Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah
Onjining menunjukkan kaki kananya yang kudung terpijak jerangkap samar komunis
Bagi Onjining, pemimpin PKM itu tidak harus dibenarkan pijak bumi Malaysia walaupun seinci
GARIS kedutan halus di wajahnya menyimpan pelbagai kisah kehidupan. Sesekali, pandangannya terpaku ke kaki palsu yang menjadi penyambung langkah sejak hampir suku abad lalu.
Putaran kipas siling di ruang tamu rumahnya seakan-akan membawa Onjining @ Christopher Jopinol, 52, mengimbau pengalaman berjuang mempertahankan tanah air memburu musuh negara - Parti Komunis Malaya (PKM) di sempadan Malaysia-Thailand.
Beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1978 ketika berusia 21 tahun. Sangka anak muda itu, beliau pasti menghabiskan masa beberapa tahun mendalami selok-belok menjadi anggota tentera sebelum keluar ke dunia sebenar.
"Belum pun sampai setahun, saya dikerah memasuki hutan untuk menyertai operasi memburu komunis bersama anggota senior yang lain.
"Saya ingat lagi Pegawai Pemerintah Pasukan 9 Renjer ketika itu mengatakan saya sebenarnya belum layak masuk hutan kerana masih terlalu baru dalam ATM.
"Memang betul pun, tetapi tiada pilihan kerana kerajaan mengarahkan ATM meningkatkan operasi membanteras ancaman komunis di sempadan tanah air," katanya pada pertemuan dengan Berita Minggu di kediamannya di Putatan, dekat Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Onjining disenaraikan untuk menyertai operasi Pasukan 9 Renjer Kem Oran di Kangar, Perlis selama sembilan tahun berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
Beliau berkata, tempoh tiga bulan yang ditetapkan kepada setiap platun yang beroperasi di kawasan sempadan boleh dipanjangkan sehingga lebih empat bulan berikutan faktor keselamatan.
Katanya, keadaan itu biasanya berlaku apabila helikopter sukar mendarat berikutan ancaman serang hendap komunis dan faktor cuaca buruk.
"Apabila jadi begitu, kami berdepan masalah kekurangan makanan dan terpaksalah ikat perut. Malah dengan kawan-kawan pun kami perlu bersikap `kedekut' tetapi semuanya saling memahami,” katanya.
Takdir menentukan, semangat membara anak Sabah yang sanggup merentasi Laut China Selatan atas kecintaan terhadap tanah airnya, berakhir dengan titisan darah di bumi bertuah. Pada Jun 1985, Onjining menyertai operasi memburu komunis di kawasan hutan tebal di Gubir, Kedah.
"Seperti biasa, kami bergerak secara berkumpulan dan saya bersama beberapa rakan menyusuri anak sungai.
"Ketika berjalan, saya terpijak jerangkap samar yang ditanam berhampiran anak sungai itu. Segala-galanya berlaku terlalu pantas dan saya tidak sempat berbuat apa-apa. Apa yang ingat ialah jerangkap samar itu meletup.
"Apabila sedar, tapak kaki kanan saya hancur. Berikutan kejadian itu, saya dirawat di Hospital Pulau Pinang selama tiga bulan dan kaki saya terpaksa dipotong ke paras betis.
"Selepas sembuh, saya diberi kaki palsu untuk memudahkan berjalan. Mula-mula memanglah kekok tetapi lama-kelamaan jadi biasa," katanya.
Empat lagi rakannya dari Sabah dan lima dari Semenanjung yang sama-sama berkhidmat dalam Pasukan 9 Renjer dari akhir 1970-an hingga pertengahan 1980-an turut menjadi mangsa jerangkap samar komunis.
Seperkara yang masih berbekam di ingatan Onjining ialah kejadian rakan karibnya, Henry Ubung dari Sarawak terkorban akibat tembakan musuh ketika bertempur dengan komunis dalam operasi di sempadan pada awal 1980-an.
"Dia rebah betul-betul di depan mata saya," katanya. Perbualan kami terhenti seketika, mungkin ada imbasan kenangan yang singgah dalam pemikirannya.
Selain operasi dalam kawasan negara, beliau juga pernah menyertai operasi bersama tentera Thailand di hutan berhampiran sempadan bagi mengesan komunis.
Beliau berkata, platunnya pernah terserempak komunis ketika melakukan serang hendap di kawasan terbabit.
"Nasib baik ketika itu tidak ada anggota platun kami cedera, cuma seorang anggota tentera Thailand terkena peluru komunis," katanya.
Matanya bersinar apabila dibangkitkan desas-desus ada pihak mahu membawa bekas pemimpin PKM, Chin Peng, yang kini hidup dalam buangan di selatan Thailand untuk kembali ke tanah air.
Sambil menyifatkan percubaan itu sebagai penghinaan terhadap golongan veteran ATM yang bermati-matian mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman komunis, Onjining tegas bersuara menentang keras usaha itu.
"Mana maruah kami jika Chin Peng dibenarkan kembali? Dulu kami dikerah memburu komunis yang mengancam keamanan negara.
"Sekarang, ada pula yang cuba membawa balik Chin Peng? Rakan kami terkorban, keadaan fizikal kami tidak sama seperti dulu... semuanya gara-gara khianat komunis.
"Orang seperti Chin Peng tidak layak menjejakkan kaki di bumi bertuah ini walau seinci sekalipun," katanya.
Kebenciannya terhadap komunis bukan dibuat-buat. Bagi Onjining, segala-galanya bagaikan baru semalam berlaku dan tidak mungkin dapat dihakis daripada ingatan selagi hayat dikandung badan.
Tanggal 2 Disember ini menandakan genap 20 tahun usia perjanjian damai antara kerajaan Malaysia dan PKM yang dimeterai di Haadyai, Thailand sebagai tanda berakhirnya perjuangan parti itu dalam operasi ketenteraan di negara ini.
Ia bermakna sepanjang dua dekad lalu, tiada lagi operasi ketenteraan memerangi komunis di hutan sempadan Malaysia-Thailand. Dalam tempoh sama juga, perbincangan mengenai keselamatan negara yang berkaitan ancaman komunis tidak lagi diadakan atas keyakinan semua saki-baki komunis sudah menyerah diri menerusi Perjanjian Haadyai.
Bagi menghargai jasa Onjining dalam ATM, beliau dianugerahkan Pingat Jasa Negara (PJM) yang disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Datuk Zulkiflee Mazlan pada satu majlis di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Bersara daripada ATM pada 1999 selepas berkhidmat selama 21 tahun, pejuang negara itu cuma melakukan kerja ringan di rumah berikutan pergerakannya agak terbatas.
"Saya bergantung kepada wang pencen RM808 dan wang bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) sebanyak RM224 sebulan bagi menanggung isteri dan enam anak.
"Ya, saya sudah bersara tetapi semangat saya tidak padam. Pandangan saya terhadap komunis hari ini sama seperti pada hari pertama saya melapor diri sebagai anggota tentera.
"Pengkhianat seperti Chin Peng tidak layak menjejakkan kakinya ke bumi Malaysia - tanah air yang saya pertahankan dengan titisan darah, keringat dan air mata," katanya.
Kenapa Anuwar dan PR masih mahu mempolitikkan isu Chin Peng? Nak cari pasal ke?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.