Pages

Subscribe:

04 Oktober, 2009

Memperkasa Agenda Negara Berbanding Agenda Bangsa

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Seperti yang selalu saya sebut sebelum ini, setiap negara yang dijadikan Allah SWT adalah mengikut bangsa-bangsa tertentu. Nama sesuatu bangsa itu akan menerbitkan nama negara. Ringkasnya, nama negara berasal daripada nama bangsa. Misalnya, bangsa Melayu-Tanah Melayu, bangsa Siam-negara Siam, bangsa Cina-negara China, bangsa India-negara India dan lain-lain. Tidak ada negara yang terbentuk secara semulajadinya berbilang kaum atau bermasyarakat majmuk. Masyarakat majmuk hanya muncul apabila berlaku penghijrahan seperti yang berlaku dalam banyak negara, termasuk Tanah Melayu (Malaysia).

Fakta ini cuba dipertikaikan oleh segolongan tertentu, termasuk pengunjung yang memberikan komen dalam laman blog saya, mengenai asul-usul Melayu di bumi Melayu atau Alam Melayu. Mereka mengatakan orang Melayu bukanlah pribumi atau penduduk asal negara ini. Melayu juga kata mereka seperti kaum lain berhijrah dari tempat lain ke Alam Melayu. Persoalannya, dari manakah datangnya perkataan kepulauan Melayu dan Tanah Melayu jika tidak didiami oleh orang Melayu? Betul, orang asli adalah penduduk asli. Mana ada negara yang tidak bermula dengan orang asli? Buktikan.

Seperti yang kita sedia maklum, sistem kenegaraan Melayu bermula dengan perkataan “Melayu” atau “Tanah Melayu” itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini. Nama-nama ini terkenal di kalangan negeri-negeri China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis) (Suntharalingam dan Abd Rahman Ismail, 1985).

Ringkasnya, istilah-istilah Tanah Melayu, Melayu dan Malaysia dan Malaya adalah jelas merujuk kepada negeri-negeri Melayu atau Tanah Melayu atau Land of the Malays. Fakta ini telah diperakui oleh pengkaji-pengkaji timur dan barat yang membuat kajian mengenai Alam Melayu. Tanah Melayu dan kepulauan Melayu adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu. Jika mahu tahu lebih lanjut, buatlah penyelidikan, jangan tulis tanpa fakta.

Kedatangan penjajah sebenarnya telah mengubah peta politik kepulauan Melayu. Kalau dahulu, hubungan antara China/India/Arab dengan Alam Melayu hanya melibatkan perdagangan dua hala sahaja, tanpa penghijrahan besar-besaran. Namun, setelah penjajahan berlaku, maka bermulalah episod kemajmukan masyarakat di negara-negara kepulauan Melayu. Jelas di sini bahawa Allah SWT menjadikan sesuatu bangsa di tempat-tempat yang berkaitan dengan bangsa tersebut. Allah SWT juga mengurniakan setiap bangsa dengan identitinya yang tersendiri seperti bahasa, budaya dan cara hidup. Maka adalah sesuatu yang normal bila mana identiti atau bangsa majoriti, menguasai atau mendominasi bangsa minoriti, kerana ia berlaku di mana-mana.

Hujah ini untuk meyakinkan kita bahawa memartabatkan bangsa dan identiti tidak salah. Jika tidak, apa ertinya Allah SWT menciptakan sesuatu bangsa dengan perwatakan dan warna kulit yang berbeza-beza di kawasan masing-masing. Tentu ada hikmahnya. Bila berlaku pernghijrahan, mereka boleh saling mengenali dan bercampur antara satu sama lain seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 13.

Pada hemat saya, berdasarkan ayat ini, sayangkan bangsa itu adalah sesuatu yang normal jika tidak keterlaluan. Ibnu Khaldun mengemukakan konsep asabiyah (ikatan sosial atau kesetiakawanan) yang bersifat positif. Ikatan ini memainkan peranan besar dalam menyatupadukan pelbagai kaum dan bangsa seterusnya membentuk kekuatan bagi membina peradaban. Dalam karangannya Al-Mukadimah, sayangkan bangsa atau asabiyah adalah dibenarkan. Mempertahankan hak sesuatu bangsa di tanahair sendiri adalah suatu perkara biasa, sebagaimana berlaku di negara-negara lain yang juga berasal dari satu bangsa pada mulanya.

Masyarakat yang mempunyai ikatan asabiyyah yang kuat sudah tentu berupaya membina kekuatan dan jati diri berbanding mereka yang lemah. Asabiyyah di sini bukanlah membawa makna chauvinisme atau rasisme atau etnosentrisme seperti orang jahiliah sebelum kedatangan Islam. Asabiyyah ketika itu, lebih kepada melakukan kezaliman atau membantu kaumnya melakukan kezaliman. Asabiyah yang Ibnu Khaldun maksudkan adalah soal ikatan persaudaraan, semangat setia kawan dan saling membantu dalam melakukan kebaikan. Maka dalam hal ini, bila sebut orang Melayu, sudah tentu ia tidak dapat lari daripada Islam.

Kita perlu ingat, orang Melayu beruntung kerana Islam telah menjadi anutan mereka sejak 600 tahun dahulu. Sebelum itu, ribuan tahun orang Melayu menganut agama Hindu-Buddha. Melayu dimuliakan oleh Allah SWT dengan Islam. Islam yang mengangkat martabat Melayu hari ini. Tanpa Islam, siapalah orang Melayu di bumi Melayu ini.

Justeru, orang Melayu perlu mengambil iktibar setelah mereka diIslamkan. Bermula dengan seorang raja Melaka memeluk Islam, maka boleh dikatakan hampir seluruh orang Melayu mengikuti jejak rajanya. Islam terus berkembang dan berkembang. Namun, kerajaan Melaka tidak dapat bertahan lama. Apabila perpecahan berlaku, ia telah membuka ruang kepada pihak penjajah untuk masuk. Akhirnya Alam Melayu telah terjajah dan dijajah.

Kemudian, orang Melayu bangkit kembali. Semangat nasionalisme Melayu Islam telah menyatukan mereka. Seterusnya orang Melayu kembali menjadi kuat. Penjajah berjaya dihalau keluar walaupun ramai juga yang terkorban. Gabungan Melayu Islam memberikan suntikan semangat dalam menjana kekuatan. Itulah yang saya selalu sebut Melayu dan Islam, ibarat darah daging, berasaskan sejarah, malangnya masih ramai yang tidak faham akan maksud saya. Mereka menuduh saya terlebih Melayu, seolah-olah sudah tidak sayangkan bangsa Cina atau Cina lupa diri.

Sebagai orang Cina, adalah wajar saya sayangkan bangsa saya sendiri. Ini dibenarkan dalam Islam. Orang Cina dia akan tetap jadi Cina, sampai bila-bilapun saya tetap Cina kerana saya adalah Cina ciptaan Allah SWT. Saya tidak boleh ubah diri menjadi Melayu. Menghina bangsa sendiri bermakna menghina kejadian Allah SWT. Namun, bila saya memberikan sedikit pandangan berbeza atau mengkritik orang Cina, itu bukan bermakna saya tidak sayangkan Cina. Fahamilah bahawa Islam mengajar saya erti berkata benar, walaupun saya sendiri payah untuk menerima. Sayangnya, masih ramai yang tidak dapat melihatnya dalam perspektif yang luas. Saya dikecam kerana dikatakan tidak menyebelahi bangsa sendiri sebalik menyebelahi bangsa lain. Adakah saya perlu menyembunyikan sesuatu keburukan kerana hendak menjaga nama bangsa?

Saya tidak hanya dikecam oleh bangsa saya sendiri yang tidak Islam, tetapi juga dari kalangan rakan seagama Cina Muslim sendiri. Tindakan saya dikatakan semakin menjauhkan orang Cina daripada mendekati Islam. Mereka menuduh saya opportunis. Saya dikatakan lebih Melayu daripada Melayu. Persoalan saya, apakah salah dan berdosa jika saya menyentuh isu Melayu Islam, jika perkara itu adalah yang benar? Apakah kita tidak berdosa mempertahankan kebatilan?

Seorang Cina Muslim yang menggelar dirinya ummataunwasoto di dalam blog saya memberikan komen bahawa adalah tidak salah orang Cina mendaulatkan bahasa ibundanya, untuk dirinya dan dalam lingkungan kaumnya, kerana ingin mengekalkan nilai budaya nenek moyang dan identiti keturunan. Persoalannya, bila saya kata salah? Baca artikel saya betul-betul setiap kali disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Amat malang sekali jika Cina Muslimpun tidak dapat memahami bahasa Melayu mudah ini. Yang mana lebih perlu diutamakan; agenda negara atau agenda bangsa? Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah agenda negara, matlamatnya besar. Manakala, agenda bahasa ibunda adalah untuk agenda bangsa. Bila berlaku pertembungan, maka sudah tentu agenda negara perlu diberikan keutamaan tanpa menjejaskan agenda bangsa.

Saudara ummataunwasoto juga gagal memahami isu kerajaan China menekan etnik Cina Uigur di Xinjiang. Isu sebenar bukanlah isu identiti atau isu bahasa etnik Uigur, kerana mereka tetap orang Cina. Tetapi, ada isu lain yang saudara ummataunwasoto masih belum dapat jawapannya, terutama berkaitan dengan agama Islam yang dianuti Uigur. Mereka yang beragama Islam dituduh sebagai pengganas. Inilah nasib umat Islam hari ini hasil propaganda pihak-pihak tertentu. Saya harap saudara ummataunwasoto tidak termasuk dalam golongan menerima propaganda ini. Buatlah kajian.

Di mana-mana dunia sekalipun kita lihat apabila Islam menjadi minoriti dalam negara bukan Islam, mereka akan ditindas, dianiaya dan lebih menyedihkan dibunuh. Berbanding dengan orang bukan Islam yang tinggal dalam negara majoriti Islam. Mereka bukan sahaja boleh hidup mewah dan senang-lenang, malahan kekayaan mereka mengatasi kekayaan pribumi itu sendiri. Inilah saya selalu ulangi nasib Melayu di bumi Melayu.

Lanjutan itu juga, bila saya menyokong idea menyeragamkan sistem pendidikan di negara ini, bukan bermakna kita hendak menghapuskan pendidikan kaum lain. Tulisan saya sebelum ini amat jelas, tetapi masih ramai yang buat-buat tidak faham. Berulang kali saya sebut, kanak-kanak sejak kecil mesti ditempatkan di bawah satu bumbung dengan tidak menafikan hak pendidikan bahasa ibunda. Mereka tidak boleh dipisah-pisahkan seperti yang berlaku sebelum ini sehingga kini. Ini yang menyukarkan proses integrasi nasional. Saya yakin orang yang berkokok ini tidak pernah mengkaji atau menyelidiki perkara ini. Mereka juga tidak bercampur dengan masyarakat atau hidup dalam kepompongnya sahaja. Sertailah NGO-NGO dan PIBG. Anda sudah tentu dapat jawapannya. Jika tidak menyertai mana-mana persatuanpun, kita boleh lihat sendiri penguasaan bahasa Melayu dan tahap integrasi kaum di kalangan mereka.

Banyak kajian yang dibuat menunjukkan bahawa tahap integrasi masyarakat berbilang kaum di negara ini berada pada tahap yang rapuh. Tidakkah kita merasa malu apabila ada kalangan pemimpin kita atau tokoh-tokoh korporat kita yang ditemubual di kaca televisyen, tahap penguasaan bahasa Melayu mereka amat rendah berbanding mereka bercakap dalam bahasa Inggeris atau bahasa ibunda? Di manakah kedudukan bahasa kebangsaan sebenarnya sebagai agenda utama negara berbanding agenda bangsa? Fikir-fikirkanlah.

Salam hormat saya
Posted by RIDHUAN TEE at 7:25 AM 16 comments
Sunday, September 06, 2009
Isu timbul kerana kejahilan beragama
(Mingguan Malaysia, 6 September 2009)

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

KOLUMNIS laman web Centre for Policy Initiatives (CPI), Helen Ang mengkritik dengan hebat beberapa siri artikel yang saya tulis dalam Mingguan Malaysia.

Artikel beliau bertajuk Ridhuan Tee‘s reverse take on racism, telah diposkan kepada beberapa laman web pembangkang dan membuka peluang kepada para pembaca laman web tersebut menyerang, mengecam dan menghentam peribadi saya sekali lagi, tanpa fakta ilmiah untuk berhujah sebagaimana artikel yang ditulis beliau.

Saya sepatutnya tidak mahu melayan mereka yang menulis tanpa membuat kajian dan penyelidikan terperinci seperti mana yang saya lakukan. Ternyata beliau tidak faham apa yang saya tulis. Mungkin disebabkan oleh tahap penguasaan bahasa Melayunya yang agak rendah setelah sekian lama tinggal di negara ini. Sebahagian kecil petikan artikel saya dimanipulasikan seperti yang dilakukan oleh akhbar Cina.

Petikan yang saya ambil daripada kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman mengenai perlunya bandar raya Shah Alam bebas daripada arak dan kelab malam telah disalah tafsirkan. Helen Ang mengatakan bahawa ia adalah tulisan saya. Saya sungguh kasihan cara beliau berusaha untuk memahami artikel saya dalam bahasa Melayu mudah. Mujurlah saya tidak gunakan bahasa yang bombastik, jika tidak saya tidak tahu apa yang Helen Ang akan tulis.

Beliau juga menuduh saya ‘masuk Melayu’ dan bukan ‘masuk Islam’ agar diterima oleh orang Melayu, dan seterusnya menjadikan saya lebih berjaya. Bagaimanakah saya boleh ‘masuk Melayu’ sedangkan saya seorang Cina. Saya memeluk agama Islam, bukan ‘masuk Melayu’. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya memeluk Islam kerana kemuliaan dan kesucian Islam. Saya tidak pernah mengharap sebarang bantuan setelah memeluk Islam, kerana agama Islam mengajar saya prinsip berdikari. Bangsa seseorang tidak boleh ditukar walaupun ia telah memeluk Islam kerana bangsa itu adalah kejadian Allah SWT. Manakala agama, kita boleh pilih untuk dijadikan pegangan hidup seperti yang saya lakukan.

Dalam membahaskan fakta yang saya kemukakan, Helen Ang membandingkan antara Cina Thailand dengan Cina Malaysia. Helen Ang memujikan rakyat Thai kerana dapat menerima Perdana Menteri Thailand kini, Abhisit Vejjajiva berketurunan Cina. Begitu dengan Perdana Menteri sebelum itu seperti Chuan Leekpai dan Thaksin Shinawatra. Helen mempertikaikan kenapa orang Cina tidak boleh menjadi Menteri Besar Perak (DAP). Jawapannya mudah, kerana orang Cina di Thailand sudah tidak serupa Cina. Mereka boleh dikatakan lebih Siam daripada Siam. Persoalannya, adakah itu berlaku di Malaysia?

Ternyata dalam banyak perkara yang diulas, beliau tidak dapat memahami sejarah Tanah Melayu dan sejarah pembentukan Malaysia. Lebih malang lagi beliau tidak dapat memahami roh bagaimana Perlembagaan Persekutuan digubal hasil persetujuan semua kaum, melalui pakatan murni atau lebih dikenali dengan kontrak sosial. Begitu juga Perlembagaan setiap negeri, ada sejarahnya tersendiri. Saya harap kejahilan ini tidak berlaku kepada orang lain agar tidak buta sejarah.

Helen Ang juga perlu mengkaji 7 wasiat Raja-raja Melayu seperti yang disebut oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, yang telah membentuk Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Helen Ang perlu memahami makna yang tersurat dan tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut. Jangan asyik mempertahankan dan membaca akhbar-akhbar Cina.

Kenapa beliau mempertikaikan kedudukan Menteri Besar Perak yang tidak dilantik dari kalangan DAP? Cuba Helen Ang bandingkan, kenapa Ketua Menteri Pulau Pinang mesti diserahkan kepada Cina? Tidakkah kerusi UMNO lebih banyak daripada kerusi parti-parti politik lain dalam pilihan raya 2004 dan sebelum itu? Kenapa kita tidak menghargai tolak ansur dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh orang Melayu? Sesuatu yang menguntungkan disenyapkan, yang tidak menguntungkan digembar-gemburkan untuk menagih simpati.

Helen Ang juga mempertikaikan fakta yang saya tulis akan bilangan rumah ibadat bukan Islam seperti kuil Hindu, tokong Cina dan gereja Kristian melebihi bilangan surau dan masjid. Di sini saya pamerkan statistik tersebut untuk pengetahuan beliau akan nasib Melayu di bumi Melayu.

Contohnya di Selangor mempunyai penduduk berjumlah 4.8 juta. Daripada jumlah itu orang Melayu mewakili 2.5 juta dengan kapasiti 259 masjid dan 939 surau. orang Cina Buddha berjumlah 1.3 juta mempunyai 1,015 tokong, orang India berjumlah 647,000 dengan 810 kuil berdaftar (bilangan ini belum dicampurkan dengan tokong dan kuil yang tidak berdaftar). Manakala, bilangan gereja Kristian biarlah Helen Ang yang cari untuk menampung jumlah 50,000 penganut Kristian.

Statistik

Berdasarkan kepada statistik ini, jelas kepada kita, setelah dicampur semua rumah ibadat bukan Islam, kedudukan masjid surau sebenarnya jauh ketinggalan. Ini baru perbandingan satu negeri, bayangkan negeri- negeri lain. Adakah nisbah antara bilangan penduduk dengan bilangan rumah ibadat itu adil? Begitu besar bezanya. Sila rujuk Wikipedia, walaupun ia bukanlah sumber yang outentik dalam akademik. Tetapi saya yakin statistik ini tidak jauh bezanya.

Jangan kita bercakap kosong tanpa melakukan penyelidikan. Helen Ang mungkin terkejut bila saya paparkan statistik seluruh negara. Kenapa dalam sebuah negara majoriti Melayu boleh berlaku demikian? Inilah tolak ansur orang Melayu. Hormatilah tolak ansur ini. Jangan terlalu kiasu.

Pada hemat saya, semua perkara ini berlaku disebabkan oleh kejahilan hidup beragama. Apakah isu sebenarnya timbul apabila kita mahu mempertahankan hubungan yang dilarang oleh semua agama, seperti amalan berzina sehingga melahirkan anak luar nikah? Beritahu saya ajaran agama mana yang membenarkan hubungan haram ini?

Bayangkan jika yang perempuan yang dizinai adalah ibu, isteri, adik-beradik perempuan kita sehingga melahirkan anak luar nikah. Apakah kita boleh menerima semua ini sebagai isu moral yang boleh dipertahankan? Kena pada orang lain, tak apa. Bila kena pada diri sendiri baru tahu langit ini tinggi atau rendah?

Justeru, saya amat bersimpati dan amat menghormati tindakan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan badan disiplin MCA yang telah mengambil tindakan yang tepat untuk menggugurkan timbalannya disebabkan salah laku moralnya.

Saya amat yakin keputusan yang diambil, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk beliau melakukan tindakan sedemikian. Keputusan yang diambil adalah demi menyelamatkan maruah parti biarpun beliau akan menjadi tidak popular.

Tindakan MCA itu dikira tepat jika ditinjau dari segi undang-undang moral dan ajaran agama. Saya selaku orang Cina menyokong sepenuhnya tindakan tersebut. Inilah nilai-nilai moral yang perlu ada pada setiap pemimpin dan juga rakyat yang dipimpin. Jika pemimpin tidak menunjukkan teladan, siapa lagi? Adakah kita mahu menunggu rakyat menunjukkan teladan? Tidakkah kepimpinan itu melalui teladan?

Seperti yang selalu saya sebut, tidak ada satupun agama atau ajaran di dunia yang menghalalkan perlakuan tidak bermoral seperti berzina atau hubungan seks luar nikah. Apatah lagi sehingga mengandungkan anak luar nikah. Semua perbuatan terkutuk adalah berdosa besar.

Masyarakat kita tidak kira apa juga bangsa dan agamanya, perlu dididik dengan nilai moral tinggi. Agama hendaklah dijadikan panduan hidup. Baru dunia akan aman. Kerana semua agama menyerukan kepada kebaikan. Yang baik tetap baik, yang salah tetap salah. Kita tidak boleh menghalalkan yang haram untuk mencapai matlamat.

Buddha begitu keras sekali mengharamkan zina seperti yang tersebut dalam lima larangannya iaitu jangan membunuh, jangan berzina, jangan berbohong, jangan mencuri dan minum arak. Sila rujuk Sutta Nipata 815, Dhammapada 309-10, Sutta Nipata 123.

Begitu juga larangan dalam agama Kristian, Hindu dan Sikh. Apa tujuan nasihat agama ini? Semuanya mahu memastikan kita menjadi manusia yang mempunyai moral yang tinggi, bermaruah dan sebagainya. Jika Helen Ang beragama Kristian, sila buka Bible, 1 Corinthians 6:18-20 & 1 Corinthians 7:1-2. Adakah Kristian menghalalkan zina? Sudah tentu tidak.

Kalau Helen Ang melihat adat tradisi masyarakat Cina zaman dahulu, hukuman ke atas mereka yang berzina ini amat berat. Penzina-penzina ini akan dimasukkan ke dalam bekas atau raga babi dan dicampakkan ke dalam sungai.

Begitu juga saya ingin menyarankan Helen Ang supaya meluangkan masa meneliti ajaran agama lain seperti agama Hindu dan Sikh mengenai penzinaan. Baca kitab Hindu, Bhagavad Gita1.40-42, zina diharamkan dalam agama Hindu. Perlakuan berzina dianggap sebagai penghinaan kepada undang-undang agama Hindu (Laws of Manu, 9.95, 101). Untuk keterangan lanjut baca New World Encyclopedia. Dalam ajaran Sikh, salah satu daripada lima dosa besar adalah berzina. Sila baca Adi Granth, Dhanasari. Justeru, atas landasan apa kita mahu menghalalkan zina?

Lihat juga pandangan ajaran Konfucianisme, Taoisme, Jainisme, Zoroastrianisme, Shintoisme, Judaisme dan Bahai dalam artikel bertajuk A Comparison of Morality from the religions from Around the World, http://usminc.org/other.html. Larangan berzina amat keras sekali.

Sebenarnya isu-isu moral ini dibahaskan dengan panjang lebar oleh semua agama, apatah lagi agama Islam. Saya tidak perlu sebutkan pandangan agama Islam, sebab sudah terang lagi bersuluh kemuliaan Islam dalam menjaga umatnya. Justeru, jika berlaku juga kepada umat Islam, itu salah orang yang melakukan perbuatan terkutuk itu, bukan agama Islam yang suci murni.

Justeru, dalam menilai antara yang benar dan yang batil, agama perlu dijadikan panduan dan sejarah sebagai pedoman. Percubaan untuk memadamkan fakta agama dan sejarah hanya akan mengundang kerosakan di muka bumi. Saya yakin fakta yang saya kemukakan sengaja diselewengkan disebabkan oleh sikap kiasu.

Salam hormat saya.
Posted by RIDHUAN TEE at 7:08 AM 82 comments
Sunday, August 30, 2009
Merdekakan Pendidikan Perkauman
Merdekakan pendidikan perkauman (Mingguan Malaysia, 30 Ogos 2009)
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Pendidikan adalah merupakan salah satu elemen penting dalam pembentukan sebuah negara bangsa. Bentuk pendidikan yang lahir akan menentukan sama ada agenda nasional dapat dicapai atau tidak. Jika sistem pendidikan berbentuk perkauman, maka perkaumanlah penyudahnya.

Setakat ini, hanya Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai pendidikan pelbagai mengikut kaum atau vernakular. Inilah yang selalu dicanangkan oleh golongan tertentu sebagai salah satu kekuatan Malaysia. Ya, dari satu sudut ia memang satu kekuatan. Tetapi dari sudut yang lain, kita lihat bila ada ura-ura kerajaan untuk menyeragamkan sistem pendidikan berasaskan konsep 1Malaysia, tanpa menafikan hak-hak kaum lain mendapat pendidikan ibunda mereka, serta-merta golongan ini akan membuat laporan polis dan menuduh kerajaan yang bukan-bukan.

Saya amat menyanjungi sikap bumiputera Sabah dan Sarawak selaku pribumi, kerana mereka tidak menuntut sekolah berasaskan kaum. Jika tidak, saya tidak tahu ke manakah hala tuju pendidikan negara?

Ini tolak ansur yang mesti dihargai. Orang Melayu dan bumiputera tidak ada sekolah mereka sendiri. Yang ada ialah sekolah kebangsaan untuk semua. Sistem inilah yang dipraktikkan di seantero dunia. Jika adapun sistem pendidikan perkauman, ia telah lama dihapuskan. Semua bentuk pendidikan diseragamkan demi mencapai matlamat nasional. Contohnya, Thailand, Indonesia dan negara-negara maju yang lain.

Kita perlu berfikir jauh ke hadapan walaupun pahit untuk diterima. Setelah 52 tahun merdeka, sistem pendidikan kita masih belum merdeka dan terbelenggu. Setiap kaum masih leka dalam kepompong sistem pendidikan masing-masing. Orang Melayu masih percaya kepada sistem pendidikan kebangsaan untuk semua, tetapi tetap dengan sistem perkauman, India dengan cara India dan Cina dengan cara Cina. Kehidupan kita sebenarnya semakin jauh dan terasing.

Sebagai permulaan, biarlah saya mulakan dengan kajian yang telah saya lakukan terhadap sistem pendidikan Cina khususnya, selaku majoriti kedua terbesar. Secara umumnya, orang Cina terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan dikenali sebagai Hua Ch'iao (orang Cina seberang laut) yang masih berwarga negara China. Satu lagi ialah Ma Hua, menganggap diri mereka sebagai Malayan Chinese, kebanyakan lahir di Tanah Melayu menganggap Tanah Melayu adalah negara mereka.

Wang Gungwu (1970), membahagikan orang Cina Malaysia kepada tiga kumpulan iaitu A, B dan C. Kumpulan A boleh dikategorikan dalam kumpulan minoriti berbanding dengan kumpulan lain. Mereka masih mengekalkan hubungan dengan politik di China, sama ada secara langsung atau tidak, serta masih mengambil berat akan masa depan negara China. Kumpulan ini tidak sedominan kumpulan B dan C.

Kumpulan B pula terdiri dari kalangan yang keras kepala. Majoriti bersikap realistik dan yang secara tidak langsung mengambil berat soal politik perniagaan dan pertubuhan komuniti. Kebanyakan mereka amat aktif dalam pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengaruh mereka amat mendalam dalam komuniti masyarakat Cina, malahan kerap memberikan tekanan kepada kerajaan. Inilah kumpulan ultra kiasu yang selalu saya sebut. Kumpulan ini berada dalam pertubuhan pendidikan (NGO), politik dan persuratkhabaran.

Kumpulan C pula, mereka menunjukkan minat yang mendalam serta aktif dalam politik negara. Wang Gungwu yang meletakkan mereka dalam kategori orang yang tidak pasti tentang identiti mereka sendiri tetapi secara umumnya mempunyai ketaatan kepada negara.

Pendapat Gungwu turut dikongsi oleh Rita Sim dan F.K. Soong, daripada Institute of Strategic Analysis and Policy Research (INSAP). Menurut mereka, terdapat dua jenis kumpulan Cina daripada keseluruhan berjumlah 6.5 juta.

Kumpulan pertama, mewakili 85-90 peratus orang Cina, berlatar belakangkan perkauman Cina, berpegang kepada tiga rukun, menyertai pertubuhan-pertubuhan Cina, bersekolah Cina dan membaca/mendengar/menonton media Cina. Manakala, selebihnya mewakili kumpulan kedua 10-15 peratus, adalah English- speaking group atau kumpulan yang mendapat pendidikan Inggeris, yang tidak mendapat pendidikan Cina. Kebanyakan mereka ada yang beragama Kristian, Cina Peranakan dan menyertai kelab Lions dan Rotary.

Pengkategorian ini sudah cukup untuk membuktikan kajian Yew Yeok Kim (1973, 1982) dan Leo Suryadinata (1989) mengenai sikap mereka yang mendapat pendidikan Cina dan bukan aliran Cina. Pelajar Cina yang mendapat pendidikan Inggeris (termasuk pendidikan kebangsaan) kurang identiti kecinaannya, lebih mudah bergaul dengan kaum lain dan memudahkan proses integrasi nasional. Manakala, mereka yang mendapat pendidikan sekolah Cina adalah bersikap sebaliknya.

Semua bukti ini jelas menunjukkan kedudukan dan polarisasi masyarakat di negara kita akibat sistem pendidikan yang wujud sekian lama. Sistem ini yang telah mewarnai kehidupan kita hari ini. Akibatnya, lahirlah golongan yang meletakkan kepentingan kaum di hadapan berbanding kepentingan nasional. Bahasa kaum sendiri lebih didaulatkan berbanding bahasa kebangsaan.

Kita ambil contoh kedudukan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan. Bahasa Melayu hanya diajar tiga kali seminggu berbanding dengan bahasa Cina yang diajar setiap hari. Ini tidak termasuk matapelajaran lain seperti Matematik, Sains, Kemahiran Hidup, Pendidikan Moral, Sivik dan Kajian Tempatan yang turut diajar dalam bahasa yang sama. Saya ingin mencadangkan Kementerian Pelajaran menambahkan waktu pembelajaran matapelajaran bahasa Melayu, sekurang-kurang sama waktunya dengan mata pelajaran bahasa Cina. Jika tidak, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak ada ertinya.

Saya berkongsi pandangan ini kerana saya mempunyai pengalaman yang agak luas berinteraksi dengan sekolah Cina. Boleh dikatakan kesemua anak saya mendapat pendidikan rendah di sekolah Cina. Secara kebetulan, saya juga adalah Yang Dipertua, Persatuan Ibubapa dan guru (PIBG), di salah sebuah sekolah menengah yang majoriti pelajar-pelajar Cina yang datang dari sekolah rendah Cina (SJKC). Keadaan ini menjadikan saya lebih faham mengenai masalah bangsa saya sendiri, terutama dalam soal penguasaan bahasa Melayu dan pendidikan ibunda.

Melalui pengalaman dan pemerhatian, secara umumnya, tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar-pelajar Cina adalah rendah. Dengan sebab itu, kelas peralihan terpaksa diwujudkan apabila mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah. Bagi mereka yang berada di kelas bukan peralihan pun, itu bukan bermakna penguasaan bahasa Melayunya baik. Bahasa Melayu lebih sekadar hafalan untuk menghadapi peperiksaan berbanding bagi tujuan interaksi dan pemahaman sebagai bahasa kebangsaan. Inilah dilema sistem pendidikan kebangsaan hari ini.

Kadangkala saya amat hairan kenapa setiap kali kerajaan cuba untuk menyeragamkan sistem pendidikan tanpa menafikan hak setiap kaum terhadap pendidikan mereka, mendapat tentangan yang begitu hebat. Mereka mempunyai prasangka bahawa ia adalah agenda kerajaan untuk menghapuskan sekolah Cina secara terancang. Inilah bentuk pemikiran yang telah bertapak setelah 52 tahun kita merdeka.

Kini, kedudukan pendidikan Cina tidak pernah tergugat, malah semakin kuat, termasuk kedudukan kewangannya. Di SJKC tempat anak saya belajar, penyata kewangan berakhir setiap tahun melebihi RM1 juta. Ini menunjukkan bahawa sokongan yang ditunjukkan oleh orang Cina terhadap pendidikan mereka semakin padu dan jitu. Manakala pendidikan kebangsaan semakin tergugat dan terhakis. Walaupun pelbagai usaha cuba dilakukan oleh kerajaan untuk mengadakan sistem satu sekolah dengan tidak mengenepikan hak kaum lain untuk mempelajari bahasa ibunda, namun ia tetap ditolak.

Pada hemat saya, jika inilah bentuk pendidikan yang lahir, kita masih belum merdeka dalam erti kata yang sebenar. Pemikiran kita masih dibelenggu dengan pemikiran perkauman. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-52.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Posted by RIDHUAN TEE at 11:31 AM 30 comments
Sunday, August 23, 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.