Pages

Subscribe:

14 Januari, 2011

[hang nadim] TINDAKAN ‘PILIH BULU’













PARA peniaga gerai di Jalan Chulia, Georgetown bebas meletakkan gerai mereka di tepi jalan walaupun ia adalah satu kesalahan dan mengganggu pengguna jalan raya.- UTUSAN/Zhafaran Nasib

Tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merampas perkakasan dari Restoran Nasi Kandar Aliyar kerana dikatakan bersalah meletakkan kerusi meja di kaki lima jalan, dianggap sebagai ‘pilih bulu’ kerana tiada tindakan diambil ke atas peniaga lain yang melakukan kesalahan serupa.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Georgetown mendapati masih banyak gerai meletakkan kerusi meja mereka di tepi jalan sehingga menganggu pengguna jalan raya.

Walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar, Ng Wei Aik yang bertanggungjawab mengetuai operasi MPPP ke atas Restoran Nasi Kandar Aliyar itu telah memohon maaf semalam, tetapi beliau seharusnya berfikir dahulu sebelum bertindak dan tidak mengamalkan ‘peraturan berpilih

Exco Selangor tidak sepakat

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melarang orang Islam bekerja di premis menjual minuman keras bertujuan mengekang kegiatan maksiat dalam kalangan umat Islam.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berkata, larangan itu juga bertepatan dengan peruntukan di bawah Seksyen 18 (2) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang tidak membenarkan orang Islam melibatkan diri dalam urusan penjualan minuman keras.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor menambah, syarat serupa bagi urusan pemberian lesen kepada penjual minuman keras terdapat di dalam undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

''Kedua-dua peruntukan di atas dengan sendirinya boleh digunakan untuk mencegah orang Islam daripada terjebak dalam hal yang berkaitan dengan minuman keras," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan dua Exco kerajaan negeri daripada DAP iaitu Teresa Kok dan Ronnie Liu yang dilaporkan meminta MPSJ menarik balik peraturan melarang orang Islam bekerja di premis yang menyajikan arak.

Larangan itu didedahkan oleh sebuah portal berita semalam yang memetik kenyataan Pegawai Perhubungan Awam MPSJ, Azfarizal Abd. Rashid iaitu premis perniagaan yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan kompaun atau lesen ditarik balik.

Ronnie yang merupakan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilaporkan mengesahkan pekeliling telah dikeluarkan kepada Yang Dipertua MPSJ, Datuk Md. Adnan Ikhsan untuk menarik balik larangan itu kerana mendakwa ia tidak disedari oleh kerajaan negeri.

Menurut Hasan, mana-mana pihak tidak seharusnya bimbang dengan larangan tersebut kerana ia khusus bagi umat Islam.

Katanya lagi, peraturan itu juga telah melalui tiga proses perbincangan di peringkat jawatankuasa dan telah mendapat pengesahan dan kelulusan daripada semua pihak termasuk ahli majlis bukan Islam.

''Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada kepimpinan MPSJ yang telah menguatkuasakan peraturan ini," katanya

Permohonan maaf bukan penamat

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

PULAU PINANG 14 Jan. - "Walaupun dia telah minta maaf, namun perbuatannya tetap melukakan hati saya dan juga seluruh kaum India Muslim di negara ini."

Itulah luahan hati pemilik Restoran Nasi Kandar Mohamed Aliyar, Syed Kassali Mohamed Aliyar, 42, berhubung permohonan maaf Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik kerana bertindak agresif terhadap pekerja dan premisnya minggu lalu.

Menurut Syed Kassali, perbuatan Wei Aik sukar dilupakan kerana ia bukan sahaja menimbulkan trauma kepada dirinya dan pekerja di restoran berkenaan malah mewujudkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, permohonan maaf itu bukan penamat kepada apa yang telah berlaku kerana banyak masalah lain timbul kesan perbuatan melulu Wei Aik.

"Saya terima permohonan maaf itu kerana tidak mahu isu perkauman terus diperkatakan. Banyak hati perlu dijaga.

"Malu tetap malu, nak buat macam mana. Lagipun kami tiada rakaman audio visual seperti yang diminta. Yang ada cuma rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.

Beliau berkata demikian setelah menerima permohonan maaf secara terbuka yang dibuat Wei Aik di restorannya di Gat Lebuh Macallum di sini hari ini.

Setelah menerima tekanan banyak pihak, akhirnya, Setiausaha Politik Ketua Menteri itu tampil ke restoran tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi ini dan memohon maaf secara terbuka kepada Syed Kassali atas keterlanjuran bertindak kasar dan agresif terhadap premis tersebut.

Sebelum menyatakan permohonan maafnya, Wei Aik dilihat mengadakan perjumpaan bersama Syed Kassali hampir 10 minit.

Tengah malam 2 Januari lalu, Restoran Nasi Kandar Mohamed Aliyar itu kecoh apabila kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merampas kerusi, meja, televisyen serta peralatan lain yang terdapat di premis tersebut.

Sebelum restoran berkenaan didatangi penguat kuasa, berlaku satu kemalangan melibatkan dua buah kereta berhampiran restoran itu pada kira-kira pukul 10.10 malam.

Walaupun tiada pelanggan yang cedera dalam kejadian itu tetapi televisyen milik restoran tersebut pecah akibat rempuhan berkenaan.

Selepas itu, Wei Aik datang bersama beberapa orang ke restoran berkenaan dan mengarahkan penguat kuasa MPPP menyita barang-barang di kedai berkenaan.

Wei Aik juga didakwa mengeluarkan ungkapan 'Tutup kedai, balik India' yang berunsur perkauman kepada pekerja restoran berkenaan.

Tindak-tanduk beliau yang ala samseng itu telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan masyarakat terutamanya kaum India Muslim sehingga lapan laporan polis dibuat pihak terlibat termasuk oleh Syed Kassali dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM).

Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) negeri pula telah menghantar memorandum kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya tindakan diambil terhadap Wei Aik.

Menurut Syed Kassali, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kimma dan Persatuan Restoran India Muslim Malaysia (Presma) untuk melihat bentuk tindakan yang patut dibuat pihaknya terutama dalam menyelesaikan isu kerugian besar yang ditanggung restorannya sejak kejadian tersebut.

"Perniagaan semakin merosot dan sehingga kini kami telah kerugian hampir RM30,000. Keadaan ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Justeru, saya akan berbincang dengan Kimma dan Presma, apa yang boleh dibuat dan bentuk tindakan selanjutnya. Setakat ini tiada jaminan apa-apa daripadanya (Wei Aik) selain bantuan untuk memohon lesen MPPP," katanya

Pakar undang-undang selar Ronnie Liu

SHAH ALAM 14 Jan. - Pakar undang-undang hari ini menyelar tindakan Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu yang mengarahkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menarik balik garis panduan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang melarang umat Islam bekerja di premis menjual arak.

Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan dan Jenayah Syariah, Kuliah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, tindakan Ronnie itu jelas bercanggah dengan peruntukan Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang ditetapkan sejak sekian lama di negeri ini.

"Jika PBT membenarkan umat Islam menjual arak sekali pun, Majlis Agama Islam setiap negeri masih boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan yang ditetapkan dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri.

"Ini kerana, undang-undang syariah lebih tinggi kedudukannya daripada peraturan yang dikeluarkan PBT dan arahan PBT tidak boleh bercanggah dengan perundangan Islam yang telah ditetapkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shamrahayu berkata, tindakan Ronnie itu jelas menunjukkan bahawa beliau mempunyai agenda politik tersendiri.

Mengulas perkara sama, Pensyarah Undang-Undang, Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Raja Nur Alaini Raja Omar berkata, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, Ronnie sepatutnya peka kepada peruntukan dalam undang-undang syariah negeri ini.

"Ini kerana PBT sepatutnya perlu mengeluarkan garis panduan yang selari dengan undang-undang syariah kerana umat Islam perlu patuh dengan apa yang telah ditetapkan oleh agama mereka.

"Mereka (PBT) tidak boleh mengeluarkan arahan sesuka hati tanpa merujuk kepada undang-undang syariah negeri terlebih dahulu," katanya.

Raja Nur Alaini turut menggesa kerajaan negeri supaya tegas dalam menguatkuasakan undang-undang Islam di negara ini.

Jangan salah tafsir Ketuanan Melayu
Peruntukan Perkara 153 tidak boleh dipersoalkan
Zulkhairil Zainuddin dan ROSNANI SAAD

:KUANTAN –: Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail perlu faham maksud sebenar Ketuanan Melayu sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian, kata Pemangku Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Malaysia, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman.

:Beliau berkata, kenyataan Wan Azizah mengenai konsep ketuanan Melayu wajib ditinggalkan itu sangat berbahaya kerana ia menyentuh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

:Menurutnya, rakyat di negara ini sebenarnya perlu faham maksud sebenar Ketuanan Melayu yang merujuk kepada Raja-Raja Melayu dan ia wajib dihormati dan dipertahankan.

:“Sebab itulah Mubarak Malaysia amat menekankan mata pelajaran Sejarah menjadi subjek teras agar rakyat di negara ini faham tentang apa itu Ketuanan Melayu yang sebenar, terutamanya mengenai sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan juga pembentukan sebuah negara bangsa,” katanya ketika dihubungi di London, semalam.

:Abdul Aziz berkata, isu itu sepatutnya tidak dibangkitkan semata-mata untuk kepentingan politik tanpa melihat kepada kepentingan kaum Melayu.

:Menurutnya, pembentukan Tanah Melayu adalah disebabkan perjuangan orang Melayu menentang penjajahan Inggeris serta mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang ketika itu cuba dicabul melalui Malayan Union.

:“Kita harus tahu peranan kaum Melayu suatu ketika dulu dalam pembentukan Tanah Melayu dari awal hingga sekarang.

:“Janganlah disebabkan kepentingan politik, Ketuanan Melayu dijadikan mangsa untuk mencapai sesuatu cita-cita,” katanya.

:Sementara itu, Presiden Mubarak Pahang, Datuk Abdul Jabbar Ibrahim berkata, Wan Azizah mungkin tidak faham apa itu Ketuanan Melayu, menyebabkan beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian.

:Menurutnya, rakyat di negara ini sebenarnya sedar dan tahu bahawa Ketuanan Melayu itu sesuatu yang amat penting dan wajar dipertahankan.

:“Saya hairan mengapa Wan Azizah mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan dia sendiri adalah orang Melayu.

:“Sebagai pemimpin daripada kaum Melayu, dia sepatutnya mempertahankan konsep Ketuanan Melayu dan bukannya mengeluarkan kenyataan demi kepentingan politiknya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

:Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail pula berkata, keistimewaan kaum Melayu dan Raja-Raja Melayu akan terhapus sekiranya konsep Ketuanan Melayu hilang.

:“Janganlah disebabkan politik, Ketuanan Melayu diketepikan dan apa lagi yang akan tinggal kepada orang Melayu sekiranya konsep ini hilang.

:“Ketuanan Melayu tidak boleh dihapuskan tetapi sebaliknya dipertahankan, khususnya menghormati Raja-Raja Melayu,” katanya.

"Penguatkuasaan yang tegas terhadap undang-undang syariah adalah penting jika kerajaan mahu memartabatkan Islam di negara ini," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.