Pages

Subscribe:

19 November, 2009

[hangnadim]Kerjasama dengan Makassar



Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor pada majlis ringkas sebelum sambutan ke-689 tahun Daerah Kecil Gowa di Dataran Syekh Yusuf Discovery, Sungguminasa di Makassar, semalam. Turut hadir Gabenor Sulawesi Selatan, Syahrul Yasin Limpo (tiga dari kanan). - BERNAMA

--------------------------------------------------------------------------------
Daripada BORHAN ABU SAMAH
borhan.samah@utusan.com.my

MAKASSAR 18 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin kerjasama dalam bidang ekonomi, kebudayaan dan adat resam di Makassar mampu mengangkat hubungan Malaysia-Indonesia ke tahap lebih baik.

Najib berkata, langkah itu sejajar dengan persetujuan beliau dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono untuk menjalinkan kerjasama di dalam bidang keselamatan makanan.

"Itulah makna lawatan saya ke Makassar dan menghadiri sambutan ke-689 ulang tahun daerah Gowa hari ini," katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini hari ini.

Najib yang berpakaian tradisi Gowa berucap di hadapan kira-kira 6,000 orang yang menghadiri acara tersebut diadakan di Lapangan Syekh Yusuf Discovery.

Turut hadir ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Maximus Ongkili dan Gabenor Sulawesi Selatan, Syahrul Yasin Limpo.

Terdahulu sebaik tiba untuk lawatan kerja sehari itu Najib juga menyaksikan tiga buah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menandatangani perjanjian persefahaman dengan Universiti Hasanudin, di sini.

Perdana Menteri dan isteri kali terakhir melawat Gowa pada 15 Mei lalu dan mereka sempat menziarahi makam Sultan Hasanudin.

Najib mempunyai hubungan yang akrab dengan Gowa memandangkan beliau mempunyai darah keturunan raja Gowa ke sembilan belas, Sultan Abdul Jalil Tumenga ri Lakiung.

Semasa mengadakan lawatan ke Gowa pada 2005 beliau telah diberikan gelaran Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrabone oleh masyarakat Gowa.

Dalam pada itu kerjasama tiga agensi kerajaan berkenaan dengan universiti tempatan bertujuan bagi menjalankan kajian tentang penanaman rumpair laut yang mempunyai potensi yang luas.

Selain itu, kata beliau, kajian juga akan dilakukan untuk usaha sama dalam bidang pertanian lain dalam usaha mewujudkan keselamatan makanan untuk Malaysia dan pendapatan yang lebih baik kepada petani di Indonesia dan khususnya Makassar.

Dalam pada itu dalam ucapan Najib juga melahirkan rasa terharu di atas sambutan yang diberikan oleh penduduk di Gowa terhadap beliau dan isteri.

Sementara pada sidang akhbar sebelum berlepas ke Kuala Lumpur Najib berkata, beliau merancang untuk membangunkan sektor pertanian di Sulawesi Selatan melalui kerjasama pihak swasta serta kerajaan Malaysia dan pemerintah tempatan.

Menurut beliau, antara bidang yang dilihat mempunyai potensi besar adalah penanaman padi dan penternakan lembu. - Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.