TAKZIAH......Semoga Allah cucuri Rahmat keatas Rohnya....Amin.....
KUALA LUMPUR 8 Ogos - Bapa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju di sini petang ini.
Allahyarham Hamidi Raden Abdul Fateh, 90, disahkan meninggal dunia pada pukul 5.05 petang akibat jangkitan paru-paru selepas dirawat di hospital tersebut sejak dua bulan lalu.
Jenazahnya disembahyangkan di surau hospital berkenaan kira-kira pukul 7 petang sebelum dibawa ke Bagan Datoh, Perak pada pukul 11 malam ini untuk dikebumikan pagi esok.
Yang turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Turut kelihatan ialah penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa.
Sementara itu, majlis resepsi perkahwinan anak ketiga Ahmad Zahid, Ahmad Khairul Hafiz, 32, dan pasangan Marina Zainal, 29, yang yang sepatutnya berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini digantikan dengan acara tahlil.
Majlis tahlil yang bermula sebaik sahaja selepas solat Isyak itu diketuai Setiausaha Sulit Ahmad Zahid, Mohd. Shahrizal Abdul Kadir dan turut disertai beberapa artis terkenal tanah air antaranya Datuk Hattan serta Datuk Nash.
Ahmad Zahid dan anaknya serta pasangan tidak hadir kerana menguruskan jenazah arwah Hamidi.
Meskipun begitu, kira-kira 20,000 tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa termasuk duta-duta asing hadir memeriahkan majlis tahlil yang berakhir pada pukul 11 malam.
Antara tetamu kenamaan yang dilihat hadir ialah Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.
Pada majlis berkenaan juga turut disampaikan sumbangan raya kepada anak-anak yatim oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff yang mewakili keluarga Ahmad Zahid.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140809/dn_26/Bapa-Ahmad-Zahid-meninggal-dunia#ixzz39qbdPIZr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.