Pages

Subscribe:

28 Februari, 2010

[hang nadim]Perangai binatang.......Kejam....



Binatang Lebih Menyayangi anak
ARKIB : 02/03/2010
Polis minta media berhenti siar kisah Syafiah
KUALA LUMPUR 1 Mac - Polis meminta media berhenti menyiarkan laporan mengenai Syafiah Humairah Sahari, 3, mangsa penderaan kejam yang meninggal dunia, Khamis lalu, kerana bimbang menjejaskan perbicaraan kes itu di mahkamah.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin (gambar) berkata, pihaknya mendapati banyak cerita dan spekulasi disiarkan yang bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi memberi implikasi kepada proses perbicaraan.

"Bila banyak bercakap (berita disiarkan), semua fakta berkenaan akan pergi ke mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan siasatan kes Syafiah yang mati disyaki didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.

Sebelum itu, mangsa dihantar oleh suspek ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu, kononnya kanak-kanak tersebut terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Namun, pihak hospital yang curiga kemungkinan mangsa telah didera, menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam.

Berikutan itu, suspek berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pemandu teksi ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid ketika dihubungi memaklumkan menerima arahan supaya tidak memberi kenyataan lagi berhubung kes tersebut.

"Saya telah dihubungi Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Omar Manah hari ini meminta supaya tidak lagi memberi kenyataan media berhubung kes



Oleh MOHD FIRDAUS IBRAHIM dan MD FUZI ABD LATEH
am@hmetro.com.my
2010/02/28



KUALA KUBU BHARU: “Dia memang bukan manusia dan tarafnya lebih rendah daripada binatang. Mana tidaknya, binatang pun tidak akan membuat perkara sekejam itu,” kata Siti Nurhanim Aziz, 25, ibu kepada Syafia Humairah Sahari, 3, yang maut dibelasah teman lelakinya, Jumaat lalu.

SAYU... Siti Nurhanim menabur bunga pada pusara anak selepas pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Batu 17 Kuang.
“Sebenarnya, sejak tiga hari lalu Syafia jatuh sakit. Dia sering muntah ketika diberi makan ubat dan makan, menyebabkan teman lelaki saya memarahinya.

“Namun, kemarahannya ketika itu hanya seperti seorang bapa kepada anak. Saya tidak pasti apa sebenarnya terjadi sehingga menyebabkan dia hilang pertimbangan dan sanggup melakukan perbuatan kejam itu.

“Apapun puncanya, tindakan teman lelaki saya adalah keterlaluan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Difahamkan, suspek mula hilang pertimbangan apabila kanak-kanak itu tidak mahu pulang ke rumah biarpun disuruh berulang kali.

Malah, rumah mangsa dan teman lelaki ibunya yang bekerja sebagai pemandu teksi dikatakan terletak di kawasan perumahan sama di Kampung Batu 30, Batang Kali, di sini, dan hanya dijarakkan dengan 10 rumah.

Siti Nurhanim berkata, selama menjalin hubungan sejak enam tahun lalu, dia mendapati teman lelakinya panas baran.

“Namun, dia dan Syafia agak rapat. Itu sebab pada mulanya saya tidak percaya Syafia dipukulnya biarpun berulang kali diceritakan ahli keluarga,” katanya.

Menurutnya, jika didapati bersalah teman lelakinya bertanggungjawab melakukan kekejaman itu, dia berharap tindakan setimpal akan dikenakan.

“Orang sepertinya tidak patut wujud atas muka bumi ini,” katanya.

Jenazah Syafia dibawa ke rumahnya di Kampung Batu 30, di sini, selepas bedah siasat selesai dilakukan dan dia dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, di sini, pada jam 5 petang, semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan tindakan kejam seorang lelaki yang sanggup memijak kepala dan menendang seluruh tubuh mangsa di sebuah padang permainan di Kampung Batu 30, Batang Kali, di sini, sehingga menyebabkan kematiannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang kelmarin, suspek dikatakan hilang pertimbangan sebelum membelasah kanak-kanak itu walaupun perbuatannya diperhatikan penduduk setempat.

>Perut mangsa pecah
KUALA KUBU BHARU: Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Deputi Superintendan Bakhtiar Mohd Rashid, berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian Syafia Humairah Sahari, 3, disebabkan bahagian perutnya pecah, pendarahan serius di otak selain kecederaan teruk di seluruh badan.

“Kenyataan saksi bahawa suspek memijak mangsa. Dia ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu.

“Namun kita berusaha mendapatkan kelulusan mahkamah untuk mendapatkan sambungan reman sehingga tempoh maksimum iaitu 14 hari bagi memudahkan siasatan kes dilakukan,” katanya.

Bakhtiar berkata, pihaknya juga akan merakam percakapan bapa kandung mangsa dalam masa terdekat kerana dia mendakwa mengetahui anaknya didera sejak sekian lama.

“Semuanya masih dalam siasatan. Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Bakhtiar berkata, pemandu teksi yang berdepan tuduhan membunuh anak perempuan teman wanitanya juga bakal dihadapkan ke Mahkamah Syariah kerana bersekedudukan dengan ibu mangsa sehingga melahirkan seorang anak luar nikah.

Menurutnya, polis akan merujuk lelaki berumur 28 tahun itu dan ibu mangsa, 25, ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk tindakan lanjut selepas didapati tidak berkahwin tetapi hidup bersama sehingga mempunyai seorang anak berusia setahun enam bulan hasil hubungan selama enam tahun.

“Ibu mangsa masih belum bercerai dengan suaminya tetapi berlagak seperti sepasang suami isteri dengan suspek,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Selain itu, Bakhtiar berkata, polis kini mengesan beberapa saksi di tempat kejadian untuk diambil keterangan mereka.

“Saksi perlu diambil keterangan berikutan beberapa orang melihat kejadian tetapi tidak melaporkan kepada polis,” katanya.

p/s: crite ni cemane ni, korang paham? mak budak yg mati tu mejalin dgn teman laki dan teman laki tu yg bunuh anaknya..tapi mak budak tu sindri masih belum cerai dgn suami 1st dan ada anak bersama teman laki baru, tapi dia dan teman laki tu duduk rumah asing wpun dah ada anak...hadoiii....kalau dah mcm tu eloklah anaknya pulang semula ke pangkuan yg Esa...datang ke dunia dapat mak yg susah mcm tu...

wahai Syafia Humairah...
aku cuma mampu sedekah
Sepotong fatihah kpd mu..
kaulah nanti
yg membawa
secawan air
pada ibu
di waktu mentari
sejengkal cuma..
Al-Fatihah.


AKU BERSERAH PADA ALLAH
INSAF LAH WAHAI INSAN
BETAPA KEJAM
BETAPA KERAS HATI MU
BETAPA BODOH TINDAKAN MU
TETAPI SIAPA TAHU
TANGGUNGAN IBU MU
DOSA IBU MU
KERANA MANGSA
KERAKUSAN INSAN KEJAM.....
KEKESALAN TIDAK ADA GUNANYA....
DIMANA SAHABAT...DIMANA RAKAN...DIMANA JIRAN
USAH BIARKAN INSAN...DIANIAYA
APA DOSA Syafia Humairah......
APA SALAHKAH DIA YANG MASIH KECIL
SEMOGA TUHAN MEMBERI PERTUNJUK KEPADA INSAN
AL FATIHAH UNTUK Syafia Humairah
Nukilan Hati Hang Nadim

object width="425" height="344">

Pengakuan ibu Syafiah
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

HULU SELANGOR 28 Feb. – Mungkin ramai yang tidak pernah merasai pengalaman kehilangan anak tersayang. Dan jika boleh, sesiapapun tidak sanggup untuk melalui pengalaman itu.

Tetapi, jika ditakdirkan berlaku, adakah kita sebagai ibu bapa bersedia dan reda menerima hakikat kehilangan anak tersebut.

Sudah pasti, hanya tangisan yang mampu mengiringi pemergian kanak-kanak itu, seperti yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari, 3, mangsa penderaan kejam yang meninggal dunia pada Khamis lalu.

Ibu kandungnya, Siti Norhanim Aziz, sudah tidak mampu lagi mengeluarkan air mata mengenangkan kehilangan anak perempuan kesayangannya.

Sebak, pilu dan berlinangan air mata – itulah yang dilalui oleh Siti Norhanim selepas insiden itu dan setiap kali nama Syafiah Humairah disebut.

Teman lelakinya ditahan untuk membantu siasatan, namun wanita itu masih belum ‘dilepaskan’ oleh suaminya yang kini ditahan dalam penjara, menambah lagi derita yang ditanggung.

Siti Norhanim mendakwa, dia pernah memohon untuk bercerai dengan suaminya yang kini ditahan dalam penjara namun tidak dilepaskan.

Akibatnya, wanita berusia 25 tahun itu mengaku dia telah melakukan kesilapan kerana begitu percaya kepada teman lelakinya yang kini menjadi suspek utama kematian anak keduanya itu.

“Suami saya tidak mahu lepaskan saya...Saya mengaku telah lakukan banyak silap. Untuk itu, saya berharap supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat membantu saya,” ujarnya sebak.

Siti Norhanim ditemui pemberita selepas lawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di rumah ibu bapanya di Sungai Plong di sini hari ini.

Khamis lalu, Allahyarham Syafiah Humairah meninggal dunia selepas didera teman lelaki Siti Norhanim di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama di Batang Kali.

Berikutan kejadian itu, teman lelaki Siti Norhanim yang bekerja sebagai pemandu teksi dan berusia 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Siti Norhanim yang masih sebak dengan kejadian menimpa anaknya itu mendakwa, dia tidak menyangka teman lelakinya yang dilihat begitu penyayang dan baik terhadap Syafiah Humairah sanggup bertindak sedemikian.

“Sepanjang saya kenal dia (teman lelakinya), dia seorang yang agak kelakar. Depan saya, dia begitu menyayangi anak saya, sebab itu saya tak pernah curiga dengan dia.

“Dia melayan Syafiah seperti anaknya sendiri, memanjakan dia, belikan dia baju. Anak saya pula memang tak pernah mengadu kena pukul,” katanya.

Masih trauma dengan kejadian itu, Siti Norhanim yang sebelum ini bekerja sebagai jurujual turut menafikan laporan bahawa dia sedang mengandung empat bulan hasil hubungan terlarang dengan teman lelakinya itu.

Penduduk marah, dakwa ditipu

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my

HULU SELANGOR 28 Feb. – Beberapa hari selepas insiden yang meragut nyawa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari, penduduk di Taman Batu 30 di sini melahirkan rasa marah dan kecewa kerana ditipu oleh ibu dan teman lelaki kanak-kanak malang tersebut.

Rata-rata penduduk yang tinggal di kawasan perumahan itu mendakwa, mereka selama ini ditipu pasangan tersebut yang mengatakan kononnya mereka suami-isteri.

Namun, insiden yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah pada Khamis lalu akhirnya membongkar rahsia pasangan itu apabila mereka sebenarnya masih belum mempunyai ikatan.

Berikutan rasa marah terhadap pasangan tersebut, beberapa individu bertindak menconteng dinding hadapan rumah suspek menggunakan cat hitam dengan perkataan ‘pembunuh’.

Menurut penduduk, dalam ‘sandiwara’ itu, teman lelaki wanita tersebut yang merupakan pemandu teksi tidak berasa segan untuk memperkenalkan anak lelaki berusia setahun enam bulan sebagai anak mereka.

Ahli jawatankuasa surau taman itu, Khalid Abdul Hamid, 43, berkata, sejak mengenali pasangan tersebut awal tahun lalu, penduduk pernah bertanya kepada bapa suspek mengenai status hubungan mereka.

“Ketika ditanya, bapa suspek yang tinggal sekali di rumah itu berkata, dia mengaku telah menikahkan mereka.

“Selepas itu, kami cuba meminta bukti hubungan mereka, namun keluarga terbabit tidak memberi kerjasama dan hanya cuba meyakinkan penduduk melalui percakapan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Allahyarham Syafiah Humairah mati akibat didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali pada Khamis lalu.

Kanak-kanak malang terbabit sebelum itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu oleh suspek yang mendakwa mangsa terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Namun, pihak hospital yang curiga dengan tingkah laku lelaki itu menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk memaklumkan mengenai kemungkinan kematian kanak-kanak itu akibat didera.

Berikutan itu, suspek yang berusia 28 tahun kemudian ditahan bagi membantu siasatan.

Khalid menambah, berikutan tiada gangguan daripada penduduk, pasangan tersebut tinggal seperti suamiisteri meskipun pada hari-hari tertentu.

Seorang lagi penduduk, Muhd. Halilur Rahman, 32, memberitahu, sebagai penduduk, mereka berasa terkilan dengan penipuan itu dan berasa bersalah terhadap insiden yang menimpa mangsa.

“Akibat mempercayai penipuan itu, nyawa seorang kanak-kanak telah melayang dan tragedi itu tidak akan kami lupakan.

“Kami juga meminta maaf kepada orang ramai dan keluarga mangsa kerana tidak membantu Syafiah Humairah ketika dia dipukul oleh konon bapanya di tepi padang pada hari kejadian,” ujarnya.

Jiran suspek, Rafani Osman, 56, pula memberitahu, dia tinggal berjiran dengan keluarga terbabit yang berpindah dari Melaka kira-kira 15 tahun lalu namun tidak pernah melihat Syafiah Humairah menangis.

“Saya hanya melihat ibu mangsa sahaja yang selalu memandu teksi Mat (suspek) meronda di kawasan taman bersama anak mereka berusia setahun enam bulan.

“Walaupun tidak rapat dengan keluarga mereka tetapi saya dan semua orang tahu Mat adalah seorang yang bermasalah,” ujarnya yang tinggal selang empat buah rumah dengan keluarga suspek.

Tambahnya, penduduk taman itu bagaimanapun ternyata terkejut apabila mengetahui kanak-kanak malang itu mati selepas didera suspek dan pasangan terbabit juga tidak pernah bernikah sebelum ini.

JAIS ambil tindakan jika bersekedudukan
SHAH ALAM 28 Feb. - Teman lelaki serta ibu kanak-kanak berusia tiga tahun yang meninggal dunia akibat didera, Syafiah Humairah Sahari akan dihukum mengikut undang-undang syariah sekiranya terbukti bersekedudukan dan mengadakan persetubuhan haram.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, tindakan itu akan dikenakan berdasarkan peruntukan undang-undang syariah negeri itu yang termaktub di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Katanya, berdasarkan enakmen tersebut, sekiranya ibu kanak-kanak berkenaan, Siti Norhanim Aziz, 25, serta teman lelakinya itu didapati bersalah, mereka boleh didenda RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau sebat tidak melebihi enam kali atau mana-mana kombinasi yang berkenaan.

Menurut Muhammed Khusrin, beliau telah mengarahkan Bahagian Pendakwaan JAIS untuk menyiasat perkara tersebut termasuk keadaan Siti Norhanim yang dikatakan kini hamil empat bulan.

"Saya telah arahkan Bahagian Pendakwaan JAIS melakukan siasatan dan mengambil keterangan daripada pasangan terbabit.

"Sebaik selesai siasatan dan apabila mendapat bukti-bukti yang kukuh, kita akan kemukakan untuk pendakwaan di Mahkamah Syariah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhammed Khusrin diminta mengulas sama ada JAIS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Siti Norhanim serta teman lelakinya. yang dikatakan mengadakan perhubungan haram sejak enam tahun lalu.

Rahsia perhubungan pasangan terbabit yang didakwa menyamar sebagai suami-isteri itu terbongkar selepas siasatan polis mendapati Siti Norhanim dan teman lelakinya berusia 28 tahun itu tidak boleh berkahwin kerana wanita itu masih mempunyai suami.

Difahamkan, suami Siti Norhanim yang dikenali sebagai Sahari ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana didakwa terbabit dalam kes bunuh sejak 2006.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.