Makan nasi kuah air setiap hari
Aminah Abdullah (kanan) menyerahkan sumbangan kilat kepada Fatimah
Zulkifly Gunasegaran (dua dari kanan) yang tinggal dalam serba kekurangan
bersama 12 lagi ahli keluarga di rumah mereka di Green Garden, Paya
Terubong,Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 15 Okt. - Hidangan mereka hanyalah nasi putih berkuahkan air sejuk yang dikongsi bersama 13 orang dan dinikmati sekali sehari.
Bayi yang berumur setahun pula hanya
mampu diberi minum air gula kerana ibu bapanya tidak mampu membeli susu formula.
Lebih malang, keluarga yang tinggal di
Flat Green Garden dekat Paya Terubong di sini, terpaksa bergelap sejak sebulan
lalu dan bergantung pada bilik air yang disediakan di kolam renang flat
tersebut untuk mandi setelah bekalan elektrik dan air dipotong berikutan bil
tertunggak sebanyak RM500.
Selain Muhammad Nazmir Abdullah, 27,
dan isteri, Nurul Nadia Zulkifli, 25, bersama tiga anak mereka berusia lima,
tiga dan setahun, rumah flat dua bilik itu turut didiami dua ibu tunggal dengan
masing-masing mempunyai dua dan empat orang anak.
Menurut Muhammad Nazmir, rumah itu
sebenarnya adalah kepunyaan kakak iparnya, Siti Maisuri, 27, yang tinggal
bersama empat anak berusia antara dua dan tujuh tahun setelah ditinggalkan
suami kira-kira setahun lalu.
"Selain keluarga saya, rumah ini
turut didiami seorang lagi kakak Nurul Nadia iaitu Siti Fatimah, 33, yang juga
merupakan ibu tunggal bersama dua anaknya berusia 17 dan 10 tahun,"
katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu, keluarga itu mene-rima lawatan
Presiden Persatuan Kebajikan Insan Mulia, Aminah Abdullah.
Muhammad Nazmir yang beker-ja sebagai
pengawal keselamatan di flat itu sebelum kontraknya ditamatkan dan kini hanya
bergantung pada pendapatan sebanyak RM25 sehari dengan bekerja sebagai buruh
kontrak berkata, mereka terpaksa tinggal di rumah kecil itu kerana tiada tempat
lain untuk dituju.
"Pendapatan saya tidak cukup untuk
menampung belanja isteri dan tiga anak hingga terpaksa menumpang di rumah kakak
ipar.
"Seorang lagi kakak ipar saya turut
menumpang di sini bersama dua anaknya setelah ditinggalkan suami. Kami terpaksa
makan nasi bersama air sejuk untuk mengalas perut sebab tak mampu menyediakan
makanan lain," katanya.
Tambah Muhammad Nazmir, lebih
memeritkan, anak saudaranya, Zaki Anuar Mohd. Abas, 17, yang terlibat dalam
kemalangan jalan raya hanya terlantar di rumah sejak setahun lalu dan
memerlukan perhatian rapi ibunya.
Jelasnya, walaupun kakak ipar-nya
menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM660 dan Zakat
Pulau Pinang (ZPP) sebanyak RM400 sebulan, namun itu hanya cukup untuk
menampung belanja perubatan Zaki Anuar kira-kira RM900 sebulan.
"Dengan bantuan JKM dan ZPP
itulah, Siti Fatimah gunakan untuk membeli lampin pakai buang, belanja
perubatan di Hospital Pulau Pinang serta bayaran teksi untuk membawa anaknya ke
hospital.
"Anak keduanya, Faimah sering
ponteng sekolah kerana tidak mampu untuk berulang-alik menggunakan bas ke
Sekolah Kebangsaan Tan Sri P. Ramlee di George Town setiap hari," ujarnya.
Mereka yang ingin membantu keluarga ini
boleh menghubungi Nurul Nadia di talian 0111-6587114 atau menyalurkan bantuan
menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 07137-29-00007713-6 (BSN) atas nama
Muhammad Nazmir Abdullah.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141016/dn_19/Makan-nasi-kuah-air-setiap-hari#ixzz3GLxq5vp0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.