Pages

Subscribe:

26 Februari, 2010

[hang nadim]Waspada kahwin campur ........



Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 25 Feb. - Golongan muda termasuk kalangan artis diingatkan supaya berfikir 'beribu kali' sebelum memasuki gerbang perkahwinan campur kerana kajian menunjukkan kejayaannya hanya 3:10.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kajian ilmiah yang dilakukan oleh beberapa ahli sosiologi di negara ini antara 1995 hingga 1998 mendapati dalam setiap 10 perkahwinan campur, hanya tiga berjaya.

Malah, kata beliau, kegagalan perkahwinan campur amat ketara apabila melibatkan pasangan dari kalangan warga kulit putih atau mat saleh.

''Tetapi perkahwinan campur di Malaysia melibatkan si lelaki atau wanita dari kalangan bukan Islam yang kemudiannya memeluk Islam begitu berjaya berbanding kahwin campur dengan warga asing dari barat ini.

''Ini sudah jadi lumrah, jadi, orang muda termasuk kalangan artis boleh mengambil iktibar ini dan sekiranya mahu menelaah kajian ini yang turut dilengkapi dengan panduan, anda boleh mendapatkannya daripada bahagian pendaftaran perkahwinan sivil dari rekod simpanan syariah di Johor dan Wilayah Persekutuan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Rais ditanya pandangan beliau berhubung keretakan rumah tangga aktres Maya Karin, 31, yang dilaporkan sudah tidak sebumbung dengan suaminya.

Pelakon jelita yang mengesahkan perkara itu memberitahu, punca keretakan rumah tangganya dengan suami, Steven David Shorthose atau Muhammad Ali, 41, dari Itali sebagai kesilapan mereka sendiri kerana tidak menyedari faktor perbezaan budaya sewaktu seronok bercinta.

Enggan langsung mengulas pergolakan rumah tangga yang dihadapi Maya Karin, Rais yang juga pakar perundangan dan Perlembagaan Persekutuan berkata, realitinya banyak liku yang perlu dihadapi oleh pasangan kahwin campur.

''Kegagalan perkahwinan disebabkan perbezaan budaya, agama dan cara seseorang itu dibesarkan di khalayak negara masing-masing.

''Cuma, kebanyakan perkahwinan lebih didasarkan kepada 'asmara pendek', maknanya apabila sudah melalui satu tempoh singkat, masing-masing akan menyorot balik tuntutan budaya dan agama pada sudut khalayak di mana dia dilahirkan," katanya.

Dari segi undang-undang pula, kata Rais, pasangan kahwin campur dijangka menghadapi masalah yang agak berat jika perkahwinan mereka bergolak.

''Tidak semudah itu juga untuk mendapat taraf kerakyatan Malaysia, dalam soal ini ia adalah lebih mudah jika melibatkan wanita yang berkahwin dengan lelaki warganegara Malaysia berbanding sebaliknya.

''Ini disebabkan taraf kewarganegaraan dalam Seksyen 16 dan 17 Perlembagaan Persekutuan adalah terasas pada pertimbangan kebapaan dan bukannya keibuan," katanya.

Kata beliau: ''Apatah lagi (meruncingnya perkahwinan campur) kalau pasangan terbabit ada anak, maka si bapa akan 'melarikan' anak kembali ke England dan Eropah, dan dalam soal ini, perkahwinan campur yang gagal, adalah lebih baik jika pasangan itu tiada anak."

Mangsa dibunuh akibat cinta tiga segi?

MELBOURNE 25 Feb. - Nita Iskander, kekasih pemandu Konsulat Malaysia, Mohd. Shah Saemin yang mati dibunuh, membayar kira-kira A$7,000 (RM17,500) untuk menghantar jenazahnya pulang ke Malaysia, mahkamah Sydney diberitahu hari ini.

Peguam bela Nita, James Trevallion memberitahu Majistret Mahkamah Tempatan Newton, Margaret Quinn bahawa Nita telah merancang untuk menghadiri pengebumian Shah di Malaysia, lapor Australian Associated Press (AAP).

Terdahulu, seorang anggota skuad homisid memberikan keterangan bahawa wanita berasal dari Indonesia itu telah membuat pertanyaan melalui telefon mengenai cara untuk meninggalkan Australia 'sebelum dan selepas penahanan suaminya berikutan pembunuhan Shah' dan telah merahsiakan rancangannya daripada penyiasat.

Nita, 46, juga dituduh menyembunyikan fakta daripada detektif mengenai kedudukan suami dan anaknya semasa pembunuhan.

''Terdapat beberapa versi berbeza yang diberitahu mengenai di mana suami dan anaknya semasa kejadian,'' kata Konstabel Kanan Detektif, Sharon Neil kepada mahkamah.

Dalam pernyataan polis yang diserahkan kepada mahkamah, Nita mendakwa mengaku dirinya bercakap dalam telefon dengan mangsa semasa serangan itu berlaku.

Laporan AAP mengatakan Nita duduk senyap di kandang tertuduh semasa perkara itu dibicarakan, mendengar dengan teliti semasa Trevallion berhujah bahawa dia dan mangsa yang dibunuh itu sememangnya menjalin hubungan asmara.

Suami Nita yang merupakan pemandu teksi, Hazairin dan anak lelakinya, didakwa membunuh Shah, 43, dalam serangan kejam di luar apartmennya di bandar Leichhardt di Sydney.

Nita, yang bekerja sebagai kerani akaun di konsulat Malaysia di Sydney di mana Shah bekerja sebagai pemandu, didakwa terbabit dalam pembunuhan itu dan mengganggu siasatan polis.

Nita bagaimanapun dibenar dibebaskan dengan ikat jamin tetapi Hazairin, 55, ditolak. Anak lelaki mereka pula ditahan oleh pihak berkuasa Singapura semasa melarikan diri dari Australia pada pagi Rabu lalu.

Nita beserta suami dan anaknya dijadual dihadapkan ke Mahkamah Tengah Tempatan Sydney pada 7 April ini.

Sementara itu, jenazah Mohd. Shah tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di sini malam ini.

Ayahnya, Saemin Mongin, 70, berkata, jenazah itu yang tiba pada pukul 8.50 malam terus dibawa pulang ke Melaka.

"Allahyarham akan dikebumikan pada pukul 10 pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tambak Paya, Melaka," katanya kepada pemberita di luar kompleks berkenaan.

Turut menyambut ketibaan jenazah ialah ibu mangsa, Misnah Kasri serta tiga adik-beradiknya, Mohd. Kamal, Rohayu dan Mohd. Saiful.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.