Pages

Subscribe:

02 Disember, 2009

Rakan ditembak komunis hingga berkecai otak


ALIAS Kassim (kanan) bergambar kenangan dengan seorang pegawai kanan polis
--------------------------------------------------------------------------------
Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED

CERITA mengenai bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang ingin pulang ke Malaysia, mencetuskan kembali perbincangan hangat di kalangan rakyat negara ini.

Meskipun pernah menyuarakan hasratnya itu sebelum ini dan ditentang hebat oleh pejuang-pejuang kemerdekaan, pemimpin komunis tersebut masih terus menagih simpati.

Berikutan itu, hasrat Chin Peng tersebut telah diajukan kepada seorang pejuang veteran yang pernah berkhidmat selama 35 tahun sebagai anggota pasukan polis hutan (PPH).

Pada mulanya soalan yang berkisar tentang PKM untuk pengetahuan penulis, namun pengalaman diceritakan Alias Kassim, 71, ternyata menarik untuk dikongsi bersama.

Malah Pengerusi Koperasi Bekas Polis Selangor Berhad itu mempunyai kisah di sebalik kekejaman Chin Peng dan PKM yang menyebabkan seorang rakan karibnya terkorban.

Ketika itu, Alias berkhidmat sebagai anggota di Sungai Bidut, Sarawak pada sekitar 1970-an.

"Chin Peng merupakan manusia yang kejam ketika era peperangan.

"Walaupun saya terselamat daripada menjadi sasaran konco-konco PKM namun saya telah kehilangan seorang rakan karib berbangsa Cina," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kisah sedih itu bermula apabila Alias bersama rakan sepasukannya tersebut dihantar ke Sungai Bidut sebagai pasukan pengaman.

Menurutnya, ketika bertugas di Sarawak, salah satu tanggungjawab mereka ialah menghantar makanan kepada anggota polis lain di dalam hutan.

Namun katanya, untuk menghantar makanan ke dalam hutan, bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka juga boleh menjadi sasaran komunis.

"Dalam pasukan kami, saya dan rakan karib iaitu Sarjan Lee Han Chong sering mengambil tugas itu.

"Han Chong adalah seorang anggota yang sangat baik hati dan sering membantu anggota lain dalam unit kami," ujarnya.

menghantar makanan

Jelasnya, pada suatu hari, beliau telah ditugaskan untuk menghantar makanan ke dalam hutan.

Namun, disebabkan beliau mempunyai urusan lain yang tidak dapat dielakkan, Han Chong telah menawarkan dirinya untuk mengambil tugas tersebut.

"Hari itu saya agak sibuk dengan urusan lain, jadi Han Chong menawarkan diri untuk menghantar bekalan makanan," ceritanya.

Alias memberitahu, untuk menghantar bekalan tersebut mereka perlu berjalan kaki mengikut trek yang dibina.

"Selepas beberapa jam beliau keluar, saya telah menerima berita bahawa beberapa anggota yang menghantar makanan telah diserang PKM.

"Saya terus bergegas ke tempat kejadian bersama anggota-anggota lain untuk memberi bantuan," katanya.

Namun malangnya, ketika beliau sampai di lokasi tersebut, segala-galanya terlambat dan Han Chong mati setelah dibunuh kejam oleh komunis.

Menurutnya, hampir separuh daripada muka Han Chong hilang akibat terkena tembakan jarak dekat komunis.

"Akibat ditembak di dahi, otaknya tersembur keluar dari belakang dan melekat di pokok getah berhampiran.

"Saya tidak sangka bantuan diberikan Han Chong itu merupakan satu pengorbanan yang tidak mungkin dapat saya lupakan," ujarnya sedih.

Alias berkata, akibat kekejaman yang dialami rakannya dan rakyat negara ini beliau menyimpan dendam dan benci terhadap PKM dan pemimpinnya, Chin Peng.

Alias yang berasal dari Alor Gajah Melaka mula berkhidmat sebagai PPH pada 1957 dan bersara pada 1992.

Beliau menerima latihan asas di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak dan kemasukan anggota ketika itu digelar Skuad Merdeka.

Pada tanggal 8 ogos 1964 beliau telah bernikah dengan Raja Aminah Abdullah, 61 sebelum dikurniakan tujuh cahaya mata yang terdiri daripada empat lelaki dan tiga perempuan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.