Pages

Subscribe:

01 Jun, 2013


Demonstrasi jalanan hanya muslihat Anwar

KUALA LUMPUR 31 Mei - Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus melakukan provokasi mengajak rakyat turun berdemonstrasi di jalanan dilihat seperti mempunyai muslihat dan agenda tersirat.
Presiden Pertubuhan Penyokong Barisan Nasional (PPBN), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, ini kerana demonstrasi jalanan bagi menggulingkan kerajaan itu juga tidak dipersetujui oleh Pas dan DAP, jadi jelas politik jalanan tersebut hanya agenda peribadi Anwar.
"Demonstrasi jalanan itu bukanlah suara pakatan pembangkang secara keseluruhan tetapi lebih kepada perjuangan peribadi Anwar.
''Cara Anwar yang terus melakukan provokasi itu merupakan muslihat berkepentingan peribadi serta strategi bagi mengelak berdepan daripada sesuatu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang mendesak Anwar menghentikan segera tindakan yang menimbulkan kacau-bilau di negara ini.
Menurut Tunku Abdul Aziz, tindakan Anwar itu seperti bermain dengan api yang boleh membawa suasana huru-hara yang sukar dikawal serta boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan jutaan rakyat Malaysia.
Tambah Saharuddin, amat menghairankan sekiranya demonstrasi jalanan yang dianjurkan Anwar itu sebagai bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang didakwa tidak adil ketika pakatan pembangkang juga telah membentuk kerajaan di tiga buah negeri.
"Demonstrasi jalanan serta perhimpunan haram sepatutnya tidak perlu lagi berlaku kerana selepas menjalani pilihan raya umum yang lalu sudah sampai masanya kini untuk semua pihak bekerja membangunkan negara.
"Saya yakin rakyat sudah letih dengan isu politik yang tidak berkesudahan dan kini tumpuan penuh perlu diberikan untuk mentadbir negara dan menguruskan kehidupan rakyat," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sosial Harmoni Malaysia, Nordin Ahmad berkata, matlamat politik Anwar hanyalah ingin menjadi Perdana Menteri dan beliau tidak peduli sekiranya negara dalam huru-hara atas perbuatannya.
"Ketika DAP dan Pas boleh menerima keputusan PRU-13 lalu, Anwar pula sebaliknya dan jelas demonstrasi jalanan yang dianjurkannya itu bertujuan memenuhi nafsu politiknya yang ingin menjadi Perdana Menteri," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130601/po_02/Demonstrasi-jalanan-hanya-muslihat-Anwar#ixzz2UwvW02QB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Polis kenal pasti

Pengasas sebuah syarikat elektronik Taiwan yang merupakan rakyat Malaysia (kanan) dilihat bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika berkempen dalam PRU-13 lalu. Gambar ini pernah disiarkan dalam portal propembangkang Malaysiakini.

KUALA LUMPUR 31 Mei - Polis telah mengenal pasti identiti beberapa individu yang bertanggungjawab merancang menggulingkan kerajaan menerusi pergerakan pasukan tentera siber Red Bean Army.
Menurut sumber, sebanyak 30 individu telah dikesan menjadi orang upahan pihak pembangkang untuk melancarkan serangan ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi blog, laman sosial dan YouTube.
"Identiti lima atau enam daripada jumlah itu telah dikenal pasti sejak lebih seminggu lalu dan pasukan keselamatan percaya akan menangkap mereka dalam tempoh terdekat untuk menghapuskan kegiatan kumpulan ini yang diwujudkan bertujuan memburuk-burukkan kerajaan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Sumber berkata, walaupun pada awalnya beratus-ratus akaun Facebook dikesan menjalankan kegiatan itu sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat Malaysia, tetapi siasatan polis mendapati itu hanya akaun palsu yang dimiliki oleh 30 individu yang terlibat.
Red Bean Army difahamkan bergerak secara siber yang mempunyai misi menggulingkan kerajaan dengan dibantu oleh pihak tertentu dalam memberi dana dan bantuan kepada mereka.
Untuk rekod, sebelum ini akhbar melaporkan berita mengenai Red Bean Army adalah tentera siber yang dipercayai ditaja oleh DAP yang ditugaskan menyerang mana-mana tokoh politik, perniagaan, ikon hiburan serta sesiapa sahaja yang dilihat mesra BN melalui media alternatif seperti blog, Facebook, Twitter dan YouTube bagi membangkitkan kebencian pengundi Cina.
Selain itu, Red Bean Army didakwa ditubuhkan untuk mencipta penipuan dan memanipulasi fakta dan menyuntik kebencian terhadap kerajaan oleh ahli yang diberi latihan oleh DAP serta dibayar gaji tetap sebanyak RM3,000 sebulan sejak enam tahun lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130601/po_01/Polis-kenal-pasti#ixzz2Uww2HUbe
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Penglibatan syarikat elektronik Taiwan disiasat

KUALA LUMPUR 31 Mei - Sebuah syarikat elektronik terbesar di Taiwan yang dimiliki seorang rakyat Malaysia sedang disiasat pihak berkuasa negara ini kerana dikenal pasti mempunyai hubungan dengan kegiatan tentera siber Red Bean Army.
Syarikat elektronik itu juga dipercayai mempunyai hubungan yang 'agak rapat' dengan kerajaan DAP Pulau Pinang kerana mempunyai cawangan kilang syarikat tersebut di negeri itu sejak beberapa tahun lalu.
Menurut sumber, siasatan pihak berkuasa akan turut menjurus kepada latar belakang Red Bean Army yang dipercayai menerima dana yang disalurkan oleh syarikat elektronik tersebut.
"Kita percaya pengasas syarikat tersebut terlibat secara langsung menyalurkan dana dan bantuan kewangan kepada kumpulan tersebut. Malah gambarnya bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pernah tersebar di portal propembangkang, Malaysiakini baru-baru ini.
"Gambar tersebut memperlihatkan individu yang dikaitkan dengan syarikat elektronik itu bersama Guan Eng di atas pentas memberi ceramah ketika kempen pilihan raya umum yang lalu," kata sumber itu lagi.
Menurut sumber, pemilik syarikat itu merupakan graduan di sebuah universiti di Taiwan mempunyai pengalaman bekerja di syarikat elektronik terbesar di negara itu sebelum memutuskan untuk membuka cawangan di Malaysia.
"Dia membuka cawangan syarikat tersebut di Pulau Pinang selepas mendapat bantuan dan kelulusan kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) kira-kira tiga tahun lalu tetapi akhirnya menyokong pergerakan Red Bean Army yang dipercayai diatur oleh pihak pembangkang," tambah sumber itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130601/po_03/Penglibatan-syarikat-elektronik-Taiwan-disiasat#ixzz2UwwQKcLN
© Utusan Melayu (M) Bhd 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.