Pages

Subscribe:

01 Februari, 2014

[hang nadim] Azizul barn, anlände Shalwati i Kelantan.....

Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor bersama empat anak pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden yang mengunjungi beliau dan isteri di Taman Duta, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Hamzah Zainuddin (dua dari kiri) dan ibu saudara kanak-kanak terbabit, Shaleena Norshal (kanan). - MINGGUAN/HAFIZ JOHARI KUALA LUMPUR 1 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak menghargai pertimbangan khas kerajaan Sweden untuk membenarkan empat anak pasangan Malaysia yang sedang ditahan di negara itu pulang ke tanah air. Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan, pertimbangan khas tersebut amat sukar diperoleh sebelum ini. Namun, menurut beliau, kerajaan Sweden memberi persetujuan untuk membenarkan anak-anak Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal pulang ke Malaysia atas dasar hubungan baik antara dua negara serta semangat yang terkandung dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak. "Yang penting, supaya mereka dapat terlepas daripada tekanan-tekanan. "Kalau berada di Sweden sudah tentu di sana amat sukar bagi mereka untuk menghadapi suasana yang begitu menekan perasaan," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Taman Duta, hari ini. Aishah, 14, dan adik-adiknya iaitu Ammar, 12; Adam, 11 dan Arif, 7, yang kelihatan lesu dan keletihan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada pukul 7.04 pagi hari ini selepas menempuh perjalanan selama 17 jam dari Stockholm dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS). Mereka yang diiringi Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin dan saudara mara kembali ceria apabila bertemu Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang menyambut ketibaan mereka serta meluangkan masa hampir sejam untuk beramah mesra serta makan tengah hari bersama empat kanak-kanak terbabit. Azizul Raheem dan Shalwati sebelum ini telah direman sejak 18 Disember lalu dan penahanan mereka sudah pun dilanjutkan sebanyak tiga kali. Azizul Raheem merupakan pegawai Tourism Malaysia di Sweden, manakala Shalwati seorang guru yang sedang dalam tempoh bercuti tanpa gaji, ditahan kerana dituduh mendera anak mereka atas alasan tidak bersolat. Najib turut mengucapkan tahniah kepada Hamzah di atas kejayaan dalam misi yang dilaksanakan secara tanpa publisiti bagi membawa pulang empat kanak-kanak berkenaan ke Malaysia. "Kita mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan mereka supaya tidak diganggu dari segi emosi serta psikologi. "Saya juga telah dimaklumkan bahawa ibu bapa mereka telah bersetuju supaya anak-anak itu ditempatkan bersama ibu dan bapa saudara di Kelantan," ujarnya. Beliau berkata, kerajaan akan menguruskan perjalanan mereka ke Kelantan serta bersedia menghulurkan bantuan bagi memenuhi keperluan anak-anak Azizul Raheem dan Shalwati. "Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat pemantauan secara berterusan supaya mereka dijaga dengan baik," jelasnya. Perdana Menteri memberitahu, kerajaan akan berusaha sedaya upaya membantu Azizul Raheem dan Shalwati mempertahankan kes mereka. "Kita terpaksa terima hakikat bahawa ada undang-undang khas yang telah wujud di Sweden, jadi kita terpaksa mengambil tindakan untuk mempertahankan ibu bapa mereka berdasarkan kepada peruntukan undang-undang dan kaedah tertentu," katanya. Najib turut menjelaskan, insiden yang melibatkan Azizul Raheem, Shalwati dan empat anak itu amat menyentuh perasaannya sebagai seorang bapa. Sementara itu, Rosmah berkata, beliau pernah terfikir untuk menghadap Raja dan Permaisuri Sweden sekiranya Aishah serta adik-adiknya tidak dapat pulang ke Malaysia. Menurut beliau, pasangan diraja Sweden itu dikenali di atas sifat keprihatinan mereka terhadap kanak-kanak dan rakyat. "Alhamdulillah, sebelum saya sempat sampai ke situ, Hamzah telah berjaya bawa mereka balik," ujarnya. Rosmah juga menyatakan kesediaan beliau dan Najib membantu empat kanak-kanak terbabit sambil berharap mereka dijaga dengan baik oleh saudara mara di Kelantan Empat beradik gembira pulang ke tanah air SEPANG 1 Feb. - Selepas hampir sebulan mengharungi situasi yang tidak menentu di Sweden, empat beradik yang merupakan anak kepada pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal, gembira akhirnya dapat pulang ke Malaysia untuk dijaga oleh saudara-mara mereka di sini. Kesemua mereka yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Stockholm, pada pukul 7.04 pagi ini diiringi oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pegawai kementerian tersebut dan seorang saudara keluarga itu. Anak sulung pasangan itu, Aishah Azizul Raheem, 14, ketika ditemui mengakui gembira dapat pulang ke tanah air bersama adik-adiknya. Malah, dia dan adik-adiknya yang lain juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya dan meminta izin untuk mengikut pegawai dari Kementerian Luar ke Taman Duta bagi menemui isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di kediamannya. "Kami semua okey dan sangat gembira dapat pulang ke sini," katanya. Semalam, Aishah bersama adik-adiknya iaitu Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, berjaya mendapat kebenaran khas pulang ke Malaysia untuk dijaga oleh keluarga di sini berdasarkan prinsip kepentingan terbaik untuk kanak-kanak. Dalam pada itu, Hamzah ketika ditemui enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata, mereka semua selamat tiba pukul 7 pagi dan akan terus menuju ke Taman Duta. Sebelum ini, Azizul Raheem yang juga pegawai Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya, Shalwati, seorang guru sekolah menengah didakwa memukul tangan salah seorang anak mereka kerana tidak menunaikan solat. Berikutan itu, pasangan tersebut ditahan pihak berkuasa Sweden di kediaman mereka pada 14 Disember tahun lalu dan ditahan reman sejak tarikh itu hingga 10 Februari ini bagi membantu siasatan dakwaan memukul tangan anaknya. Lanjutan tahanan reman tersebut merupakan yang ketiga buat pasangan tersebut sejak direman pada 18 Disember lalu dan difahamkan tiada had penahanan reman di negara itu. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140202/dn_02/Empat-beradik-gembira-pulang-ke-tanah-air#ixzz2s7GKpF2M © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.