Pages

Subscribe:

14 Jun, 2013

[hang nadim] Anuar, Hanimzah juara qari, qariah......


Sultan Muhammad V menyampaikan piala kepada Anuar Hasin yang muncul johan dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-56 di Balai Islam, Lundang, Kota Bharu semalam. - UTUSAN/Irwan Majid

KOTA BHARU 14 Jun - Qari Perak, Anuar Hasin, 29, dan qariah Pahang, Hanimzah Jalaluddin, 31, muncul johan kategori qari dan qariah dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-56 di Dewan Besar Balai Islam, Kompleks Islam Lundang di sini, malam ini.
Anuar yang membacakan surah al-Anfaal bermula ayat 45, meraih markah 92.33 peratus manakala Hanimzah memperdengarkan ayat 142 surah al-Baqarah, mendapat markah 88.34 peratus.
Kedua-dua bekas peserta Akademi al-Quran itu menyampaikan bacaan mereka pada malam terakhir iaitu malam keempat majlis tilawah tersebut yang dihadiri lebih 5,000 penonton.
Upacara penutupan majlis tilawah itu disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Turut mengiringi baginda ialah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Kemenangan itu membolehkan kedua-dua pemenang masing-masing membawa pulang sebuah Proton Preve, wang tunai RM15,000, piala iringan, cenderahati dan sijil penyertaan.
Sementara itu, qari Negeri Sembilan, Amirahman Abas, 31, yang mendapat markah 89.67 peratus muncul naib johan manakala qari Terengganu, Mohamad Hafass Ali, 31, menduduki tempat ketiga dengan kutipan markah 86.67 peratus.
Bagi kategori qariah pula, peserta Johor, Nor Azrah Ayub, 35, muncul naib johan dengan kutipan markah 86 peratus manakala qariah Kedah, Marzian Mohd. Deli, 33, mengikutinya dengan kutipan markah berjumlah 84.34 peratus.
Pemenang tempat kedua dan ketiga bagi kategori masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan RM7,000 berserta cenderahati dan sijil penyertaan.
Sementara itu, johan keseluruhan majlis tilawah tahun ini dimenangi negeri Perak yang mendapat markah purata 87.17 peratus hasil gandingan Anuar dan qariah, Munirah Razali, 24.
Majlis tilawah yang berlangsung bermula 10 Jun lalu bertemakan 'Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummah' itu menyaksikan seramai 29 peserta mengambil bahagian iaitu 14 qari dan 15 qariah.
Pemarkahan dibarisi 15 hakim dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah; Othman serta kepemimpinan kerajaan negeri dan Pusat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130615/dn_06/Anuar-Hanimzah-juara-qari-qariah#ixzz2WEtu2UeO © Utusan Melayu (M) Bhd 


Umat Islam jangan berpecah-belah - Sultan Kelantan


KOTA BHARU 14 Jun - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah umat Islam di negara ini perlu kembali kepada ajaran Islam bagi memastikan mereka tidak berpecah-belah.
Titah baginda, Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW telah menjelaskan menerusi al-Quran betapa umat Islam keseluruhannya harus mencintai perpaduan dan menolak perpecahan.
Dalam masa sama, baginda berharap, rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat saling kenal-mengenali dan beramah mesra bukannya berbangga dengan keturunan masing-masing.
"Islam menganjurkan umatnya supaya berpegang teguh dengan ajaran Islam, jangan bercerai-berai atau berpecah-belah. Ini adalah perintah dan suruhan Allah SWT supaya umat Islam berpegang teguh dengan ajaran dan syariat Islam diikuti pula dengan larangan iaitu jangan bercerai-berai.
"Islam memperakui hidup berbangsa-bangsa dengan tujuan untuk manusia saling kenal-mengenali dan beramah mesra, bukan untuk berbangga dan juga bermusuh (tetapi) hidup bersatu-padu atas nama ukhuwah dan iman (iaitu) asas perpaduan umat Islam," titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam majlis penutup Tilawah Al-Quran Kali Ke-56 di Dewan Besar Balai Islam, Kompleks Islam Lundang di sini malam ini.
Mengiringi baginda ke majlis tersebut ialah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.
Sultan Muhammad V turut berkenan menyampaikan hadiah kepada johan kategori qari, Anuar Hasin, 29, dari Perak dan Hanimzah Jalaluddin (Pahang), 31, bagi kategori qariah.
Dalam titahnya, baginda juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Pusat kerana memilih Kelantan sebagai tuan rumah untuk majlis tilawah kali ini serta usaha kerajaan negeri yang memastikan penganjurannya berjaya.
"Beta berdoa ke hadrat Allah SWT agar berkat perlindungannya negara Malaysia amnya dan negeri Kelantan khasnya akan terus berkembang maju, aman dan makmur," titah baginda.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130615/dn_07/Umat-Islam-jangan-berpecah-belah---Sultan-Kelantan#ixzz2WEuru000
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.