25 November, 2009
Chin Peng tidak layak jadi idola
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Chin Peng tidak layak dijadikan idola oleh sesiapa pun kerana selain dosa kekejaman yang tidak terampun, bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu diyakini masih tegar menjunjung fahaman komunisme.
Sebaliknya Chin Peng perlu dilayan seperti penjenayah perang Nazi yang terus diburu dan dihadap ke mahkamah perang antarabangsa apabila berjaya ditangkap.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihak yang menjadikan Chin Peng sebagai idola perlu menyorot sejarah keganasan komunis membunuh ramai anggota keselamatan termasuk bekas Ketua Polis Perak dan ribuan lagi yang cacat anggota.
Selain itu, jelasnya, nyawa orang awam juga menjadi korban angkara keganasan PKM selain banyak wang negara dibazirkan untuk menghalang keganasan mereka.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran memaafkan pemimpin komunis itu kerana rekod keganasan PKM lalu dan pendirian Chin Peng sekarang meyakinkan beliau bahawa dia masih berfahaman komunis.
"Saya berani kata demikian (Chin Peng masih berfahaman komunisme) setelah membaca buku tulisan pengasas Rejimen Ke-10 PKM, Abdullah C.D, yang tidak menyesal dengan perjuangan komunis, malah menganggap perjuangan bersenjata sebagai perjuangan kemerdekaan.
"Pada saya dia tetap berpendirian bahawa fahaman komunis adalah betul. Saya yakin Chin Peng mempunyai pandangan sama dan tidak membuang fahaman komunisnya," katanya dalam blognya, puadzarkashii.blogspot.com.
Mohd. Puad mengulas kenyataan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran yang memuji dan seolah-olah menggambarkan Chin Peng sebagai 'idolanya' dengan berkata, musuh negara itu mempunyai tahap intelektual sangat tinggi dan seorang tokoh berfikiran jauh.
Wakil rakyat DAP itu berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 dan Usul Anggaran Pembangunan 2010 Peringkat Jawatankuasa pada Sidang Dewan Rakyat, Khamis lalu.
Malah, Kulasegaran yang mendakwa menemui Chin Peng sebulan lalu memberitahu Dewan Rakyat bahawa sejak kecil beliau meminati pemimpin PKM itu kerana pernah bersekolah dan lahir di pekan sama iaitu Sitiawan, Perak.
Mengulas lanjut, Mohd. Puad berkata, bukan sukar untuk mentafsir sikap wakil rakyat DAP itu yang sebenarnya ingin meraih 'dividen' politik agar dilihat sebagai hero masyarakat India.
"Mengetahui gelagat Kulasegaran, saya tidak perlu mengulas sama ada dia ikhlas apabila menyatakan Chin Peng 'idolanya' sebab itulah politik beliau.
"Dia harap mereka yang bersimpati dengan Chin Peng menyokong DAP. Dengan kata lain, sama ada penjenayah, pengganas komunis atau apa saja, kalau ada 'dividen' politik, beliau akan mempolitikkannya.
"Tetapi apakah sebenarnya pendirian Kulasegaran jika salah seorang anggota keluarganya dibunuh PKM. Adakah Chin Peng tetap 'idolanya'? Melihat gelagat DAP, saya tidak hairan beliau sanggup mempertahankan pendiriannya itu," jelasnya.
Sambil mempersoalkan tindakan Kulasegaran, Mohd. Puad berkata, PKM berjuang bukan menuntut kemerdekaan sebaliknya menjadikan Malaysia negara komunis yang hanya akan menjadi boneka kepada Republik China.
Ini kerana, dakwanya, dari segi latihan ketenteraan, persenjataan serta bantuan logistik semuanya diperoleh dari China, selain Chin Peng dan beberapa bekas pemimpin kanan PKM seperti Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh pernah tinggal untuk tempoh yang lama di Beijing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.