untuk membakar rumah golongan yang tidak mengerjakan sembahyang Jumaat. Namun begitu sembahyang Jumaat tidaklah diwajibkan jika berlaku halangan yang dibolehkan oleh syarak seperti keuzuran atau tidak dapat pergi ke masjid disebabkan oleh perkara yang tidak dapat dielakkan sehingga menyukarkan mereka pergi ke masjid seperti hujan rebut, banjir, peperangan dan sebagainya. Walau bagaimanapun itu tidak bermakna sembahyang Jumaat boleh dipandang ringan dan dicuaikan bahkan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memberi amaran bahawa barangsiapa yang meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali dengan sengaja tanpa sesuatu sebab, maka Allah Subhanahu Wata'ala akan menutup pintu hatinya dan dijadikan mereka orang-orang yang lalai dan munafik. Tetapi nampaknya peringatan Allah Subhanahu Wata'ala itu diambil ringan oleh segelintir manusia sehingga ada yang sengaja tidak hadir sembahyang Jumaat tanpa sebab. Dalam hal ini adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Islam menegur dan memberi nasihat sesama Islam yang lain yang mengabaikan sembahyang Jumaat lebih-lebih lagi jika yang mengabaikan itu anak-anak kita sendiri, sanak saudara atau orang-orang yang dikenali. Kerana kita yakin nasihat dan teguran itu dapat merubah seseorang. Oleh itu kita jangan mudah lemah semangat kerana segan dan takut yang ditegur marah atau tersinggung maka kita rela membiarkan kesalahan dan kelalaian terus dilakukan. Sebagaimana kita ketahui bahawa dalam setiap amal ibadat itu ada adab-adabnya, begitulah juga dengan sembahyang Jumaat. Dengan menyempurnakan adab-adab tersebut, kita akan beroleh pahala dan ibadat kita menjadi lebih sempurna. Di antara adab-adab tersebut ialah sebelum pergi ke masjid, kita disunatkan mandi terlebih dahulu, memakai wangi-wangian dan berpakaian yang terbaik. Dalam cara berpakaian, sudah tentu pakaian tersebut hendaklah terbaik dan bersih. Bagi kita orang Melayu kelazimannya berpakaian cara melayu atau bergamis menjadi pilihan ketika bersembahyang dan adalah tidak munasabah kita menghadap Allah Subhanhu Wata'ala dengan berpakaian sekadar menutup aurat sahaja tanpa mengambil peduli apa yang hendak dipakai. Walaupun adab berpakaian bukanlah sebagai syarat sah atau tidak sembahyang tersebut, namun adalah lebih elok menghindarkan diri dari berpakaian sembarana seperti hanya memakai baju T atau T-Shirt lebih-lebih lagi yang mempunyai corak, gambar-gambar atau mengandungi perkataan-perkataan yang kurang elok ataupun pakaian tersebut tidak bersih dan berbau sehingga boleh menganggu kekhusyukan jemaah lain untuk beribadah. Jangan hanya kelihatan cantik dan bersih apabila hendak berjumpa orang tertentu atau ketika menghadiri majlis sahaja tetapi sewajarnya kita lebih cantik dan bersih ketika berhadapan dengan Allah Subhanahu Wata'ala. Selain itu, kita disunatkan datang lebih awal ke masjid. Ketika hendak masuk masjid, jangan lupa berniat iktikaf dan menunaikan sembahyang sunat tahyatul masjid. Sebenarnya banyak hikmat yang boleh kita perolehi jika datang awal ke masjid di mana kita dapat beriktikaf, membaca Al-Quran, berzikir, berselawat dan sebagainya. Dan ketahuilah bahawa balasan bagi orang-orang yang hadir untuk menunaikan sembahyang Jumaat itu adalah berbeza berdasarkan awal atau akhirnya ia tiba ke masjid. Pada hari tersebut, setiap pintu masjid ada dua malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk ke masjid mengikut urutannya. Perumpamaan orang yang datang awal adalah bagaikan memperolehi pahala orang yang menyembelih korban seekor unta kemudian seperti berkorban seekor sapi, kemudian seperti berkorban seekor kambing, kemudian seperti menyembelih seekor ayam dan kemudian seperti memberi sedekah sebiji telur. Apabila imam telah keluar naik ke mimbar, para malaikat pun menutup buku catatan mereka dan mendengar zikir yakni khutbah. Barangsiapa yang datang selepas itu, maka pahalanya untuk sembahyang itu sahaja. Maka alangkah ruginya bagi orang yang akhir datang kerana mereka bukan sahaja terlepas dari mendapat ganjaran bahkan juga tidak berkesempatan untuk membanyakkan ibadat, sedangkan pada hari Jumaat inilah sahaja peluang bagi sesetengah orang yang tidak berkesempatan untuk beriktikaf dan beribadat di masjid pada hari-hari yang lain. Perlu diingat bahawa apabila khatib berkhutbah, para jemaah hendaklah mendengar dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap khutbah yang disampaikan, dengan berbuat demikian kita akan mendapat ganjaran daripada-Nya sekaligus memperolehi ganjaran pengampunan terhadap dosa-dosanya sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abi Hurairah Radiallahuanhu dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda maksudnya: "Sesiapa yang mandi kemudian datang untuk bersembahyang Jumaat lalu mengerjakan sembahyang sunat sempurnanya, kemudian dia diam untuk mendengarkan khutbah sehingga khatib selesai berkhutbah lalu bersembahyang Jumaat bersama imam, maka dia diberi keampunan terhadap dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat yang berikutnya dan ditambah lagi tiga hari". (Riwayat Al-Imam Muslim) Apa yang mendukacitakan, terdapat segelintir jemaah tidak memberikan tumpuan terhadap khutbah yang disampaikan, ada yang leka bercerita bahkan terdapat juga antara jemaah yang tidak sempat mendengar khutbah kerana lewat hadir ke masjid. Sikap sebeginilah perlu diubah, kita setentunya maklum bahawa dalam khutbah itu terdapat pengajaran dan peringatan untuk kita sama-sama muhasabah dan memperbaiki diri, maka sudah sewajarnya khutbah yang disampaikan hendaklah didengar, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan. Selain dari itu, bagi menjaga kehormatan dan keharmonian masjid, para ibu bapa atau penjaga adalah dinasihatkan untuk mengawasi dan memata-matai anak mereka supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menganggu kekhusyukan para jemaah lain untuk beribadat seperti menasihatkan mereka supaya tidak berbuat bising, baibun dan sebagainya. Marilah kita menunaikan sembahyang Jumaat itu dengan sebaik-baiknya tanpa meninggalkan adab-adabnya, manfaatkanlah hari Jumaat yang hanya sekali dalam seminggu itu dengan amal ibadat bagi mendapatkan ganjaran yang dijanjikan. Mudah-mudahan dengan demikian kita mendapat rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Mu'minuun ayat 1-3 tafsirnya : "Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. Iaitu orang-orang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tidak berguna".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.