Pembatalan darjah kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSSA) itu berkuat kuasa pada 3 November lalu.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan memberitahu, gelaran itu ditarik balik berikutan tindakan dan perlakuan Ketua Pembangkang itu sejak akhir 2013 yang mempersoalkan kuasa dan kewibawaan Sultan Selangor dan institusi raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar tahun ini.
Katanya, Anwar turut mempersoalkan hal-hal berkaitan isu agama Islam yang mana Sultan Selangor mempunyai kuasa eksekutif dan sebagai ketua agama seperti termaktub di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
“Tindakan dan perlakuan beliau adalah tidak lagi sesuai untuk memegang darjah kebesaran itu,” katanya.
Selain pernah menerima darjah kebesaran dari Selangor, Anwar juga telah menerima anugerah yang membawa gelaran yang sama dari Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.
Ketegangan dengan pihak istana bermula apabila Sultan Sharafuddin ketika kemelut pelantikan menteri besar telah bertitah agar Pas, PKR dan DAP mencadangkan lebih dua nama daripada parti masing-masing sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu, untuk memudahkan baginda menentukan calon yang berkelayakan untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Anwar yang juga Penasihat PKR tetap dengan keputusan menamakan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor yang baharu sebagai muktamad.
Sementara itu, PKR dan DAP tetap berkeras mencalonkan Wan Azizah untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Baginda amat berasa dukacita di atas tindakan DAP dan PKR yang ingkar terhadap titah baginda bertarikh 27 Ogos lalu dan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor ketika itu menyatakan tindakan DAP dan PKR itu menggambarkan kebiadaban kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor.
Selepas itu, baginda juga menegur Penasihat PKR itu kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat dan mengelirukan berhubung amalan menghantar satu nama calon menteri besar kepada Sultan sebagai amalan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
Rentetan itu, pihak istana menerima surat yang ditandatangani Anwar pada 10 Ogos lalu memohon untuk Wan Azizah menghadap Sultan bagi memberi penjelasan dan penerangan keputusan yang diputuskan PKR, namun baginda menolak pertemuan itu.