Imam Masjid Nabawi di Madinah, Sheikh Salah Al-Budair


Imam Masjid Nabawi di Madinah, Sheikh Salah Al-Budair
Silap sendiri jika negara musnah
(Dari kiri) Pengerusi IAIS, Prof Dr Mohammad Hashim Kamali, Sheikh Salah dan penterjemah.
KUALA LUMPUR - Kemunduran dan kemusnahan sesebuah negara Islam berpunca daripada kejahilan negara itu sendiri dan beri petanda sama ada masyarakatnya bersatu atau berpecah belah.
Imam Masjid Nabawi di Madinah, Sheikh Salah Al-Budair dalam kuliah umum di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS) berkata, kejatuhan negara Islam daripada kehebatan kepada kehinaan, daripada berpengetahuan kepada kejahilan serta daripada kekayaan kepada kemiskinan hanya akan berlaku akibat perpecahan masyarakat negara itu.

“Apabila kepercayaan peribadi dan pendapat berbeza sehingga boleh menyebabkan perpecahan, apabila hati tidak sama dan lidah tidak bersetuju, itulah masanya bahaya akan muncul (kepada negara Islam) dan musuh akan mara,” katanya dalam kuliah mengenai peranan syariah bagi masyarakat Islam global di IAIS, semalam.
Sheikh Salah yang dikenali dengan kepakarannya dalam pengajian al-Quran juga mengingatkan, pembinaan tamadun dan negara Islam akan musnah jika sifat buruk diletakkan melebihi kebaikan.

“Apabila kekasaran dan sikap tidak mahu bertolak ansur diletakkan melebihi belas kasihan dan persefahaman, apabila perpisahan diletakkan di atas perpaduan, apabila konflik diletakkan di atas keselamatan dan apabila kebencian melebihi kasih sayang, gejala berbahaya fitnah akan muncul dan ketamadunan akan rosak,” katanya.
Menurutnya, musuh Islam mempunyai agenda meningkatkan perpecahan dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam agar sentiasa tidak bersepakat sehingga melemahkan kuasa negara Islam.

“Masyarakat Islam hari ini berhadapan detik sangat sukar. Keganasan memenuhi negara Islam dan merebak ke negara lain. Semua ini datang akibat umat Islam semakin jauh daripada ALLAH dan agama.

“Tugas kita adalah untuk memulakan penyatuan (antara orang Islam). Kita mesti mencapai satu matlamat sama dengan satu cara sama kerana kita memiliki satu kepercayaan, satu agama, satu kitab panduan dan satu Rasulullah yang jadi pemimpin kita,” katanya.
Sheikh Salah dalam kuliahnya turut beri contoh bagaimana empayar Islam pernah mencapai tahap kemajuan tertinggi sehingga pemimpin Barat seperti Raja George II di England meminta bantuan pemerintah Islam di Andalusia, Hisham III untuk berkongsi pengetahuannya di England yang pada masa itu digelar Raja George sebagai ‘negara dipenuhi kejahilan di semua sudut’.
“Bagaimanapun selepas era itu, dunia Islam mula lemah sehingga apa yang maju jadi mundur dan apa yang mundur (negara Barat) semakin maju. Apa yang berlaku ini ditentukan ALLAH dan mempunyai sebab.
“Sebabnya berpunca daripada kita sendiri,” katanya.

Sementara itu, mengenai panduan kehidupan Islam atau syariah, beliau berkata, syariah dan agama adalah dua elemen yang tercantum bersama.

“Tidak akan ada kehebatan dan kekuatan (negara) melainkan menerusi syariah, dan syariah itu sendiri tidak dapat ditegakkan kecuali dengan adanya kuasa di sebuah negara.

“Tetapi tidak akan ada negara yang boleh menjalankan kuasanya jika tidak kerana usaha rakyatnya. Rakyat pula perlukan ekonomi dan keselamatan bagi majukan negara.

“Namun keselamatan tidak akan dicapai jika berlaku ketidakadilan terlahir daripada kejahilan serta menyediakan ruang untuk permusuhan. Hanya agama boleh menjamin keselamatan (negara),” katanya.

Sementara itu, Sheikh Salah turut menyuarakan kekaguman terhadap Malaysia yang dianggap negara model bagi kerjasama dan persefahaman antara rakyat di sesebuah negara.

“Saya lihat Malaysia adalah negara yang baik, banyak masjid di sini dan rakyatnya juga gemar ke masjid. Tetapi nasihat saya, (umat Islam) negara ini perlu bersatu,” katanya.