Pages

Subscribe:

14 Disember, 2009

[hang nadim] BTN lahirkan berjuta rakyat patriotik


Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 14 Dis. - Di sebalik tuduhan parti-parti pembangkang bahawa kursus yang dijalankan oleh Biro Tatanegara (BTN) berunsurkan perkauman, agensi itu sebenarnya telah melahirkan berjuta rakyat yang cintakan negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, sekiranya BTN memainkan sentimen perkauman, sudah lama negara ini hancur.

"Sebaliknya, negara ini baik dan bertambah kuat dari setahun ke setahun kerana ada BTN.

"Punca orang tidak bergaduh dalam negara ini kerana ada BTN," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar 1Malaysia yang dihadiri kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Menurut Ahmad, kritikan terhadap BTN berpunca apabila kerajaan pakatan pembangkang di Selangor ingin menganjurkan kursus mereka sendiri iaitu Kerohanian, Fizikal, Intelektual, Emosi dan Sosial (SPIES).

"Kalau mereka hendak buat kursus buatlah, sudah tentu mereka juga akan cerita tentang dasar Kerajaan Selangor tetapi mereka tidak perlu hentam BTN ," katanya.

Dalam hal ini Ahmad berkata, beliau sudah membaca kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang berhubung kritikan terhadap kursus BTN iaitu tidak mahu klip video membabitkan elemen Hindraf dan demonstrasi jalanan ditayangkan.

"Selain itu, BTN menceritakan dasar kerajaan sehingga boleh mengubah fikiran yang tidak sukakan kerajaan dan tidak suka cerita tentang kontrak sosial," katanya.

Kata Ahmad, sebenarnya perkara itu bukan isu besar kerana tayangan video itu hanya satu bentuk selingan dalam usaha meniupkan semangat patriotisme.

"Kalau patriotik, tidak buat demonstrasi jalanan hingga boleh menghancurkan negara, kita tidak mahu rakyat buat perkara tidak elok.

"Jadi sebagai agensi kerajaan kita menceritakan dasar kerajaan, apakah itu salah," katanya.

Ahmad berkata, selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, BTN akan terus melakukan penambahbaikan modul kursusnya supaya lebih dinamik.

Katanya, modul asas BTN berteraskan patriotisme dan nilai murni tetap dikekalkan dengan penambahbaikan dilakukan termasuk menerapkan gagasan 1Malaysia.

"Ia berubah mengikut pucuk pimpinan, kalau dulu di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad modulnya adalah patriotisme, nilai murni dan Wawasan 2020, di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi ditambah modul modal insan.

"Pada zaman Najib pula ditambah dengan gagasan 1Malaysia tetapi modul patriotisme dan nilai murni terus dikekalkan," jelas beliau.

Katanya, sepanjang tahun ini seramai 250,000 orang telah menjalani kursus BTN termasuk kakitangan kerajaan, mahasiswa dan syarikat berkaitan kerajaan.

Tambah beliau, setakat ini sebanyak 34 siri Seminar 1Malaysia dilaksanakan di seluruh negara membabitkan sebanyak 5,975 orang peserta.

"Mulai bulan ini sehingga tahun depan, BTN akan menganjurkan siri Seminar 1Malaysia di peringkat kementerian-kementerian," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.