03 Disember, 2009
Tak tahu siapa beri nasihat tidak betul
KOTA BHARU 3 Dis. – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menaruh kepercayaan terhadap semua penasihat yang memberi pandangan terhadap setiap keputusannya.
Bagaimanapun beliau tidak tahu siapa di kalangan penasihatnya yang dikatakan telah memberi pandangan tidak betul berhubung beberapa isu membabitkan soal pentadbirannya.
Jelasnya, setiap nasihat yang beliau terima akan dibincangkan terlebih dahulu dan jika berpuas hati barulah kata putus akan diambil.
“Saya pun tidak tahu siapa penasihat yang tidak betul. Banyak mana orang bagi nasihat kepada saya, saya kira betul,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Beliau yang juga Mursyidul Am Pas diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa Nik Abdul Aziz menerima nasihat perundangan dan politik yang tidak betul dalam membuat keputusan berhubung beberapa perkara.
Abdul Hadi semalam berkata, Nik Abdul Aziz tidak mendapat nasihat yang betul ketika melantik menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman sebagai teraju utama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak pernah membuat keputusan secara peribadi kerana setiap nasihat yang diberi akan dibincangkan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, ujarnya, setiap keputusan itu masih bergantung kepadanya sama ada mahu menerimanya ataupun tidak.
“Saya bila orang nasihat akan bincang dulu, kalau saya berasa puas hati saya terima, kalau tidak saya tolak. Ia bergantung kepada saya sebab saya tidak akan menerimanya secara bulat-bulat,” tegasnya.
Tambahnya, jika ada pihak yang ingin mengetahui siapa penasihat itu maka boleh bertanya kepada Abdul Hadi
Tolak politik berasaskan kebencian
BANGI 3 Dis. - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menyeru rakyat negara ini menolak politik kebencian dan menerima amalan demokrasi yang bertamadun berasaskan rasa hormat serta saling mengambil berat antara satu sama lain.
Baginda bertitah, dalam masyarakat yang demokrasi sepatutnya semua pihak boleh untuk tidak bersetuju tanpa perlu mengharapkan sesuatu yang buruk menimpa mereka yang tidak sependapat.
''Kita seharusnya dapat mengutarakan pendapat yang berbeza tanpa perlu menghina atau mengancam dengan sesuatu tindakan yang boleh memalukan.
''Dalam mengajak orang lain menerima pandangan yang diberikan, kita tidak patut guna sebarang bentuk pemaksaan tetapi ia perlu dilakukan melalui hujahan yang tepat mengapa tindakan tersebut diambil,'' titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Siri Syarahan Tun Mahathir Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di kampus induk universiti tersebut di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Uniten, Tan Sri Leo Moggie serta Presiden dan Ketua Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.
Titah Raja Nazrin, semua pihak juga perlu berani mengubah pandangan sekiranya hujah yang diberikan jelas menimbulkan pertikaian dari segi fakta.
Menurut baginda, itu adalah yang sepatutnya berbanding terus berusaha mengubah suai fakta semata-mata mahu memperlihatkan ia selari dengan apa yang dipegang sebelum ini.
''Kita hendaklah sentiasa menyimpan sedikit rasa rendah diri. Walau berapa banyak ijazah yang dimiliki sekalipun, ilmu pengetahuan bukanlah dimiliki secara monopoli oleh seorang individu.
''Dunia sendiri tidak kekurangan ilmu pengetahuan malah ia boleh ditambah dengan pemahaman yang lebih,'' titah baginda.
Selain itu, Raja Nazrin dalam titah tersebut turut membangkitkan tentang bagaimana masyarakat sekarang ini dilihat terlalu polarisasi dan berlebihan dalam soal politik.
Menurut baginda, keadaan tersebut telah mengambil tempat di kalangan masyarakat dan berakar umbi dengan perasaan muhibah dan kerjasama sudah semakin berkurang.
''Lebih membimbangkan, tiada lagi apa yang dilihat sebagai sekatan atau batasan terhadap apa yang dikatakan atau dilakukan oleh rakyat Malaysia.
''Sedangkan kita mempunyai kod amalan yang tidak bertulis sebelum ini, yang sebahagian perkara yang dilakukan di atas nama demokrasi hari ini melangkaui jauh kesopanan dan tatasusila yang dipegang ramai,'' titah baginda.
Raja Nazrin turut mencabar generasi muda untuk melihat masa depan melangkaui ganjaran material semata-mata.
Baginda bertitah, golongan itu sebaliknya perlu memberi fokus kepada ganjaran dari segi melihat negara ini menjadi makmur hasil daripada usaha mereka.
''Semua anda mewakili modal insan berharga yang diperlukan negara. Dunia luar menyedari hal ini dan sebab itu mereka menyasarkan untuk mengambil modal insan terbaik hingga mencetuskan pengaliran keluar minda (brain drain),'' titah baginda.
Guris gambar Sultan Perak di kelab golf
IPOH 3 Dis. - Polis hari ini mengesahkan lokasi sebenar seorang lelaki didakwa mengguris gambar Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada malam Sabtu lalu, berlaku di Kelab Golf Diraja Perak di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asistan Komisioner Azisman Alias berkata, laporan yang menyebut kejadian itu berlaku di Kelab Lumba Kuda Perak sebelum ini adalah tidak benar.
Menurut beliau, lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur itu telah dihadapkan ke mahkamah kelmarin dan mengaku salah di atas perbuatannya.
Menurut Azisman, mahkamah menetapkan tarikh hukuman ke atas lelaki itu dibuat dalam tempoh dua minggu lagi.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 427/447 Kanun Keseksaan kerana merosakkan harta benda awam," katanya di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.