“Ramai individu berharta menjadikan kaedah ini (berhutang) bagi mencapai keuntungan berganda untuk mengekalkan lagi kekayaan. Lahirlah hamba ALLAH yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah.
Ukur baju di badan sendiri, usah terlampau mahu bergaya jika membelinya secara berhutang






Sememangnya berhutang akan membuatkan kehidupan menjadi tidak tenteram. Lihatlah betapa ramai pemiutang yang mengejar penghutangnya sehingga berlaku paksa memaksa kerana tidak mampu menyelesaikan hutang tertangguh.

Menurut perunding motivasi, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, berhutang bagi mereka yang tidak berkemampuan mungkin tidak pelik, tetapi apabila terjadi dalam kalangan orang berada, ia menimbulkan persoalan.
“Hujah mereka mudah sahaja dalam hal ini, iaitu jika bayar tunai maka kita akan rugi. Inilah fenomena kurang sihat yang dianggap ‘sihat’ oleh masyarakat hari ini," katanya.
Pinjaman konvensional haram

Ustaz Zaharuddin berkata, berhutang adalah kegiatan kurang sihat menurut pandangan Islam, malah ia perlu dijauhi semampu boleh.
“Saranan saya jauhkan diri daripada menggunakan kad kredit. Selain riba yang begitu hampir dengan kad kredit, ia juga amat menggalakkan hutang secara berlebihan. Adalah lebih baik menggunakan charge card atau debit card," katanya.
Beliau berkata, pinjaman peribadi boleh mengakibatkan ketagihan duit dalam masyarakat. Malah ulama sepakat mengatakan bahawa pinjaman peribadi secara konvensional adalah haram di sisi Islam.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa bank Islam dan perbankan Islam yang menawarkan pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam,” katanya.

Keperluan asas dan keutamaan

Mengulas keperluan asas seperti kereta dan rumah, Ustaz Zaharuddin berkata, seeloknya hutang peribadi tersebut dihadkan kepada dua perkara itu sahaja. Itu pun mestilah menilai kemampuan kewangan dengan sebaiknya agar tidak mendedahkan diri kepada bahaya ketidakmampuan membayar hutang serta bukan daripada pinjaman secara konvensional.

Beliau berkata, mereka yang berhutang perlu mengutamakan pembayaran balik hutang itu daripada perkara-perkara wajib lain, misalnya menunaikan haji atau umrah.
“Tuntutan menunaikan haji adalah wajib bagi umat Islam yang berkemampuan, tetapi ia wajib sekali sahaja. Justeru, kita perlu memahami keutamaan dalam pengendalian wang peribadi.
“Menurut Islam, menggunakan wang yang diperuntukkan untuk menunaikan haji dan umrah kali kedua adalah lebih besar pahalanya disalurkan bagi melupuskan pembayaran hutang peribadi yang bertimbun,” katanya.

Malangnya, akibat ketidakfahaman umat Islam hari ini menyebabkan mereka kerap mendahulukan sesuatu yang kurang penting berbanding apa yang lebih penting.

Hutang diharuskan Islam

Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Hamizul Abdul Hamid berkata, hutang diharuskan bahkan tidak dilarang sama sekali memandangkan dalam al-Quran ada menyebut ayat mengenai hutang,
“Dalam kehidupan Nabi, Baginda turut berhutang. Ibnu Majah ada meriwayatkan bahawa Nabi sendiri pernah berhutang pada saat perang Hunain kepada sahabatnya dan segera melunasinya selepas Baginda kembali dari peperangan.
“Maknanya, berhutang itu halal. Apa yang menjadi masalahnya apabila hutang dilakukan tanpa perancangan dan lebih memenuhi kehendak dan bukan atas dasar keperluan. Malah, ada setengah orang apabila tidak cukup wang akan terus berfikir untuk berhutang. Mulanya sedikit semakin lama menjadi bukit hingga tidak mampu pula untuk melunaskannya. Maka, hutang itulah yang menjadi duri dalam daging masyarakat kita hari ini,” katanya.

Menurutnya, seorang suami wajib menanggung perbelanjaan keluarga yang menjadi nafkah wajib ke atas dirinya. Hinggakan dalam bab zakat sekali pun, seseorang itu hanya boleh mengeluarkan zakat setelah keperluan asasi tanggungannya dipenuhi.

ALLAH berfirman: “Mereka bertanya kepada mu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”. Dan mereka bertanya kepada mu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: “yang lebih dari keperluan.” Demikianlah ALLAH menerangkan ayat-Nya kepada mu supaya kamu berfikir.” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Hamizul berkata, si suami dikira berhutang nafkah dengan isteri dan anak-anaknya jika mengabaikan perkara wajib tersebut.
"Ini jelas, kerana dalam bab fiqah, perkara yang wajib itu bila diabaikan maka ia menjadi hutang dan wajib diqada. Samalah orang yang sengaja tidak mahu solat, berzakat dan sebagainya dalam keadaan sudah cukup syarat, maka dia diwajibkan membayarnya kembali selepas dari itu dan dianggap qada.
“Walau bagaimanapun, amalan perundangan di negara ini tidak ada dimasukkan peruntukan ‘hutang nafkah', namun apa yang ada ialah ‘tuntutan nafkah’. Seorang isteri memang boleh dan berhak memohon kepada pihak mahkamah agar bekas suaminya memberikan tanggungan nafkah ke atas anak-anaknya. Bahkan si isteri juga berhak memohon nafkah selepas bercerai selagi masih berada dalam masa idah,” katanya.
Lunaskan hutang si mati
Hamizul berkata, dalam kes suami (si ayah) meninggal dunia sedangkan hutangnya bertimbun-timbun, maka anak-anak atau warisnya perlulah menjelaskan kesemua hutang itu.
"Tiada jalan lain lagi, kecualilah pihak yang memberikan hutang itu menghalalkannya, maka terlepas si ayah daripada belenggu hutang di akhirat nanti.

“Namun, hutang bukan sahaja dengan manusia. Jika si mati semasa hayatnya tidak mengeluarkan zakat hartanya, maka ulama fiqah menyatakan wajib dikeluarkan dahulu zakatnya sebelum harta-hartanya dibahagikan. Begitu juga hutang kifarat, nazar dan haji. Hal ini dinamakan hutang kepada ALLAH dan Imam Syafie menyatakan ia hendaklah terlebih dahulu dilunasi dalam senarai hutangnya," katanya.

Beliau berkata, sebaik-baiknya seseorang yang banyak hutang membuat satu surat wasiat yang menyatakan mengenai hutang-hutang masih belum dijelaskan, sama ada hutang peribadi, zakat dan sebagainya.

"Surat itu wajar disimpan dan diminta agar pasangan atau anak-anak membacanya sebelum mereka mengagihkan harta pusaka,” katanya.

Menurutnya, dalam dunia moden kini, kita boleh menggunakan sistem kafalah atau takaful yang mana, apabila berlaku kematian maka hutang-hutang itu secara automatik akan dibiayai sepenuhnya oleh takaful. Hal ini pasti meringankan semua pihak dalam mendepani hari-hari selepas kematian.