21 Mac, 2010
[hang nadim] Atok 'fanatik' kumpul senjata lama
Mohd. Tahar Singkro atau Pak Daeng (tengah) bersama anak, menantu, cucu dan jiran di rumahnya di Kampung Jaya Sepakat Baru, Johor Bahru, baru-baru ini.
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
editjohor@utusangroup.com.my
JOHOR BAHRU 21 Mac - Sebelum melangkah masuk ke dalam rumah Mohd. Tahar Singkro, mata tetamu pasti terpahat melihat deretan beberapa bilah parang dan senjata yang disusun rapi di pintu.
Sebaik sahaja berada di dalam rumah, keterujaan bertambah menebal dan terasa diri seperti berada pada era pahlawan Melayu terbilang, Hang Tuah kerana di kiri kanan ruang tamu rumah berkenaan dipenuhi senjata lama.
Sebut sahaja senjata yang dikehendaki, pasti ada seolah-olah ruang tamu kediaman Mohd. Tahar yang turut dikenali sebagai Atok atau Pak Daeng di Kampung Jaya Sepakat Baru, Batu 13, Skudai itu sebagai hab senjata.
Di ruangan tersebut dapat dilihat keris, pedang, parang, lembing, tombak dan senjata lain yang sukar didapati pada masa ini, justeru ternyata Atok memang seorang yang 'fanatik' kepada senjata lama.
Kebanyakan koleksi senjata lama milik Atok itu sudah berusia menjangkau ratusan tahun.
Atok, 79, yang masih gagah mengakui suka mengumpul senjata kerana cintanya pada besi dan kerana itu jugalah dia akan membawa pulang apa sahaja barangan besi terbuang.
"Ada antara koleksi Atok yang dijumpai di tepi jalan. Kalau senjata yang dijumpai itu tidak lengkap, Atok akan baiki seperti membuat sarung dan pemegang bagi keris atau parang," katanya yang dilahirkan di Peradin, Pontian.
Menurut Atok, bukan mudah bagi individu yang tidak memiliki 'ilmu besi' untuk mengumpul barangan tersebut dalam jumlah yang banyak kerana setiap barang besi ada 'jiwa' tersendiri.
Katanya, kalau barangan tersebut berusia ratusan tahun dan pernah 'makan' mangsa, maka ia perlu petua untuk memeliharanya.
Sambil menunjukkan sumbing sebilah parang, Atok berkata dua sumbing di mata parang tersebut, menandakan senjata itu pernah makan dua mangsa.
"Senjata lama begini, selalunya dibuat daripada besi asli dengan menggunakan tangan dan sebab itulah kekuatannya lebih menyerlah.
"Barang-barang begini perlu diasapkan dengan kemenyan pada setiap malam Jumaat dan dicuci dengan limau nipis untuk penjagaan. Kalau nak bagi wangi, sapu minyak pada bilah keris atau parang," katanya.
Atok memberitahu, antara koleksi senjata yang pernah 'meragam' sebelum serasi dengannya adalah sula, pemberian seorang rakan dari Pahang.
Sula berusia lebih 30 tahun yang ditemui di hutan itu tidak serasi dengan rakannya dan setelah berada di tangannya, barulah senjata itu berhenti meragam.
"Untuk memastikan senjata itu tidak meragam, saya balutkan dengan kain kuning dan diasapkan setiap malam Jumaat. Alhamdulillah, senjata itu tidak lagi buat hal lagi," katanya.
Atok berkata, sejak mengumpul senjata berkenaan, belum pernah dia menggunakan peralatan itu untuk bertarung.
Sebaliknya, himpunan senjata berkenaan hanya dijadikan sebagai hiasan dan tatapan tetamu yang berkunjung ke rumah yang didiami bersama anak, menantu dan cucu-cucunya.
"Sejak dulu hingga kini, tiga orang cucu saya tidak pernah menjadikan senjata itu sebagai barang mainan. Mungkin sebab mereka perempuan, jadi tidak berminat.
"Apa pun, setiap malam sebelum tidur saya akan pastikan semua pintu rumah dikunci demi keselamatan penghuni rumah," katanya.
Ditanya apa akan terjadi pada koleksi senjatanya apabila dia sudah tiada kelak, Atok menyerahkan kepada anak dan cucu-cucunya untuk menjaga koleksi berkenaan.
"Setakat ini Atok sering memberi kerjasama kepada mana-mana pihak yang berminat untuk membuat pameran tentang koleksi senjata ini.
"Lainlah kalau Atok tak ada nanti, suka hati mereka nak buat apa dengan senjata-senjata itu," katanya yang sedia berkongsi ilmu besi dengan sesiapa berminat.
Menurutnya, dalam himpunan senjata itu, barang yang paling disayanginya adalah sebatang kayu tas peninggalan bapanya yang berasal dari Bugis.
Atok mendakwa kayu tas itu dapat digunakan untuk menundukkan binatang buas termasuk harimau.
"Orang dulu-dulu selalu masuk hutan. Jadi, kayu itulah yang dijadikan senjata untuk mempertahankan diri daripada binatang buas.
"Caranya mudah sahaja, hulurkan kayu itu ke arah mata binatang tersebut, pasti ia akan mengundur dan melangkah pergi," katanya.
Sementara itu, menantu Atok, Kamalulil Kasim, 45, berkata, semasa pertama kali menjejak kaki ke rumah tersebut dia terpegun apabila melihat begitu banyak senjata besi.
Bagaimanapun, dia memang kagum dengan hobi unik mertuanya itu.
"Pada saya, orang Bugis ini memang suka besi. Pantang jumpa besi, pasti dia akan bawa balik ke rumah untuk dibaiki.
"Selain sayang besi, mungkin sebab dia pernah hidup susah dulu. Jadi, jika terjumpa barang terbuang, dia akan kutip," katanya.
Kamalulil yang berkahwin dengan Jamilah Mohd. Tahar bukan sahaja gemar mengumpul besi malah barangan terbuang lain.
Barangan itu ditempatkan di pondok yang dibina dengan menggunakan kayu dan papan yang dikutip.
"Tengoklah pondok yang dibina dengan barangan terbuang itu, pelbagai khazanah di dalamnya. Sudah menjadi sifatnya sayang semua barang," katanya.
Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, gelintar
Keris Jawa.Keris ialah sejenis senjata pendek kebangsaan Melayu yang digunakan sejak melebihi 600 tahun dahulu. Senjata ini memang unik di dunia Melayu dan boleh didapati di kawasan berpenduduk Melayu seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand Selatan, Filipina Selatan(Mindanao), dan Brunei.
Nama yang digunakan untuk keris berbeza mengikut daerah misalnya sundang di Mindanao, kedutan di Bali, kujang di Jawa Barat, dan kareh di Sumatera. Perkataan keris dikatakan berasal dari bahasa Jawa Kuno iaitu malang kerik yang bermaksud bercekak pinggang. Ini merujuk kepada figura orang bercekak pinggang pada hulu keris pada peringkat awal.[1]
Keris digunakan untuk mempertahankan diri (misalnya sewaktu bersilat) dan sebagai alat kebesaran diraja. Senjata ini juga merupakan lambang kedaulatan orang Melayu. Keris yang paling masyhur ialah keris Taming Sari yang merupakan senjata Hang Tuah, seorang pahlawan Melayu yang terkenal.
Keris berasal dari Kepulauan Jawa dan keris purba telah digunakan antara abad ke-9 dan abad ke-14. Senjata ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu mata, hulu dan sarung. Keris sering dikaitkan dengan kuasa mistik oleh orang Melayu pada zaman dahulu. Antara lain, terdapat kepercayaan bahawa keris mempunyai semangatnya yang tersendiri.
Keris menurut amalan Melayu tradisional perlu dijaga dengan cara diperasapkan pada masa-masa tertentu, malam Jumaat misalnya. Ada juga amalan mengasamlimaukan keris sebagai cara untuk menjaga logam keris dan juga untuk menambah bisanya.
Jenis Keris
Secara umumnya, keris boleh dikategorikan kepada:
Keris Semenanjung
Keris Bugis
Keris Jawa
Keris Sumatera
Keris Madura
Keris Pattani
Keris Bali
Keris Sajen
Keris Picit[2]
Rujukan
Keris dalam bahasa Inggeris
Koleksi Keris – pelbagai bentuk keris di sini
Galeri keris.
Mohad Zainuddin Haji Abdullah & Mohd Shahrim Senik (2007). Senjata Warisan, Dewan Bahasa dan Pustaka & Lembaga Muzium Selangor. ISBN 9789836298072.
Nota Kaki
↑ Mohd Zainuddin Haji Abdullah & Mohd Shahrim Senik, 2007, ms 17
↑ Mohd Zainuddin Haji Abdullah & Mohd Shahrim Senik, 2007, ms 21
Pautan luar
Senjata Tradisional: Keris
Keris - Muzium Negara
Seni Melayu.
Keris dijumpai di Okinawa, Jepun.
Diambil daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Keris"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.