Pages

Subscribe:

21 Mac, 2010

Utusan lancar Kami Prihatin elak bayi dianiaya

KUALA LUMPUR 21 Mac - Gejala penderaan kanak-kanak dan buang bayi yang semakin menjadi-jadi, mendorong akhbar Utusan Malaysia dan karyawan tanah air berganding bahu menggerakkan kempen Kami Prihatin.

Projek amal itu bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat tentang gejala-gejala sosial yang menyebabkan berlakunya perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

Ia juga bermatlamat mengajak masyarakat tampil membantu mengurangkan kes-kes sebegitu dengan cara menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa melaporkan sebarang perbuatan mendera dan menganiaya kanak-kanak.

Melalui projek itu, satu klip video yang memaparkan lagu dengan lirik bertemakan kasih-sayang dan kesedaran terhadap nasib kanak-kanak yang didera dan diabaikan serta bayi yang dibuang akan dihasilkan.

Komposer terkenal, S. Atan dan penulis lirik yang tidak asing lagi, Habsah Hassan telah bersetuju menyumbangkan idea kreatif mereka secara percuma bagi menghasilkan lagu khas itu.

Sementara itu, beberapa artis tempatan juga menyatakan kesediaan menyumbang tenaga dan suara bagi menjayakan projek amal tersebut.

Menurut Habsah, beliau terpanggil menyokong kempen tersebut sebagai satu tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Katanya, media terutama yang mempunyai pengaruh besar seperti Utusan Malaysia mampu bertindak sebagai ejen membangkitkan kesedaran masyarakat bahawa kanak-kanak dan bayi mempunyai hak untuk hidup bahagia di dunia ini.

"Keadaan yang berlaku pada hari ini amat menyedihkan. Memang wajar kita memberi perhatian kepada apa yang berlaku ini," katanya.

Ditanya mengenai ilham lirik yang bakal ditulis, Habsah berkata, beliau akan cuba menyelami suara hati dan perasaan kanak-kanak serta bayi yang menjadi mangsa dera dan penganiayaan orang dewasa.

Katanya, lirik lagu tersebut dijangka siap dalam masa dua tiga hari lagi.

Dalam pada itu, S. Atan yang menggubah lagu bagi kempen tersebut berkata, projek seperti itu sepatutnya sudah lama dianjurkan.

"Saya sememangnya menyokong penuh usaha ini dan bersemangat melakukannya bersama-sama Utusan Malaysia," katanya.

Menurutnya, lagu bagi kempen tersebut yang siap digubah dalam masa dua hari sudahpun diserahkan kepada Habsah untuk digubah liriknya.

Bayi dibuang diselamatkan
Oleh Siti Mariam Md. Zain
pengarang@utusan.com.my

IPOH 21 Mac - Tindakan pantas seorang lelaki yang tidak sanggup lagi mendengar kisah menyayat hati tentang kejadian buang bayi, berjaya menyelamatkan nyawa seorang bayi perempuan yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Bayi perempuan yang baru lahir dan masih bertali pusat itu ditemui basah kuyup dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu di sini semalam.

Ketika ditemui kira-kira pukul 6 petang, bayi yang hanya dibaluti tuala mandi itu agak lemah dan sudah tidak mampu untuk menangis lagi.

Badannya juga kebiru-biruan kerana terlalu sejuk akibat hujan lebat yang turun sebelum itu.

Dia dipercayai berketurunan Melayu atau Indonesia.

Menurut individu yang bertanggungjawab menyelamatkan bayi tersebut, Mohd. Mazran Satar, 32, dia mendapat tahu tentang penemuan bayi itu daripada seorang lelaki India yang bertanyakan di mana balai polis.

"Ketika itu saya berada di pejabat. Sebaik sahaja mengetahui ada bayi dibuang, saya bersama seorang lagi rakan bergegas ke tempat kejadian dan kami terkejut melihat kaki dan tangan bayi itu masih bergerak.

"Tanpa buang masa, saya peluk bayi yang kesejukan itu dan terus membawanya ke hospital," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Mazran, jarak antara tempat pembuangan sampah itu dengan pejabatnya hanya kira-kira 500 meter.

Dia bersyukur dapat menyelamatkan bayi itu kerana sebelum ini hanya membaca kes pembuangan bayi yang disiarkan di akhbar dan televisyen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan penemuan bayi tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr. Raimi Goon berkata, bayi seberat 2.8 kilogram itu kini berada dalam keadaan stabil.

''Berdasarkan pemeriksaan lanjut pakar di sini, dia dilahirkan cukup bulan dan dipercayai telah ditinggalkan beberapa jam di kawasan tersebut, '' katanya di sini hari ini.

Raimi turut mengesahkan bahawa bayi berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pihak hospital, katanya, bagaimanapun masih belum dapat mengenal pasti keturunan bayi tersebut.

Bayi perempuan itu akan ditempatkan di HRPB sehingga mendapat arahan seterusnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.