Pages

Subscribe:

06 September, 2009

APABILA DIBERHENTIKAN POLIS

1.1 Tidak Berpakaian Seragam, Minta Pengenalan Diri
Jika beliau tidak berpakaian seragam, minta beliau tunjukkan
pengenalan diri. Katakan; “Sila tunjukkan Kad Kuasa Polis anda.”
1.2 Kad Kuasa Polis
Merah : Pegawai Polis yang digantung tugas. Beliau tiada
kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda.
Anda boleh berlalu dari situ.
Lain-lain Warna :
• Biru : Berpangkat Inspektor dan ke atas.
• Kuning : Berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.
• Putih : Polis Simpanan
Ambil perhatian nama dan nombor Kad Kuasanya.
1.3 Berpakaian seragam
Ambil perhatian nama dan nombor ID pada pakaian seragamnya.
1.4 Kenderaan Peronda Polis
Ambil perhatian nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda
berkenaan.
2. POLIS MENYOAL SIASAT ANDA SEMASA DIBERHENTIKAN
2.1 PengenaIan Diri
Hanya berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda.
2.2 Polis bertanyakan soalan-soalan lain
Tanya dengan sopan, "Adakah saya sedang ditangkap?"
2.3 Adakah anda sedang ditangkap
Anda sedang ditangkap jika Polis:
• menjawab "ya";
• tidak membenarkan anda berlalu/mahu membawa anda ke
Balai Polis; atau
• menggari anda.
Jika anda tidak ditangkap, anda boleh berlalu/menolak untuk
mengikutnya ke Balai Polis atau ke mana sahaja, jika diminta.
2.4 Bilakah anda tidak boleh ditangkap
Polis tidak boleh menangkap anda semata-mata kerana anda
berpotensi sebagai saksi dan mereka mahu mengambil pernyataan
daripada anda (Pernyataan 112/Saksi).
3. SOAL SIASAT OLEH PIHAK POLIS TANPA TANGKAPAN
3.1 Pernyataan 112
Semasa pihak Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sesuatu
kes dan berpendapat anda mempunyai maklumat/pengetahuan
tentang kes tersebut, pihak Polis boleh menyoal siasat anda dan
mencatat semua jawapan anda (Pernyataan 112).
3.2 Permintaan Rasmi / Tidak Rasmi
Kebiasaannya, Polis membuat permintaan tidak rasmi supaya anda
memberikan Pernyataan 112. Jika tempat dan masa sesuai bagi anda,
anda boleh bekerjasama. Jika tidak, beritahu Polis anda akan
bekerjasama di tempat dan pada masa yang sesuai. Jika anda menolak
untuk bekerjasama, Polis boleh mengeluarkan arahan rasmi secara
bertulis, ditandatangani oleh seorang Pegawai Penyiasat (Pegawai Polis)
mengkehendaki anda untuk bekerjasama. Jika anda tidak mematuhi
Arahan Polis tersebut, anda tidak boleh ditangkap. Walau
bagaimanapun, ia adalah satu kesalahan dan pihak Polis boleh
memohon kepada Mahkamah untuk mengeluarkan satu waran terhadap
anda mendesak anda supaya bekerjasama.
3.3 Membuat Pernyataan 112
Semasa membuat Pernyataan 112, anda boleh menolak untuk
menjawab mana-mana soalan/berdiam diri jika jawapannya mungkin
mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah.
• Bawa bersama anda buku catatan atau kertas tulis (Nota Peribadi).
• Catatkan dalam Nota Peribadi anda semua soalan yang ditanyakan.
• Pastikan bahawa anda faham setiap soalan yang ditanyakan.
• Ambil masa anda dan fikir dengan teliti sebelum menulis jawapan di
dalam Nota Peribadi anda.
• Bacakan jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.
• Simpan Nota Peribadi anda sebagai rujukan di masa hadapan.
3.4 Menandatangani Pernyataan 112 anda
Sebelum menandatangani Pernyataan anda, baca dengan teliti semua
soalan dan jawapan anda yang ditulis oleh Pegawai Polis yang berkenaan.
• Bandingkan Pernyataan yang anda akan tandatangani dengan Nota
Peribadi anda.
• Anda berhak membuat pembetulan/pindaan ke atas Pernyataan
tersebut sebelum ditandatangani.
• Turunkan tandatangan betul-betul di bawah ayat terakhir
Pernyataan anda.
4. POLIS MENANGKAP ANDA
4.1 Tanya: "Mengapa saya ditangkap?"
Sesuatu tangkapan menjadi tidak sah jika anda tidak diberitahu alasan
tangkapan.
4.2 Jangan melawan semasa ditangkap
Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah
semasa menangkap anda jika anda melawan.
4.3 Tanya: "Balai Polis manakah saya akan dibawa?"
Pegawai Polis yang menjalankan tangkapan mestilah dengan segera
membawa anda ke Balai Polis yang berdekatan dan bukan sebaliknya.
4.4 Apa yang perlu anda lakukan apabila ditangkap
Anda mempunyai hak untuk membuat satu panggilan telefon kepada:
1. Keluarga atau rakan; dan/atau
2. Seorang peguam.
Anda juga bolah menghubungi Pusat Bantuan Guaman (LAC).
Maklumkan kepada mereka:
• yang anda telah ditangkap;
• masa, tempat dan alasan ditangkap;
• Balai Polis di mana anda dibawa.
4.5 Apa yang akan berlaku selepas ditangkap
Anda boleh ditahan sehingga 24 jam:
• Di Balai Polis, atau
• Di dalam lokap untuk "membantu" penyiasatan Polis.
5. HAK ANDA SELEPAS DITANGKAP DAN SEMASA DALAM TAHANAN
5.1 Hak untuk berunding dengan seorang peguam
Sebaik sahaja anda meminta kehadiran seorang peguam, anda
mempunyai hak untuk berunding dengan peguam berkenaan di Balai
Polis. Pihak Polis mestilah memberikan kemudahan-kemudahan yang
munasabah dan masa yang munasabah untuk anda berjumpa dan
berbincang dengan peguam berkenaan. Pihak Polis bagaimanapun
boleh menafikan hak ini, jika kelengahan dalam menyoalsiasat anda
boleh menyebabkan berlakunya jenayah lain atau menyebabkan
bahaya kepada pihak lain.
5.2 Pakaian
Anda dibenarkan mempunyai satu set pakaian bersama anda
semasa di dalam lokap.
5.3 Barangan peribadi
Pihak Polis mestilah merekodkan semua barangan peribadi anda dan
meletakkannya dalam simpanan selamat. Barangan peribadi anda
mesti dipulangkan kepada anda sebaik sahaja dibebaskan.
5.4 Kebajikan
Anda dibenarkan mandi dua kali sehari. Jika anda jatuh sakit, anda
berhak mendapat rawatan perubatan dengan serta-merta. Anda
sepatutnya diberikan makanan dan minuman yang wajar dan
secukupnya semasa dalam tahanan.
5.5 Berapa lamakah pihak Polis boleh menahan anda
Pihak Polis hanya boleh menahan anda sehingga 24 jam untuk
siasatan. Tugas Polis adalah untuk menyelesaikan penyiasatan
dalam masa 24 jam dan melepaskan anda dengan segera. Jika pihak
Polis tidak dapat menyelesaikan penyiasatan dalam tempoh 24 jam,
Polis mesti membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk
mendapatkan perintah reman untuk memanjangkan tempoh
penahanan anda melebihi 24 jam (Perintah Reman).
6. PERINTAH REMAN OLEH MAJISTRET SELEPAS 24 JAM
6.1 Siapakah Majistret
Majistret ialah seorang pegawai kehakiman yang mempunyai kuasa
untuk membuat Perintah Reman bagi menahan anda lebih daripada
24 jam.
6.2 Tujuan Perintah Reman
Untuk memberi lebih masa kepada Polis untuk melengkapkan
penyiasatan dan memutuskan sama ada terdapat bukti untuk
mendakwa anda atas satu-satu kesalahan. Pihak Polis tidak boleh
memohon Perintah Reman hanya untuk mengambil Pernyataan
daripada anda.

JUNHAIRI BIN ABD JALIL

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.