Pages

Subscribe:

15 Julai, 2014

[hang nadim] Kg. Deutsch Gräben, um Touristen anzulocken.....

Kg. Parit Jerman tarik pelancong


TEE Siew Kiong dan Mirza Mohammad Taiyab (tengah) beramah mesra dengan ahli Kelab Media Johor dalam majlis berbuka puasa bersama media di Johor Bahru, kelmarin
JOHOR BAHRU 15 Julai - Kampung Parit Jerman di Pontian yang namanya sempena negara Eropah yang muncul juara Piala Dunia 2014 semalam, berpotensi menjadi produk pelancongan menarik di negeri ini.
Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong meminta pihak terlibat seperti Jabatan Pelancongan negeri untuk melihat dan menonjolkan keunikan kampung berkenaan.
"Nanti kita tengok macam mana dan apa yang boleh dibuat di situ," katanya ketika ditanya sama ada kerajaan negeri berhasrat menjadikan kampung itu sebagai salah satu lokasi pelancong.
Beliau ditemui pada majlis berbuka puasa bersama media dan agensi pelancongan anjuran Jabatan Pelancongan negeri, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Johor dan Tourism Malaysia, di sini semalam.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab.
Kampung Parit Jerman mula terkenal dan menjadi bualan orang ramai setelah kejayaan pasukan Jerman menewaskan pasukan tuan rumah, Brazil dengan keputusan 7-1 dalam saingan separuh akhir Piala Dunia 2014.
Malah, nama kampung berkenaan semakin gah apabila Jerman muncul juara selepas menewaskan Argentina 1-0 dalam perlawanan akhir semalam.
Terdahulu, Siew Kiong dalam ucapannya berharap semua pihak terlibat dapat menjalin kerjasama erat berterusan dalam usaha mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
Menurutnya, negeri ini semakin dikenali ramai dan keadaan itu dapat dilihat apabila kedatangan pelancong terus meningkat iaitu seramai 5.7 juta orang tahun lalu berbanding 3.9 juta orang pada tahun sebelumnya.
"Jumlah peningkatan pelancong yang direkodkan ke negeri ini telah meletakkan Johor berada di kedudukan ketiga bagi jumlah keseluruhan kemasukan pelancong.
"Dari segi jumlah kedatangan pelancong antarabangsa iaitu seramai 2.6 juta yang dicatatkan telah meletakkan Johor berada di kedudukan kedua selepas Kuala Lumpur bagi kategori tersebut," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140716/dn_20/Kg-Parit-Jerman-tarik-pelancong#ixzz37aI2hkOT © Utusan Melayu (M) Bhd 


Najib ucap tahniah Jerman menang Piala Dunia 2014

KUALA LUMPUR 14 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Jerman yang memenangi perlawanan akhir Piala Dunia 2014 selepas menewaskan Argentina 1-0, di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, Brazil, awal pagi ini.
"Perlawanan Final Piala Dunia yang mendebarkan! Syabas, Jerman, juara Baharu Dunia. Argentina adalah lawan yang hebat," kata Perdana Menteri menerusi catatan terbaharu laman Twitternya.
Bintang Bayern Munich, Mario Goetze menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-113. Ini merupakan kejuaraan Piala Dunia keempat untuk Jerman.
Pada awal pagi, Najib menyertai 25,000 peminat bola sepak menonton perlawanan akhir Piala Dunia melalui skrin besar di Dataran Merdeka bersama-sama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Dr J. Loga Bala Mohan.
`Fiesta Samba Brazil' itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan. - BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140714/su_05/Najib-ucap-tahniah-Jerman-menang-Piala-Dunia-2014#ixzz37aJfyNqo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Najib tonton perlawanan akhir Piala Dunia bersama 
rakyat
KUALA LUMPUR 14 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak bersama kira-kira 30,000 peminat bola sepak tempatan dan antarabangsa menonton perlawanan akhir Piala Dunia 2014 yang menyaksikan Jerman muncul juara menewaskan Argentina 1-0.
Meskipun terikat dengan banyak komitmen mentadbir negara, Perdana Menteri tidak keberatan untuk turut sama bersengkang mata sehingga pukul 6 pagi sambil ditemani anaknya, Nor Ashman serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Najib yang hadir dengan memakai baju kemeja berwarna merah hati sebagai tanda berkecuali kerana pasukan pilihannya tersingkir awal turut mengenakan kain mafla ‘Selamatkan Palestin’ sebagai tanda sokongan kepada penduduk Gaza yang kini diserang oleh Israel,
Beliau yang tiba kira-kira pukul 2.30 pagi kemudiannya bersahur bersama Nor Ashman dan Khairy Jamaluddin di padang Dataran Merdeka ketika perlawanan separuh mana pertama berakhir dengan sekadar mengambil buah-buahan serta minuman jus buah.
Malah pada majlis itu, Perdana Menteri dilihat cukup ‘sporting’ apabila bertindak ‘menyakat’ Khairy Jamaluddin berulang kali sebaik sahaja Mario Goetze menjaringkan gol kemenangan Jerman pada minit ke-113 masa tambahan menerusi voli cantik.
Ini kerana Khairy Jamaluddin merupakan peminat Argentina dan beliau turut memakai jersi skuad La Albiceleste itu.
Terdahulu, pada sebelah malam sebelum perlawanan akhir bermula diadakan majlis berbuka puasa, solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat sunat tarawih anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Dataran Merdeka.
Selain itu, solat hajat bagi memohon kesejahteraan ke atas penduduk Gaza yang kini diserang, dikepung dan dibunuh rejim Zionis juga turut dibuat, disusuli persembahan malam kesenian Islam dan kutipan derma untuk tabung Gaza. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140714/su_04/Najib-tonton-perlawanan-akhir-Piala-Dunia-bersama-rakyat#ixzz37aLK1OxO
© Utusan Melayu (M) Bhd 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.