Bagaimana dengan peratusan kejayaan yang direkodkan?
Kaedah moden cari calon isteri di alam maya
BENAR kata pepatah, jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Bagi lelaki solo, pencarian sang ratu hati ibarat misi ketenteraan yang perlu digerakkan dengan strategi berkesan malah penuh taktikal.
Mulalah disenaraikan kriteria gadis pilihan - paras rupa, ketinggian dan tahap pendidikan hingga terlupa apa pula yang boleh ditawarkan kepada si dia? Begitulah ragam lelaki apabila mencari jodoh pada era moden.
Selain bertanya kawan atau mengurat sendiri (jika berani) ketika bertembung di kompleks beli-belah, pelbagai taktik sudah digunakan. Namun cinta yang dicari belum juga nampak kelibatnya.. . Sungguh mengecewakan!
Nanti dulu, kepesatan teknologi internet memberi harapan baru kepada lelaki untuk mencari cinta di alam maya. Inilah yang dialami pengasas laman web mencari jodoh, Jodoh4u.com, Mohd Shiraj Zainal Abidin. Jangan tidak tahu, beliau sendiri pada mulanya hampir berputus asa mencari teman hidup.
"Selain diperkenalkan teman, saya juga pernah meminta bantuan ibu bapa mencari gadis yang sesuai.
"Namun, bukan mudah bertemu insan yang berkenan di hati. Bukan saja si dia menyukai kita, namun si dia juga mestilah menerima kita seadanya," katanya berkongsi cerita.
Akibat pasrah mencari cinta, Mohd Shiraj yang memiliki kepakaran dalam bidang grafik membangunkan sendiri laman web mencari jodoh sebagai medium bertemu pasangan hidup.
Selepas beberapa bulan membangunkan laman web dan meneroka alam maya, akhirnya Mohd Shiraj bertemu calon pilihan yang menjadi isterinya yang sah.
"Daripada matlamat asal mencari calon isteri, akhirnya Jodoh4u.com menjadi sumber pendapatan kepada saya dan isteri, Suriana Sabli," katanya.
Mohd Shiraj berkata, laman web yang diusahakannya bertindak sebagai 'jambatan' atau 'orang tengah' kepada pelanggan yang mahu mencari pasangan hidup dan mengikuti modul perkenalan yang ditetapkan.
Beliau berkata, pelanggan laman webnya merangkumi pelbagai peringkat usia dari kalangan remaja 18 tahun hingga usia emas.
"Pelanggan laman web ini bagaimanapun perlu menepati kriteria ditetapkan selain memberi maklumat peribadi yang tulen. Mereka tidak terikat dengan komitmen perkahwinan apabila memulakan perkenalan.
"Perlu dinyatakan hanya pelanggan serius dan komited saja dilayan. Kita tidak teragak-agak menamatkan langganan individu yang dilihat tidak serius atau sekadar menyertai program atas alasan suka-suka," katanya.
Bersama ruangan Tanya Pakar minggu ini, XY - Ikon Lelaki menyelami keseronokan mencari jodoh dalam talian...
Bagaimana tercetus idea membangunkan laman web mencari jodoh?
Suatu ketika dulu, saya sukar mengenali wanita hingga meminta bantuan ibu bapa. Namun, berdasarkan pengalaman, tidak semua cara yang dilakukan berkesan kerana ini soal hati dan cita rasa.
Kebetulan ada kenalan mengesyorkan saya membangunkan laman web mencari jodoh. Ini kerana tidak banyak laman web seumpama itu dikendalikan di Malaysia. Lalu berpandu acuan sendiri dan keperluan rakyat Malaysia, saya bangunkan laman web Jodoh4u.com.
Apa faktor mendorong masyarakat memilih internet sebagai medium mencari jodoh?
Faktor semasa dan perubahan gaya hidup menjadi antara alasan kurangnya medium lelaki dan wanita bertemu secara langsung.
Melalui laman web, tiada istilah malu dan kurang keyakinan diri. Ini kerana kita diberi hak untuk memilih secara langsung - tepuk dada tanya selera!
Boleh anda ceritakan bagaimana bertemu isteri di laman web ini?
- Mulanya kami berinteraksi di forum, kemudian berbalas emel dan mula bersembang di laman maya. Dalam dua minggu berinteraksi di telefon barulah pertama kali berjumpa Sue (Suriana). Sebulan berkenalan, saya mengambil keputusan untuk bertunang dengannya sebelum berumah tangga empat bulan kemudian pada September 2007.
Berdasarkan pengalaman anda, golongan lelaki manakah yang cenderung mencari jodoh di internet?
Boleh dikatakan daripada golongan profesional hinggalah penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).
Namun, kami mengendalikan kajian dan semakan awal sebelum meluluskan ahli baru untuk memastikan kesahihan maklumat diberi pemohon termasuk dari aspek umur, jantina, identiti dan status bujang mereka.
Sejauh mana keberkesanan medium perantara seperti laman web mencari jodoh dalam menyatukan dua hati?
Sebagai pengendali laman web bertanggungjawab, kita memaparkan hampir semua maklumat yang difikirkan perlu untuk memudahkan ahli mengenali calon pilihannya.
Kita mempunyai pelbagai kategori pelanggan termasuk mereka yang boleh melayari laman web secara percuma; pengguna berbayar serta kehormat atau VVIP yang boleh mengakses butiran peribadi termasuk nombor telefon.
Apa yang dilakukan ialah menyediakan landasan kepada mereka... Dari sini, terpulanglah kepada pelanggan untuk melangkah ke tahap seterusnya dalam perkenalan.
Sesetengah laman web dilihat agak terbuka dalam memperkenalkan diri ahli atau pengguna. Bagaimana laman web ini menyesuaikan keadaan dalam senario budaya dan masyarakat Malaysia yang lebih ketimuran?
Memang kita menekankan aspek budaya tempatan terutama soal adab ketika merekabentuk program ini. Disebabkan itulah, hanya butiran diri yang sesuai dan menepati cita rasa dan adab tempatan perlu diisi pelanggan.
Saya ingin menjelaskan laman web ini bukanlah memfokuskan keuntungan semata-mata, sebaliknya membantu masyarakat bertemu jodoh.
Bagaimana anda melihat keberkesanan dan ketelusan konsep cari jodoh dalam talian ini dari perspektif Islam?
Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Namun, andai kita tidak berusaha pasti kita tidak akan memperoleh kejayaan. Melalui medium internet, secara tidak langsung ia memberi kita lebih ruang untuk berkenalan dan berinteraksi dengan telus.
Sebanyak 30 pasangan menyatakan mereka sudah mendirikan rumah tangga selepas berkenalan melalui laman web ini.
Namun, ada juga pelanggan yang memilih merahsiakan identiti selepas bertemu dan mendirikan rumah tangga. Mereka kemudian menamatkan langganan dengan laman web ini. Ketika ini, sebanyak 17,000 ahli berdaftar di laman web ini.
Semestinya dalam suatu kejayaan, ada juga yang gagal. Apa jaminan diberikan anda kepada pelanggan untuk bertemu jodoh?
Kita sudah memberi platform. Berjaya atau tidak, terletak pada diri sendiri. Ada pelanggan menunggu hingga tiga tahun untuk bertemu calon pilihan. Tidak kurang juga yang bertemu jodoh dalam tempoh enam bulan menyertai laman web ini.
Profil
Nama: Mohd Shiraj Zainal Abidin
Umur: 31 tahun
Tarikh lahir: 21 Jun 1978
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Tinggi: 180 sentimeter
Berat: 55 kilogram
Status: Berkahwin
Kuiz kenali pasangan ideal
Bagi menguji sama ada pasangan anda sesuai atau tidak, tandakan 'ya' atau 'tidak' bagi setiap pernyataan di bawah. Hasilnya, anda boleh mengetahui sama ada calon pilihan anda benar-benar serasi dengan diri anda. Selamat mencuba!
1. Apakah anda berdua memiliki corak dan semangat pergaulan sama atau hampir sama? (Ya/Tidak)
2. Apakah anda berdua mempunyai sikap yang sama terhadap nilai hidup yang luhur serta lapang fikiran? (Ya/Tidak)
3. Apakah berdua saling hormat menghormati dan berpuas hati dengan pekerjaan masing-masing? (Ya/Tidak)
4. Apakah bakal tunang anda matang usianya? (Ya/Tidak)
5. Apakah bakal tunang anda terkenal di kalangan sahabat sebagai individu beramanah, jujur dan tidak selalu menguzurkan diri?
6. Apakah anda berdua sudah lama berkenalan? (Ya/Tidak)
7. Selama perkenalan pernahkah terjadi sesuatu yang mengeruhkan perhubungan anda berdua? (Ya/Tidak)
8. Apakah si dia tidak meninggalkan solat? (Ya/Tidak)
9. Apakah rancangan perkahwinan anda berdua dipersetujui keluarga kedua belah pihak? (Ya/Tidak)
10. Apakah bakal tunang anda patuh kepada kewajipan agamanya? (Ya/Tidak)
11. Apakah bakal tunang anda bukan kaki muzik dan rockers ? (Ya/Tidak)
12. Apakah anda sudah memikirkan masak-masak soal pilihan hati atau lebih didorong nafsu? (Ya/Tidak)
13. Apakah bakal tunang anda mempunyai perhubungan yang rukun dengan keluarganya? (Ya/Tidak)
14. Apakah bakal tunang anda bukan pemboros? (Ya/Tidak)
15. Apakah bakal tunang anda mudah cemburu dan syak wasangka? (Ya/Tidak)
16. Apakah bakal tunang anda tenang walaupun anda panas baran? (Ya/Tidak)
17. Apakah anda berdua mempunyai pengetahuan dan pengertian mengenai hidup berumahtangga? (Ya/Tidak)
18. Apakah bakal tunang anda sederhana tabiat dan bukan dari golongan kaki motor dan kaki perempuan? (Ya/Tidak)
19. Apakah bakal tunang anda boleh memberi didikan agama kepada anak-anak anda kelak? (Ya/Tidak)
20. Apakah anda mengerjakan solat sunat istikharah untuk menentukan sama ada pilihan hati baik untuk diri anda dan agama? (Ya/Tidak)
Jika anda dan pasangan masing-masing menjawab 'ya; sebanyak 16 kali atau lebih, ini membuktikan mahligai yang bakal dibina disinari cahaya kebahagiaan dan kejayaan. Jika anda menjawab 'ya' kurang dari 15 kali, perkahwinan anda mungkin berjaya tetapi dilanda gelombang pahit.
Sebaliknya, jika jawapan 'ya' tidak sampai 10 kali, perkahwinan anda kelak diragui sukar bertemu kedamaian.
Hantar karya anda ke:
pakbelang@yahoogroups.com
Untuk menyertai, hantar emel kosong ke:
pakbelang-subscribe@yahoogroups.com
Hanng Nadim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.