Pages

Subscribe:

14 Januari, 2011

[ hang nadim] Helah macam-macam Helah..... Allah Melihat Apa Yang Anda Buat.....

Rayuan Anwar minta tukar hakim ditolak
Oleh Azrina Ahzan

2011/01/15
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam menolak rayuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menggugurkan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah daripada mendengar kes liwatnya.

Tiga panel hakim yang bersidang iaitu Datuk Low Hop Bing, Datuk Abdul Malik Ishak dan Datuk Ahmad Maarop sebulat suara memutuskan bahawa mahkamah itu tidak mempunyai kuasa untuk mendengar permohonan berkenaan dan membenarkan bantahan awal yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah memutuskan tertuduh tidak mempunyai hak untuk merayu pada peringkat interlokutori (perintah sementara). Jadi, mahkamah mengekalkan bantahan awal oleh pihak pendakwaan dan menolak rayuan itu, kata Hop Bing. Pihak pendakwa diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Noorin Badaruddin, Mohamed Hanafiah Zakaria dan Wong Chiang Kiat. Manakala, Anwar diwakili peguam Karpal Singh, Sankara N Nair dan Datuk Param Cumaraswamy.

Disember lalu, Anwar mengemukakan permohonan supaya Mohamad Zabidin menarik diri secara sukarela daripada terus mendengar perbicaraan kes liwatnya.

Peguam Karpal Singh, dalam hujahnya berkata anak guamnya, Anwar, serius memberikan perhatian bahawa akan wujud berat sebelah jika hakim itu terus mendengar perbicaraan berkenaan.

Karpal Singh mempertikaikan bahawa Anwar tidak akan diberikan perbicaraan yang adil jika hakim itu kekal mendengar kes itu.
Ini kali kedua Anwar memohon untuk hakim itu menarik diri. Permohonan pertamanya ditolak Hakim Mohamad Zabidin serta Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Anwar, 63, didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar memohon untuk Mohamad Zabidin menarik diri atas alasan hakim berkenaan telah mengugut peguamnya.

Walaupun Mohamad Zabidin menarik balik kenyataan yang didakwa ugutan itu, Anwar berkata wujud sikap berat sebelah jika hakim berkenaan terus mendengar kesnya.
Sementara itu, Anwar yang tiba di mahkamah pada jam 10 pagi bersama isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, enggan mengulas mengenai keputusan berkenaan.

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Sivakumar
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

2011/01/15
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan tepat apabila memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar bagi mencabar keputusan SPR itu.

Hakim Datuk Aziah Ali membuat keputusan menolak permohonan itu dengan kos yang akan ditaksir kemudian dalam kamar beliau, tetapi tiada alasan penghakiman diberikan pada prosiding turut dihadiri peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan mewakili Sivakumar dan Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said mewakili SPR sebagai responden. Mahkamah turut menolak permohonan bekas EXCO Perak, A Sivanesan dan lima lagi berhubung perkara sama.

Pada 22 Oktober 2009, mereka dibenarkan membuat semakan kehakiman bagi mengentepikan keputusan SPR yang tidak mengisytiharkan pilihan raya kecil bagi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang selepas wakil rakyat kerusi itu menjadi ADUN bebas. Tiga kerusi terbabit masing-masing diwakili Jamaluddin Mohd Radzi, Mohd Osman Mohd Jailu dan Datuk Hee Yit Foong.

Selain Sivakumar dan Sivanesan, empat lagi yang memfailkan permohonan ialah Chen Fook Chye, Tai Sing Ng, Ahmad Sabry Wahab, Abdul Latif Ariffin dan Foo Hon Wai.

Sivakumar juga memohon perintah injunksi untuk menghalang ketiga-tiga wakil rakyat itu bertindak, menjalankan dan melaksanakan tanggungjawab serta fungsi dan tugas sebagai ADUN.

Terdahulu, Ambiga dalam hujahnya berkata, SPR sepatutnya memanggil semua pihak terbabit untuk mendapatkan maklumat dalam pelbagai perkara sebelum membuat keputusan, manakala Kamaluddin pula berkata, SPR membuat keputusan betul ketika itu dan memohon mahkamah menolak permohonan kerana tiga kerusi itu masih diwakili Jamaluddin, Mohd Osman dan Yit Foong

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.