Pages

Subscribe:

16 Ogos, 2014

[hang nadim] Masyarakat dunia perlu desak hentikan keganasan Zionis......

SEMPORNA 16 Ogos - Kekejaman rejim Zionis menyerang dan membunuh penduduk Palestin perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab oleh seluruh masyarakat antarabangsa supaya dapat dihentikan segera.
Langkah itu perlu diberi keutamaan dan tumpuan kerana tindakan tentera Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa terlalu ganas dan tidak berperikemanusiaan.
Perkara tersebut terkandung dalam usul mengenai krisis Gaza yang dibentang dan diluluskan pada Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Semporna yang diadakan di sini hari ini.
"Kita berharap krisis yang berlaku di Gaza dapat ditangani dengan penuh rasa tanggungjawab melibatkan semua masyarakat dunia dan ditamatkan segera," kata Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian itu, Mohd. Syam Mohd. Muksan ketika membentangkan usul tersebut. Beliau juga merupakan bekas Ketua Penerangan Pemuda UMNO bahagian itu.
Mohd. Syam berkata, kesediaan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Semporna, Azis Jamman yang kini menyertai misi kemanusiaan Gaza disifatkan tindakan yang wajar dicontohi.
"Sebagai Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA juga, beliau dan pelajar-pelajarnya turut menyumbang sejumlah RM22,000 atas rasa tanggungjawab kemanusiaan untuk tabung Gaza.
"Misi kemanusiaan ini adalah tanda sokongan kita terhadap isu ini dan mengutuk keganasan tentera Israel," katanya sambil menambah sumbangan wang ringgit yang diusahakan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Semporna pula akan disalurkan melalui Kelab Putera 1Malaysia.
Usul lain yang dibentangkan adalah penyalahgunaan media sosial dan mendesak supaya 30 peratus jumlah calon pilihan raya umum akan datang diberi kepada golongan muda.
Mesyuarat itu dirasmikan oleh Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar dan turut dihadiri Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Jamil Datuk Hamzah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140817/dn_07/Masyarakat-dunia-perlu-desak-hentikan-keganasan-Zionis#ixzz3AbUjFoVm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.