Pages

Subscribe:

26 Februari, 2010

Pelajar cacat penglihatan tempah kejayaan



48,446 calon lulus penuh STPM
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Sebanyak 48,446 atau 92.55 peratus daripada 55,663 calon yang mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lepas lulus penuh dengan sekurang-kurangnya mencatatkan kelulusan satu mata pelajaran.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak memberitahu, daripada jumlah itu sebanyak 4,316 calon lulus lima mata pelajaran, 29,670 lulus empat mata pelajaran), 9,797 lulus tiga mata pelajaran, 7,412 lulus dua mata pelajaran dan 6,251 lulus satu mata pelajaran.

Tambahnya, sebanyak 15 calon mencapai keputusan cemerlang iaitu memperoleh Gred A dalam lima mata pelajaran iaitu enam dalam aliran sains dan sembilan dalam aliran sastera berbanding 13 orang pada tahun 2008.

''Jumlah calon yang lulus lima dan empat mata pelajaran meningkat sebanyak 2,855 kepada 24,986 berbanding tahun 2008 iaitu sebanyak 22,131 calon.

''Prestasi calon yang memperoleh keputusan yang baik iaitu Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.00 ke atas ialah 35.93 peratus dengan 331 calon mendapat PNGK 4.00,'' katanya.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkata demikian ketika mengumumkan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 di Majlis Peperiksaan Malaysia di sini hari ini.

Dzulkifli memberitahu, daripada 331 calon yang mendapat PNGK 4.00 sebanyak 184 adalah perempuan dan 147 pula calon lelaki.

Tambahnya, sebanyak 10 mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Arab, Kesusasteraan Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Sejarah, Geografi, Ekonomi, Perakaunan, Matematik T dan Biologi mencatatkan peningkatan prestasi.

Sementara itu katanya, tiga mata pelajaran iaitu Matematik Lanjutan T, Komputer dan Sains Sukan mencatatkan penurunan prestasi.

''Sebanyak 10 mata pelajaran lagi tidak berubah prestasi iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Syariah, Usuluddin, Pengajian Perdagangan, Matematik S, Fizik, Kimia dan Seni Visual,'' katanya.

Beliau memberitahu, sebanyak 97.5 peratus calon menjawab dalam Bahasa Inggeris untuk tujuh mata pelajaran iaitu Matematik S, Matematik T, Matematik Lanjutan T, Komputer, Fizik, Kimia dan Biologi.

Katanya, jurang prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara berdasarkan jumlah yang mendapat kelulusan lima A, empat A dan tiga A iaitu 12.14 peratus bagi kawasan bandar dan 7.06 peratus bagi kawasan luar bandar.

Mengenai pelajar cemerlang, Dzulkifli memberitahu, terdapat dua calon dari aliran sains dan tiga calon dari aliran sastera mencapai gred A dalam semua kertas peperiksaan yang diambil.

Pelajar terbabit ialah Yap Jun Fai dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik Petaling Jaya, Yong Kai Yi dari Sekolah Menengah Tinggi Muar, Ayu Faridah Nor Azman dari Sekolah Menengah Dato' Haron Tanjung Karang, Hoo Xiao Mei dari Sekolah Menengah Clifford Kuala Lipis dan Muhamad Najmuddin Firdaus Abdullah dari Sekolah Menengah Ayer Lanas Jeli.

Sementara Nurul Imani Zakaria dari Sekolah Menengah Seri Aman Pasir Puteh diumumkan sebagai pelajar cemerlang bagi kategori luar bandar dengan mencapai Gred A untuk lima mata pelajaran.

''Masmin Mensih dari Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi pelajar istimewa cemerlang bagi kategori rabun dengan mendapat kelulusan Gred A bagi Sejarah, Gred B bagi Pengajian Am dan Bahasa Malaysia serta Gred C bagi Ekonomi.

''Muhammad Raizan Ab. Rahman dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Petaling Jaya pelajar istimewa cemerlang dalam kategori spastik iaitu mendapat Gred A bagi Pengajian Am, Bahasa Malaysia dan Ekonomi serta Gred C bagi Matematik T,'' katanya.

Dzulkifli memberitahu, Loh Wei Siong dari Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Lintang, Kuching pula pelajar istimewa cemerlang dalam kategori buta dengan memperoleh Gred A untuk mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah dan Pengajian Perniagaan


ARKIB : 26/02/2010
Pelajar cacat penglihatan tempah kejayaan
KUCHING 25 Feb. - Kepayahan mendapat bahan pembelajaran yang lengkap dalam tulisan Braille tidak pernah mematahkan semangat seorang pelajar cacat penglihatan Young Chee Yaw, 19, meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Chee Yaw dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang di sini memperoleh keputusan A- dalam mata pelajaran Sejarah dan tiga B+ bagi mata pelajaran Pengajian Am, Pengajian Perniagaan dan Bahasa Malaysia.

Anak bongsu daripada tiga beradik yang cacat penglihatan sejak dilahirkan itu memang tidak menafikan yang dia menempuh banyak halangan bagi mendapatkan bahan pembelajaran untuk orang sepertinya.

''Apabila memperoleh keputusan pada hari ini memang ia di luar jangkaan saya.

''Bagaimanapun saya begitu gembira kerana hasil didikan guru serta usaha gigih diri sendiri telah membuahkan hasil yang membanggakan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Chee Yaw berkata, dia tidak pernah berputus asa meskipun mempunyai pelbagai halangan serta kepayahan dalam menuntut ilmu kerana sentiasa menerima sokongan para guru pendidikan khas.

Katanya, selain itu, sokongan kawan baiknya, Loh Wei Siong, pelajar istimewa yang menerima anugerah cemerlang Majlis Peperiksaan Malaysia juga telah banyak membantunya.

''Apabila saya berdepan dengan masalah dalam pembelajaran, saya akan berbincang dengan Wei Siong," ujarnya.

Sementara itu, pelajar cemerlang SMK Tun Abang Haji Openg yang juga anak seorang nelayan dari Kampung Tebelu, Sebuyau, dekat sini, Siti Amyruul Salina Rusali, 20, berkata, dia tidak menjadikan kesusahan hidup keluarganya sebagai penghalang dalam mencapai kejayaan di bidang akademik.

Menurutnya, kejayaan hari ini akan merangsang dirinya mencipta kejayaan yang lebih cemerlang apabila ditawarkan melanjutkan pengajian di universiti kelak.

Beliau yang memperoleh tiga A dan satu B bercita-cita melanjutkan pengajian dalam jurusan pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.

''Walaupun kehidupan keluarga susah, namun saya bersyukur ayah dan ibu memahami kepentingan akademik dengan memberi galakan meskipun mereka tidak berkemampuan menyediakan bahan pembelajaran.

''Namun bagi saya, kata-kata dorongan mereka lebih berkesan sementara bahan pembelajaran boleh dipinjam daripada guru atau rakan-rakan yang lain," ujarnya yang terpaksa berjauhan daripada keluarga kerana tinggal di asrama.

Seorang lagi pelajar sekolah yang sama, Hazwan Razali, 20, yang memperoleh dua A dan dua B berharap dapat melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Pendidikan Khas supaya dia boleh mengajar adiknya yang tergolong dalam kumpulan orang kurang upaya (OKU).

Hazwan memberitahu, beliau tidak mempunyai sebarang rahsia dalam belajar tetapi sentiasa bersungguh-sungguh mencapai impian menjadi seorang guru pendidikan khas sekali gus dapat memberi tunjuk ajar kepada adiknya yang cacat penglihatan.

''Saya gembira memperoleh keputusan STPM ini dan begitu berharap dapat melanjutkan pengajian dalam jurusan yang saya harapkan.

''Memperoleh kejayaan seperti ini perlu mempunyai kesungguhan, hormat kepada mereka yang menurunkan ilmu (para guru) serta tidak meninggalkan sembahyang lima waktu," katanya.
Kemiskinan, kekurangan bukan halangan
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Anak penjual sate, petani, penoreh getah, pembuat pasu dan kerani merupakan antara sembilan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 yang dinobatkan sebagai pelajar cemerlang.

Ayu Faridah Nor Azman anak seorang penjual sate, Muhammad Najumuddin Firdaus Abdullah anak seorang petani serta Nurul Imani Zakaria anak seorang penoreh getah diumumkan sebagai pelajar cemerlang kerana memperoleh gred A untuk semua kertas peperiksaan yang diambil dan lulus Gred A untuk lima mata pelajaran.

Yap Jun Fai anak seorang kerani, Yong Kai Yi anak seorang peniaga kecil dan Hoo Xiao Mei anak kontraktor kecilan juga menerima anugerah pelajar cemerlang dengan memperolehi keputusan yang sama.

Apa yang lebih istimewa tiga pelajar cemerlang yang diletakkan dalam kategori istimewa juga datang dari latar belakang keluarga biasa di mana Masmin Mensih pelajar cemerlang kategori rabun, ayahnya Mensih Saidin hanyalah kakitangan Jabatan Perhutanan di Sandakan, Sabah.

Pelajar cemerlang kategori istimewa dari kategori spastik, Muhammad Raizan Ab. Rahman yang mendapat tiga Gred A dan satu C bapanya Ab. Rahman Kassim bertugas sebagai kakitangan kerajaan peringkat sokongan.

Sementara Loh Wei Siong pelajar cemerlang bagi Kategori Buta dan mendapat empat Gred A, bapanya Loh Hua Ming hanya bekerja di kilang sebagai pembuat pasu.

Ayu Faridah dari Tanjung Karang, Selangor di mana bapanya sebagai penjual sate meletakkan keazaman untuk mencapai kecemerlangan dan berharap dapat menjadi pensyarah satu hari nanti merupakan pendorong untuk dirinya berjaya.

''Kejayaan ini adalah berkat doa ibubapa, guru dan usaha yang telah dimulakan sejak memasuki tingkatan enam dengan memastikan belajar sekurang-kurangnya dua jam sehari pada sebelah malam,'' katanya.

Manakala Muhammad Najmuddin yang hanya mengharapkan tunjuk ajar guru dan belajar sahaja tidak menyangka akan mendapat kelulusan cemerlang.

Katanya, kekurangan dari segi kewangan di mana tidak mampu untuk ke kelas tuisyen tidak menghalang beliau untuk mencapai kejayaan.

''Apa yang penting ialah untuk mengikuti pelajaran di sekolah dengan tekun dan belajar semula setiap pelajaran yang telah dijelaskan oleh guru berulang kali, itu sahaja formula saya mencapai kecemerlangan dalam STPM,'' katanya.

Sementara Masmin yang menghadapi rabun teruk dan terpaksa membaca buku dengan meletakkannya dua atau tiga inci dari mukanya menegaskan kunci kejayaannya ialah tekun mendengar penjelasan guru di kelas.

ARKIB : 26/02/2010
Anak pembuat bot dapat 5 prinsipal




Hadawiyah Mohammad bersama ibunya, Rakiah Mamat gembira dengan keputusan pelajar terbaik STPM Terengganu, di Kampung Seberang Marang, semalam.

KUALA TERENGGANU 25 Feb. - Walaupun kehidupannya tidak semewah pelajar lain, namun ia tidak menghalang Hadawiyah Mohammad, 20, cemerlang dalam peperiksaan.

Anak kepada pembuat bot, Mohamad Awang, 60, yang berasal dari Seberang Marang dekat sini, diumumkan sebagai pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) peringkat negeri Terengganu hari ini.

Menurut Hadawiyah, kejayaan itu merupakan hadiah paling bermakna buat ibu dan bapanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Lela Segara, Marang itu langsung tidak menyangka akan mendapat lima prinsipal dengan Pencapaian Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

"Sepanjang hidup, inilah kali pertama saya dapat memberikan hadiah paling bermakna kepada emak dan ayah," katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini hari ini.

Anak kesembilan daripada 11 adik-beradik ini, memperolehi keputusan A dalam kesemua mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Geografi, Ekonomi dan Sains Sukan.

Tambahnya, kejayaannya turut didorong dengan bantuan guru-guru sekolah selain minatnya yang gemar mengulang kaji secara berseorangan.

"Saya belajar bersungguh-sungguh demi keluarga selain memberi contoh yang baik kepada adik-beradik yang lain.

"Dengan keputusan cemerlang ini saya harap dapat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan memperolehi pekerjaan yang baik bagi membalas segala pengorbanan emak dan ayah," kata Hadawiyah yang bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.