20 Februari, 2010
Di sebalik bantahan Australia........
Nallakaruppan anggap Wan Azizah 'pelakon' hebat
Oleh NORAINI ABD.RAZAK
UTUSAN ONLINE
ENTAH mengapa kes pertuduhan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu menyentuh hati sekelompok ahli Parlimen di Australia.
Entah mengapa juga, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat Amerika Syarikat (AS), John Kerry mengeluarkan kenyataan supaya kes tersebut dikendalikan secara adil.
Tidak diketahui mengapa Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendesak supaya dipanggil sidang khas Dewan Rakyat membahaskan usul supaya kes tersebut digugurkan.
Sedangkan 50 ahli Parlimen itu tahu batas serta sempadan dalam menjaga tatasusila hubungan dua negara serantau. Kes Anwar tidak melibatkan sesiapa pun di Australia - baik yang hidup mahu pun yang mati. Cuma mungkin ada kaitannya dari sudut penerimaan perilaku liwat di negara itu.
Atas nama akur kepada tuntutan hak asasi manusia, maka hubungan sejenis diamalkan secara bebas di negara-negara yang menjunjung demokrasi terlampau. Australia mungkin tidak terkecuali. Sebab itu mereka berpandangan kes liwat membabitkan Anwar mesti digugurkan lantaran tiada yang silap dari sudut hak asasi manusia.
Begitu juga di Amerika Syarikat (AS). Perkahwinan sesama lelaki dan wanita semakin mendapat tempat. Ia bertentangan dengan undang-undang di sesetengah wilayah di negara itu tetapi sah di wilayah yang lain.
Maka sesiapa yang kepingin melunaskan hasrat mengahwini pasangan sejenis pergi sahaja ke wilayah tersebut, akan termeterai ikatan perkahwinan yang sah di sisi undang-undang.
Cumanya dalam hal percintaan atau perkahwinan sesama jantina yang diterima di AS dan Australia, ada kelainan jika mahu dibandingkan dengan kes liwat.
Percintaan berlaku tanpa paksa - ia terjalin dan dijalin secara rela, saling bersetuju terhadap apa juga perlakuan yang berlangsung tidak kira sesama jantina mahu berlainan jenis.
Biar pun haram di sisi agama (kesemua agama tidak membenarkan jalinan percintaan jauh sekali perkahwinan sesama jantina), namun hubungan seumpama itu dilangsungkan secara sembunyi dan tidak dikaitkan dengan kesalahan di sisi undang-undang dunia.
Justeru, semua negara termasuk Malaysia berhadapan dengan kemunculan kelompok lesbian dan gay. Cuma di negara ini hubungan terlarang itu tidak pernah mendapat restu mana-mana pihak jauh sekali mahu disah-tarafkan seperti mana berlaku di negara-negara maju.
Tetapi dalam kes pertuduhan liwat ke atas Anwar, ia bukan hubungan sejenis dua insan yang ada unsur rela dan terima. Pertuduhan yang dibacakan membawa bersama unsur paksa. Sebab itu ia dibawa ke muka pengadilan.
Jauh lebih penting, kes itu bukan hanya mementaskan Anwar seorang. Jika Australia (biarpun dikatakan 50 ahli Parlimen itu hanya mengetengahkan pandangan peribadi) mahu bercakap mengenai soal hak asasi dan keadilan maka hak serta nasib Mohd. Saiful Bukhari Azlan mesti diambil kira.
Begitu juga dengan pandangan John Kerry yang sepatutnya tertumpu kepada kedua-dua pihak terlibat iaitu Anwar dan Mohd. Saiful. Keadilan bukan hanya untuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Proses menuntut keadilan juga mesti melingkari Mohd. Saiful yang pernah berperanan sebagai pembantu peribadinya. Dan tempat paling sesuai untuk mengetengahkan tuntutan serta proses pencarian keadilan itu adalah di mahkamah Malaysia, bukan di Australia jauh sekali di AS.
Undang-undang yang digunapakai mestilah berpaksikan kepada norma-norma masyarakat di negara ini sementelah liwat sememangnya tidak pernah diizinkan oleh undang-undang di mana-mana sekali pun.
Lebih daripada itu, hakikatnya pertuduhan kes liwat terhadap Anwar tidak menawarkan sebarang keistimewaan sehingga melayakkan ia mendapat perhatian negara-negara maju seperti AS dan Australia.
Ketajaman akal
Melainkan jika ada maksud tersirat yang menuntut ketajaman akal serta pembongkaran tentang apa sebenarnya maksud di sebalik desakan 50 ahli Parlimen Australia dan kenyataan khas yang dikeluarkan oleh John Kerry berhubung kes itu.
Kes Anwar - Mohd. Saiful adalah perbicaraan biasa. Ia menjadi tumpuan kerana ada siri road show di pihak Anwar dan penyokong-penyokongnya. Road show itu telah berlangsung lebih setahun lalu. Dalam road show itu telah diuar-uarkan bahawa Anwar mangsa keadaan, Anwar tidak bersalah, sistem perundangan negara tidak bebas. Road show yang dilangsungkan dipercayai menjalar ke peringkat antarabangsa.
Bukan sekadar sokongan domestik. Simpati pemimpin negara-negara tertentu diraih supaya kes Anwar yang sepatutnya bermula setahun lalu dapat digugurkan terus. Dan proses itu tidak pernah berhenti.
Sokongan di peringkat dalam negara yang semakin merosot menuntut pasukan Anwar menggunakan strategi lain. Ia tidak lain tidak bukan menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem kehakiman dan perundangan negara.
Hanya semata-mata kerana beberapa keputusan awal hakim tidak cenderung kepada Anwar mengapa terus sahaja disimpulkan hakim berat sebelah. Sedangkan keputusan hakim bersandarkan fakta dan garisan undang-undang. Namun bagi Anwar apa sahaja keputusan yang tidak memihak kepada beliau adalah berat sebelah dan perkara itu bukan sahaja mesti dicanang malah mesti dipanjangkan.
Buktinya sehingga sekarang, perbicaraan kes tersebut tidak dapat dijalankan secara sempurna. Ada sahaja tuntutan dan permohonan dikemukakan - menunda kes tersebut dari satu tarikh ke satu tarikh sehingga tidak mustahil memerlukan tempoh sekurang-kurangnya setengah tahun untuk diselesaikan.
Tidak mustahil strategi ketiga (selepas proses meraih simpati dan platform undang-undang) berkisar pula kepada soal kesihatan. Mungkin akan ada penyakit baru yang menjadi kambing hitam untuk menunda lagi tarikh perbicaraan.
Sedangkan semua orang tahu. Jika benar Anwar, maka tugas Anwar dan pasukannya membuktikan dia tidak meliwat dan Mohd. Saiful mengada-adakan cerita. Tunjukkan semua bukti, bentangkan semua hujah - semestinya ia dilakukan secepat mungkin untuk membersihkan nama serta imej penasihat PKR itu.
Itu yang mahu dilakukan oleh Mohd. Saiful. Dia mahu membuktikan bahawa perlakuan liwat itu berlaku. Dia mahu membentangkan kesnya. Apa yang perlu dilakukan oleh Anwar adalah membentangkan apa sahaja bukti dan alibi jika dia benar-benar tidak bersalah. Itu hukum undang-undang dan bukannya mempergunakan segala sudut teknikal untuk mengelirukan orang ramai dan memperlekehkan sistem perundangan negara.
Itu proses yang sepatutnya berlangsung dalam kes Anwar dan Mohd. Saiful. Kes yang bersifat peribadi itu tidak menuntut sebarang prosedur luar biasa untuk menentukan siapa yang bersalah atau sebaliknya.
Sebab itu apabila Kit Siang mengusulkan sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan gesaan supaya kes Anwar digugurkan, ada sesuatu yang luar biasa di situ.
Kes Anwar tidak melibatkan kepentingan negara. Ia juga tidak menjejaskan kepentingan rakyat. Kes itu jauh sekali daripada menyentuh kepentingan hubungan dua hala Malaysia dengan negara-negara lain termasuk Australia dan AS. Kes itu adalah kes biasa yang menuntut prosedur pendakwaan serta pembelaan di antara tertuduh dan pihak yang mendakwa menjadi mangsa.
Tidak ada yang istimewa selain kerajaan terpaksa menanggung tanggungjawab memberi penjelasan kepada negara-negara yang ingin menunjuk ajar tentang prinsip undang-undang dan keadilan. Seolah-olahnya Malaysia tidak pandai mengendalikan sistem kehakiman sehingga menuntut pihak luar memberi tunjuk ajar agar kes tersebut diadili secara saksama. Sedangkan banyak lagi kes yang berlangsung di negara ini tidak pula mendapat perhatian mereka.
Hakikatnya, 50 ahli Parlimen Australia itu tahu fakta pertuduhan kes terhadap Anwar. Kecanggihan teknologi maklumat tidak mengehadkan pengetahuan John Kerry tentang kes tersebut. Lebih daripada itu, tidak mustahil mereka lebih mengetahui fakta-fakta tersembunyi yang rakyat negara kita sendiri tidak ketahui.
Keprihatinan mereka hanya kerana nama yang terlibat Anwar Ibrahim - nama yang satu masa dulu pernah hampir menjerumuskan negara dalam belenggu hutang Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Nama yang satu masa dulu berbangga dengan sistem kehakiman negara tetapi kini menyanggah apa sahaja kebaikan yang pernah disanjung. Nama yang mempunyai jalinan istimewa dengan rangkaian negara luar sehingga apa sahaja perlakuannya menjadi 'halal' dan cuba 'dihalalkan'.
Nallakaruppan anggap Wan Azizah 'pelakon' hebat
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selayaknya diberi anugerah 'Pelakon Wanita Terbaik 2010' atas kehebatan 'lakonannya' ketika berhadapan dengan rakyat.
Datuk S. Nallakaruppan yang secara sinis mencadangkan pengurniaan itu, bersedia mengemukakannya kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim untuk dipertimbangkan.
Beliau yang juga bekas rakan karib Anwar berkata, anugerah itu kelak akan mampu menaikkan lagi reputasi Wan Azizah bagi membolehkannya menerima tawaran lumayan dari Hollywood.
"Saya amat yakin kelak Wan Azizah mampu meraih 'Anugerah Academy' di Hollywood," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nallakarupan mengulas kenyataan Wan Azizah dalam sebuah akhbar Australia semalam yang menyifatkan perbicaraan kes liwat suaminya merupakan sebahagian daripada usaha untuk menamatkan karier politik Ketua Pembangkang itu.
Dakwa beliau, Wan Azizah seorang wanita yang hebat kerana boleh melalui kes dakwaan berkaitan moral suaminya.
Malah dakwa beliau lagi, Presiden PKR itu juga berada pada satu tahap melebihi wanita lain di Malaysia kerana boleh melakukan apa sahaja demi menjaga kepentingan kerjaya suaminya.
"Wan Azizah kena tahu bahawa bukan semua isteri seperti beliau yang boleh menerima keadaan sedemikian. Ramai kalangan wanita di Malaysia tidak boleh terima dengan senang hati.
"Mereka juga tidak akan berpura-pura hanya sebab kepentingan kerjaya suami mereka. Hanya Wan Azizah sahaja yang sanggup buat semua ini," katanya.
Nallakaruppan percaya kesanggupan Wan Azizah itu berpunca daripada keyakinannya untuk mencapai cita-citanya satu hari kelak.
"Saya kasihan dengan mereka yang masih percaya dengan lakonan dan sandiwara Wan Azizah," katanya.
Mengenai perbicaraan Anwar, Nallakarupan berkata, bekas sahabat karibnya itu sepatutnya menjadi seorang lelaki budiman dengan berhadapan segala pertuduhan yang dikemukakan.
''Mangsa membuat laporan dan pendakwaan kata ada bukti. Kalau lelaki yang gentleman, dia bukan saja akan hadapi perbicaraan tetapi berharap ia dijalankan secepat mungkin kerana itu penting bagi membersihkan namanya,'' ujarnya.
Anwar gagal akses dokumen
Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 25 Feb. – Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal segala usaha untuk mengakses semua dokumen penting pendakwaan dan spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) milik Mohd. Saiful Bukhari Azlan dalam kes liwat setelah Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakannya.
Dengan keputusan itu, Ketua Pembangkang tersebut tidak berhak dibekalkan dokumen-dokumen dan spesimen yang pernah dipohonnya bagi menyediakan pembelaan sebelum perbicaraan bermula.
Anwar menggunakan permohonan semakan melalui Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 sebagai jalan terakhir bagi mendapatkan semua dokumen penting dan spesimen DNA Mohd. Saiful Bukhari, 25, setelah segala percubaan di peringkat rayuan gagal.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin menolak permohonannya setelah berpuas hati bahawa Kaedah 137 tidak memperuntukkan bidang kuasa kepada mahkamah itu menyemak keputusannya sendiri.
Beliau menyatakan, walaupun diandaikan mahkamah mempunyai bidang kuasa yang cukup terhad untuk menyemaknya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu gagal memenuhi kehendak yang diperlukan bagi membolehkan panel tersebut berbuat demikian.
Ketika menggariskan alasan ringkasnya, Hakim Zulkefli menjelaskan, isu yang dibangkitkan oleh Anwar sudah dipertimbangkan oleh panel terdahulu dengan teliti dan dimuktamadkan berlandaskan undang-undang.
Menurut beliau, walaupun sekiranya panel hari ini tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah terdahulu, ia tidak memberi mereka alasan bagi menyemaknya.
Ujarnya, ini kerana tindakan menyemak semula kes yang telah didengar dan diputuskan bukan salah satu keadaan seperti yang dinyatakan oleh Kaedah 137.
‘‘Perkara-perkara yang dinyatakan ini bukan satu keadaan yang sesuai bagi membolehkan mahkamah menyemak keputusan panel terdahulu. Ia mesti ada titik penyudah,’’ ujar Hakim Zulkefli ketika membacakan penghakiman lisannya.
Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusoff dan Hakim Datuk Heliliah Mohd. Yusof menyatakan, panel itu akan menyediakan penghakiman penuh keputusan tersebut.
Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Penasihat PKR itu setelah berpuas hati bahawa beliau tidak layak dibekalkan semua dokumen yang dipohon kerana perbicaraan belum bermula.
Terdahulu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden berhujah, sebarang percubaan untuk menyemak keputusan yang telah dimuktamadkan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Beliau menyatakan, rayuan kedua terhadap merit yang telah diputuskan tidak perlu diberi perhatian kerana Kaedah 137 tidak memungkinkan satu keputusan baru dikeluarkan.
Mohd. Yusof berhujah, Anwar gagal membuktikan keadaan-keadaan berlakunya ketidakadilan dan penyalahgunaan proses mahkamah bagi membolehkan panel itu menyemak keputusan terdahulu.
Sebelum itu, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar berhujah, permohonan itu perlu dibenarkan kerana isu yang dibangkitkan telah melangkaui keadaan-keadaan yang membolehkan mahkamah menggunakan kuasa menyemak di bawah Kaedah 137.
Karpal menyatakan, keadaan itu antaranya berlaku ketidakadilan apabila anak guamnya dinafikan hak untuk mengakses dokumen-dokumen penting termasuk senarai saksi yang hingga kini masih belum diperoleh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.